Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB sumbang RM110,000 kepada 22 surau di DUN Sungai Tua

SHAH ALAM, 14 OKT: Dato’ Menteri Besar menyerahkan sumbangan berjumlah RM110,000 kepada 22 buah surau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.

Sumbangan diserahkan Dato’ Seri Amirudin Shari itu untuk program pengimarahan dan setiap surau menerima RM5,000.

Majlis Sumbangan Kepada Surau-surau DUN Sungai Tua itu berlangsung di Surau Al Karimiah, Kampung Laksamana.

Amirudin yang tiba sekitar jam 8 malam turut menunaikan solat Isyak berjemaah bersama penduduk setempat di samping menasihatkan kariah untuk terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini.

 

Categories
SELANGOR

MB turun padang kenal pasti isu DUN Sungai Tua

OLEH HAFIZAN TAIB

BATU CAVES, 22 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengambil peluang mengenal pasti masalah penduduk setempat untuk diperbaiki dalam program turun padang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di sini, hari ini.

Program sempena sambutan Aidiladha itu dijayakan beliau setiap tahun dan ia memberi impak positif terhadap pembangunan komuniti di kawasan DUN berkenaan.

“Dalam pertemuan bersama penduduk, banyak isu dikongsikan antaranya berkaitan pihak berkuasa tempatan, masalah tanah dan perkhidmatan bekalan air.

“Segala isu dibangkitkan akan kita teliti dan pertimbangkan untuk diperbaiki dari semasa ke semasa,” katanya kepada media selepas Majlis Kenduri Rakyat DUN Sungai Tua sempena Aidiladha di Kampung Melayu Wira Damai.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, melalui program hari ini beliau berkesempatan mengunjungi lapan lokasi termasuk di kampung itu.

“Saya juga mengikuti program korban sempena Aidiladha dijayakan penduduk di masjid An-Nur di sini,” katanya.