Categories
SELANGOR

Suami lega isteri sakit kronik mudah dapat vaksin negeri

HULU SELANGOR, 9 OGOS: Bimbang dengan penularan jangkitan Covid-19, seorang suami nekad hadir awal membawa isterinya yang menghidap penyakit kronik ke program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam hari ini.

Mat Yusof Rasid, 49, pekerja kilang dari Felda Soeharto berkata mengikut jadual pemberian suntikan kepada pengunjung yang hadir terus hanya bermula jam 2 petang namun dia mencuba nasib datang seawal jam 10 pagi.

Mat Yusof Rashid, 49

“Saya datang awal kerana bawa isteri, Haliza Halwi yang sukar bergerak kerana ada penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit saraf, mudah kalau dapat selesai di sebelah pagi.

“Nasib kami baik apabila dibenarkan terima suntikan pada sebelah pagi, lega urusan kami dipermudahkan,” katanya ketika ditemui di Dewan Orang Ramai Hulu Bernam di sini.

Penjaga kuil Bala Veloo,58, berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang menyediakan pemberian pelalian menerusi Selvax Komuniti yang memudahkan penduduk di luar bandar.

Bala Veloo, 58

“Bulan lalu saya ada dapat janji temu melalui vaksin bawah kerajaan persekutuan tetapi di Taiping, Perak, saya tolak kerana tiada pengangkutan ke sana.

“Lega saya kerana sudah dapat vaksin dan ini persediaan untuk meningkatkan perlindungan diri sebelum kuil kembali dibuka untuk orang ramai,” katanya yang berasal dari Taman Danau, Hulu Bernam.

Bagi pekerja kedai aksesori kenderaan, Fong Pei San, 37, pemberian vaksin di bawah Selvax Komuniti DUN Hulu Bernam berjalan lancar dan memudahkan orang ramai yang tidak perlu menunggu lama.

Fong Pei Sun, 37

“Semua berjalan dengan lancar bermula dari pendaftaran sehingga pemantauan kesihatan selepas disuntik,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Teruja mahu dapatkan vaksin negeri, penduduk datang satu jam awal

HULU SELANGOR, 9 OGOS: Teruja untuk mendapat suntikan pelalian Covid-19 menyebabkan orang ramai hadir satu jam awal dalam program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam hari ini.

Penyelaras DUN berkata penduduk mula berkumpul di hadapan Dewan Orang Ramai Hulu Bernam sejak jam 8 pagi walaupun pendaftaran hanya dibuka sejam kemudian, namun mereka kekal mematuhi tatacara operasi piawai.

Menurut Amran Sakir ada juga yang hadir terus (walk in) dengan tiba pada sebelah pagi walaupun pemberian pelalian kepada kumpulan itu hanya dijadualkan jam 2 petang.

“Mereka tetap diberi vaksin pada sebelah pagi bagi mengelakkan mereka menunggu terlalu lama.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam, Amran Sakir

“Ramai datang awal mungkin kerana teruja mendapat vaksin lebih-lebih lagi dalam keadaan kes harian Covid-19 semakin meningkat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Amran berkata pusat khidmat DUN Hulu Bernam menyediakan 40 sukarelawan untuk melancarkan perjalanan program dua hari berakhir esok itu kerana menjangkakan kehadiran pengunjung ramai.

“Seramai 2,100 orang mendaftar menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) manakala 400 lagi disasarkan hadir terus.

“Kehadiran sukarelawan membantu melancarkan proses hari ini, banyak masalah terutama membabitkan pengunjung tidak memuat naik aplikasi SELangkah kerana tidak mengetahui caranya serta tiada telefon pintar,” jelasnya.