Categories
GLOBAL

Polis nafi laporan tular tangkapan suspek kes pembunuhan Dr Fadi

KUALA LUMPUR 22 APR: Polis menafikan dakwaan yang tular di aplikasi Whatsapp kononnya suspek pembunuhan Dr Fadi Albatsh telah diberkas.

Astro Awani melaporkan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata kenyataan berkenaan seorang suspek yang tular itu tiada kaitan dengan kes pembunuhan ini.

“Lelaki yang dikatakan suspek pembunuhan itu tiada kaitan dengan kes ini.

“Kami tidak boleh membuat konklusi sebegini. Kami siasat dari semua sudut,” kata beliau, ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Beliau berkata pihak polis masih menjalankan siasatan dan memohon kerjasama daripada orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu ini.

Dr Fadi, seorang imam dari Palestin dan pensyarah universiti swasta ditembak mati di Gombak ketika berjalan menuju ke surau untuk menunaikan solat Subuh pada pagi Sabtu.

SUMBER: ASTRO AWANI

Categories
NASIONAL

MAPIM kutuk pembunuhan Dr Fadi Albatsh

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 22 APR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengutuk dan mengecam assasinasi ke atas seorang imam warga Palestin, Dr Fadi Albatsh di Kuala Lumpur, semalam.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, insiden terhadap pensyarah universiti swasta ketika berjalan menuju ke surau di kawasan kediaman untuk solat subuh dengan 10 das tembakan adalah kejadian terancang dengan rapi.

“Berita mengejutkan ini sangat menyedihkan kerana Malaysia sepatutnya menjadi tempat selamat untuk warga Palestin atau kepada mana-mana pelarian akibat konflik di negara asal.

“Insiden membunuh secara terbuka di kawasan awam oleh pembunuh upahan kini nampaknya menjadi gejala tidak asing di Malaysia.

“Kejadian pembunuhan sebegini menandakan jenayah bersindiket untuk mensasar seseorang mangsa semakin bertapak di negara ini, yang selama ini dianggap negara aman dan boleh menjadi tempat perlindungan untuk warga Palestin dan warga lain,” katanya.

Beliau berkata, asasinasi warga Korea yang lalu juga menunjukkan adanya percubaan menjadikan Malaysia tempat melancarkan operasi jenayah bersindiket.

Katanya, pembunuh upahan beroperasi di Malaysia bukan suatu yang asing lagi dan MAPIM mengesa polis menjalankan siasatancterperinci untuk mengesan penjenayah dan pihak yang mendalanginya.

“Assasinasi warga Palestin kini berlaku di beberapa negara membabitkan operasi Mossad Israel dan siasatan segera diperlukan untuk membongkar motif assasinasi ini.

“Malaysia tidak boleh dibiar menjadi tapak sindiket pembunuhan secara upahan,” katanya sambil merakamkan takziah kepada keluarga mangsa.