Categories
NASIONAL

60% rakyat Malaysia masih gagal urus sampah

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Kira-kira 60 peratus daripada 32 juta populasi rakyat Malaysia masih gagal membuang sampah ke dalam tong sampah, walaupun kemudahan itu disediakan secukupnya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pengurusan sampah dilihat masih belum menjadi tabiat masyarakat negara ini dan sikap itu perlu dikikis dalam usaha menjadikan Malaysia bersih.

“Saya ingat tabiat (membuang sampah ke dalam tong sampah) belum jadi darah daging mereka (rakyat) lagi, mereka tidak tahu mengurus sampah termasuk sampah peribadi di rumah.

“Di negara maju, mereka simpan sampah dalam beg tangan atau poket dulu sebelum buang dalam tong sampah. Sekarang kita nak budaya orang cari tong sampah, bukan tong sampah cari orang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan 3R On Wheels dan Kad Mesra, di Stesen Petronas Jalan Ayer Ampang, di sini hari ini, lapor BERNAMA.

Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd, Datuk Mohd Zain Hassan.

Katanya, publisiti dan kempen kesedaran secara lebih meluas akan dilaksanakan semua Pihak Berkuasa Tempatan dan persatuan penduduk supaya pengurusan sampah secara betul dapat dibudayakan.

Sementara itu, Mohd Zain berkata, program 3R on Wheels dengan kerjasama Petronas Dagangan Berhad itu dilaksanakan melalui kutipan mata ganjaran pemegang Kad Mesra Petronas dengan hasil jualan barang kitar semula di lori 3R On Wheels.

Katanya jadual kutipan bagi lori bergerak 3R On Wheels akan dihebahkan melalui media sosial Alam Flora termasuk di Facebook, Twitter dan Instagram bagi membolehkan mereka merancang menghantar barangan kitar semula mengikut jadual.

Sejak program lori bergerak 3R On Wheels dilaksanakan awal Disember tahun lalu, Alam Flora berjaya mengutip 21.2 tan barang kitar semula di sekitar Lembah Klang, Putrajaya dan Cyberjaya.

 

Categories
SELANGOR

Bendung masalah buang sampah luar tong

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 11 MAC: Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi menegaskan kepada seluruh masyarakat supaya membendung masalah pembuangan sampah di luar tong.

Ahmad Yunus berkata, masalah sedemikian berpunca daripada sikap masyarakat sendiri yang tidak mempunyai kesedaran dalam menjaga alam sekitar.

“Kerajaan Negeri berusaha membekalkan tong sampah terutamanya di kawasan kampung tradisi, namun masih ada segelintir masyarakat suka melonggokan sampah di luar tong.

“Tong ini dibekalkan bertujuan membuang sisa domestik, namun lain pula jadinya apabila ada antara masyarakat membuang sofa, almari dan sampah yang tidak sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelepasan Benih Umum dan Pemuliharaan Kawasan Paya Bakau di Taman Rekreasi Paya Bakau,Sijangkang, di sini, semalam.

Ahmad Yunus berkata, masyarakat tidak boleh hanya bergantung kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sahaja untuk menguruskan soal sampah mahupun alam sekitar.

“Masyarakat perlu sama-sama melibatkan diri dan bekerjasama membantu dalam memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara.

“Golongan dewasa memainkan peranan penting dan perlu menunjukkan contoh yang baik kepada generasi muda terutamanya kanak-kanak kerana pentingnya didikan awal,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Yunus turut melaksanakan kempen “Desaku Bebas Daripada Sampah Jalanan” dengan mengagihkan 200 uncang beg kepada orang awam yang hadir.

Ahmad Yunus berkata, pengagihan beg uncang bertujuan mendidik masyarakat menjaga alam sekitar dengan meletakkan sampah ke dalam beg berkenaan dahulu sebelum ia dilupuskan dengan cara baik.

“Saya amat mengharapkan masyarakat tidak membuang sampah merata-rata atau ke dalam saliran yang menuju ke laut.

“Keadaan ini bakal memusnahkan alam sekitar dan ekosistem, selain berupaya membunuh tumbuhan serta memusnahkan hidupan marin,” katanya.