Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Sidang DNS bahas isu Covid-19, kebajikan rakyat dan ekonomi

SHAH ALAM, 23 OGOS: Isu menangani Covid-19 akan dibahaskan sebaiknya pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang bermula hari ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata agenda kebajikan rakyat serta pemulihan ekonomi negeri juga antara perkara yang turut dibahaskan sepanjang dua minggu dewan bersidang.

“Mewakili seluruh pentadbiran Kerajaan Negeri, patik menjunjung kasih atas segala titah pesanan dan nasihat Tuanku untuk memfokuskan usaha kepada membantu rakyat yang terhimpit akibat pandemik dan keadaan ekonomi yang meleset.

“Diharapkan sidang dewan ini mampu merencana hala tuju negeri yang akan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya di Facebook.

Pagi tadi Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mencemar duli merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat DNS ke-14 hari ini.

Dalam titah, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan sukacita atas usaha Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai pakej bantuan bagi meringankan beban rakyat ketika berdepan kemelut dan kesusahan akibat penularan pandemik Covid-19.

Baginda Sultan Selangor turut mengingatkan ahli politik supaya tidak merebut kuasa hingga mengabaikan tanggunjawab membela rakyat.

Pada 9 Julai, Amirudin berkata persidangan kali ini itu mengikut format biasa meliputi soal jawab dan perbahasan, bukan sekadar sidang khas.

Beliau menegaskan sidang dewan dibuat dengan pematuhan ketat tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelakkan penularan Covid-19.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ikuti siaran langsung sidang dewan negeri di Media Selangor

SHAH ALAM, 23 OGOS: Orang ramai boleh mengikuti siaran langsung persidangan penuh Dewan Negeri Selangor (DNS) selama sembilan hari bermula hari ini.

Istiadat perasmian Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang berangkat mencemar duli pagi ini boleh ditonton menerusi Youtube SelangorTV dan Facebook MediaSelangor

Perbahasan wakil rakyat dalam sidang dewan yang dijadual berlangsung hingga 6 September juga disaksikan melalui wadah sama. Laporan berita pula boleh diikuti melalui portal selangorkini.my

Pada 9 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata persidangan itu mengikut format biasa meliputi soal jawab dan perbahasan, bukan sekadar sidang khas.

Beliau menegaskan sidang dewan dibuat dengan pematuhan ketat tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Semua individu termasuk pengamal media disyaratkan lengkap dua dos vaksin, malah saringan menggunakan kit saliva dibuat setiap hari sebelum persidangan bermula.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Bantuan sekolah agama, SJK Cina dan Tamil awal bulan depan

SHAH ALAM, 15 JULAI: Bantuan kepada sekolah agama rakyat, sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil diagihkan selewat-lewatnya awal bulan depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jawatankuasa pendidikan negeri sedang meneliti senarai akhir sekolah yang menerima manfaat termasuk bentuk bantuan diperlukan.

“Jawatankuasa pendidikan sedang mengumpul maklumat berkaitan melalui pejabat Dewan Undangan Negeri atau pihak sekolah. Bantuan akan diberikan pada hujung Julai atau paling lewat awal Ogos.

“Kerajaan Negeri perlu menstruktur semula bantuan kepada sekolah susulan penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Pandamaran Leong Tuck Chee berhubung bantuan kewangan kepada sekolah dan tarikh penyerahan pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tidak Perlu Kebenaran MB Untuk Akses Maklumat Kerajaan Negeri

Elizabeth Sidang DUN

SHAH ALAM 1 JULAI : Rakyat Selangor boleh mengakses maklumat di semua jabatan dalam Kerajaan Negeri tanpa sekatan daripada mana-mana pihak.

Perkara ini dinyatakan Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong sebagai jawapan kepada soalan tambahan Datuk Shamsuddin Lias (BN -Sungai Burong) yang sebelum itu mendakwa terdapat sesetengah maklumat perlu meminta kebenaran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Elizabeth menjelaskan dalam Enakmen Kebebasan Maklumat Selangor 2013, sekatan hanya akan dilakukan sekiranya maklumat terbabit terkandung dalam Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang memerlukan kebenaran daripada badan yang terlibat.

“Untuk makluman memang tidak benar kebenaran perlu didapati oleh Menteri Besar, saya syorkan Sungai Burong dan Adun yang lain perlu membaca semula enakmen, di dalam itu disenaraikan maklumat itu boleh didapati dari siapa dan kaedah-kaedah yang digunakan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Selangor (DNS).

Beliau menambah badan maklumat negeri adalah sebuah badan yang bebas dan adil yang mana ahlinya terdiri daripada golongan yang berpengalaman.

Enakmen Kebebasan Maklumat Selangor 2013 dikuatkuasa pada 5 Mac 2013 melalui pemberitahuan dalam warta Selangor bersekali dengan dua undang-undang subsidari peraturan-peraturan kebebasan maklumat (akses).

Seramai 41 orang pegawai dari pelbagai Jabatan Negeri dan badan berkanun dilantik menjadi pegawai maklumat.

Mereka diberi pendedahan dan latihan berhubung tugas-tugas melalui dua siri latihan pada bulan Disember 2012 dan Mac 2013.

Mengulas lanjut, Elizabeth memaklumkan pelbagai program akan dijalankan sebagai galakan orang awam menggunakan enakmen itu termasuk pengedaran poster ke semua jabatan sebagai promosi dan pembukaan gerai pameran ke acara Kerajaan Negeri.

Enakmen itu hanya berkuatkuasa kepada Kerajaan Negeri Selangor dan jabatan-jabatan di bawahnya. Jabatan-jabatan di bawah Kerajaan Persekutuan walaupun bertempat ataupun bertugas di negeri Selangor tidak termasuk dalam enakmen ini. Maklumat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) juga tidak termasuk.

Undang-undang kebebasan maklumat menetapkan peraturan dalam pemerolehan maklumat yang dipegang oleh badan-badan kerajaan. Undang-undang ini menjelaskan proses perundangan yang mewajibkan maklumat kerajaan dibuka kepada orang awam.

Tujuannya untuk menggalakkan ketelusan dan menangani rasuah.