Categories
NASIONAL

Lakaran 2 suspek pembunuh Dr Fadi didedahkan

KUALA LUMPUR 23 APR: Lakaran wajah suspek lelaki yang dipercayai membunuh pensyarah warga Palestin, Dr Fadi M R Albatsh Fatma didedahkan dan diletakkan di pintu keluar negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, suspek dipercayai adalah warga Eropah atau Timur Tengah.

“Lakaran wajah suspek itu dibuat oleh pakar kami berdasarkan kenyataan daripada saksi.

“Mereka berkulit putih, mempunyai janggut, berbadan tegap, setinggi kira-kira 180cm, mereka menunggang motosikal jenis BMW GS atau Kawasaki Versys berwarna hitam semasa hari kejadian,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur, hari ini.

Apabila ditanya sama ada lelaki masih di negara itu, beliau berkata: “Kami masih belum mendapat kepastian, bagaimanapun, kami sudah bekerjasama dengan agensi tempatan dan antarabangsa yang berkaitan,” katanya.

 

SUMBER: HARIAN METRO

FOTO: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Polis nafi laporan tular tangkapan suspek kes pembunuhan Dr Fadi

KUALA LUMPUR 22 APR: Polis menafikan dakwaan yang tular di aplikasi Whatsapp kononnya suspek pembunuhan Dr Fadi Albatsh telah diberkas.

Astro Awani melaporkan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata kenyataan berkenaan seorang suspek yang tular itu tiada kaitan dengan kes pembunuhan ini.

“Lelaki yang dikatakan suspek pembunuhan itu tiada kaitan dengan kes ini.

“Kami tidak boleh membuat konklusi sebegini. Kami siasat dari semua sudut,” kata beliau, ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Beliau berkata pihak polis masih menjalankan siasatan dan memohon kerjasama daripada orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu ini.

Dr Fadi, seorang imam dari Palestin dan pensyarah universiti swasta ditembak mati di Gombak ketika berjalan menuju ke surau untuk menunaikan solat Subuh pada pagi Sabtu.

SUMBER: ASTRO AWANI