Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kadar pengangguran negara turun 4.5 peratus pada September

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Kadar pengangguran di negara ini terus menurun 4.5 peratus membabitkan 729,600 orang pada September lepas berbanding bulan sebelumnya, menurut Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata kedudukan tenaga buruh bertambah baik apabila bilangan tenaga kerja buruh terus meningkat manakala pengangguran menunjukkan trend menurun.

“Peralihan lebih banyak negeri ke fasa berikutnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) membolehkan lebih banyak aktiviti perniagaan beroperasi semula dengan waktu operasi perniagaan dilanjutkan.

“Selain itu, kebenaran perjalanan rentas negeri di kawasan Lembah Klang ditambah dengan pembukaan semula industri pelancongan domestik di Terengganu dan Pulau Langkawi, Kedah juga menggalakkan lebih banyak aktiviti ekonomi pada bulan dikaji,” katanya dalam laporan Statistik Tenaga Buruh Malaysia di sini semalam.

Menurut beliau kesemua situasi positif itu telah mendorong pasaran buruh untuk kembali kukuh dan mendapatkan semula momentumnya.

Mohd Uzir berkata mengikut sektor ekonomi, pekerja dalam sektor perkhidmatan terus mencatatkan peningkatan terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan makanan dan minuman serta maklumat dan komunikasi.

Tenaga kerja dalam sektor pembuatan dan pembinaan juga mencatatkan perubahan positif manakala sektor pertanian, perlombongan dan kuari kekal menurun.

Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada September, Mohd Uzir berkata penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 83.7 peratus daripada jumlah penganggur dan kumpulan ini menurun sebanyak 2.6 peratus kepada 611,000 orang berbanding 627,500 orang pada Ogos.

“Aktiviti ekonomi dinamik yang berterusan akan mempercepatkan proses pemulihan perniagaan dan seterusnya dikaitkan dengan peningkatan dalam permintaan buruh yang akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Ekonomi negara dijangka akan meningkat pada bulan-bulan akan datang yang digambarkan oleh Prestasi Indeks Pelopor yang lebih baik,” katanya.

Menurut Mohd Uzir antara negeri yang mencatatkan penurunan kadar pengangguran ialah Putrajaya dengan 1.0 peratus, diikuti Melaka (3.0 peratus), Selangor (3.6 peratus), Negeri Sembilan (3.7 peratus) dan Pulau Pinang (3.7 peratus).

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat sembilan negeri yang mencatatkan peningkatan dalam Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB), yang menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam ekonomi.

KPTB tertinggi dicatatkan oleh Selangor (74.7%), Kuala Lumpur (73.6%), Pulau Pinang (70.7%), Putrajaya (70.2%) dan Sarawak (69.7%).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

20 peratus golongan menengah beralih ke B40 akibat pandemik

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Sebanyak 20 peratus daripada kumpulan isi rumah M40 yang berpendapatan di antara RM4,850 dan RM10,959 beralih kepada kumpulan B40 akibat kesan pandemik Covid-19, menurut Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata laporan itu mendedahkan isi rumah yang berada dalam kumpulan T20 didapati turut terkesan apabila 12.8 peratus isi rumah daripada kumpulan itu beralih kepada kumpulan M40.

“Memandangkan peratus penurunan pendapatan bagi isi rumah B40 dan M40 adalah lebih besar berbanding kumpulan isi rumah T20, maka agihan pendapatan bagi B40 dan M40 masing-masing menurun kepada 15.9 peratus (2019: 16.0 peratus) dan 36.9 peratus (2019: 37.2 peratus).

“Sementara itu, kumpulan T20 memiliki 47.2 peratus pendapatan, meningkat sebanyak 0.4 mata peratus berbanding 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan tersebut memuatkan dapatan kajian kesan Covid-19 ke atas pendapatan isi rumah serta statistik insiden kemiskinan di Malaysia tahun lepas.

Menurut laporan itu, Mohd Uzir berkata pendapatan purata isi rumah turut mencatatkan penurunan 10.3 peratus iaitu RM7,089 berbanding RM7,901 pada 2019.

Beliau menjelaskan faktor penurunan tersebut disebabkan isi rumah atau individu yang mengalami kehilangan atau pengurangan pendapatan, terutamanya mereka yang berstatus pekerja dan bekerja sendiri.

“Tambahan pula, pengurangan pendapatan ini bukan sahaja akibat daripada kehilangan pekerjaan malah turut disumbangkan oleh pengurangan jam bekerja dan peningkatan guna tenaga tidak penuh berkaitan dengan kemahiran,” katanya.

Ketua Perangkawan turut menambah, berdasarkan kajian tersebut, dianggarkan bilangan isi rumah miskin meningkat kepada 639.8 ribu isi rumah, berbanding 405.4 ribu isi rumah pada 2019, dengan Sabah mencatatkan peratusan tertinggi bagi insiden kemiskinan mutlak iaitu 25.3 peratus (2019: 19.5 peratus).

Secara keseluruhan, beliau berkata penularan pandemik Covid-19 memberi impak luar jangka kepada pendapatan isi rumah dan mengubah struktur kumpulan isi rumah, bagaimanapun, keadaan ekonomi dijangka bertambah baik dan pulih apabila penularan pandemik ini dapat diatasi.

Katanya, berdasarkan analisis itu, peranan Kerajaan Persekutuan dan negeri serta pelbagai pihak adalah penting dalam mengurangkan kesan pandemik, ke arah memulihkan pendapatan isi rumah dan ekonomi negara.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kadar inflasi bandar dan kampung tiada beza

SHAH ALAM, 4 OGOS: Kadar inflasi sebanyak lima peratus di bandar dan luar bandar bagi Mac tahun ini menyebabkan harga barang di kawasan bandar dan luar bandar tidak mempunyai perbezaan.

Ketua Pengarah Jabatan Statistik, Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, urbanisasi luar bandar kini mencapai 75 peratus dan kesan kenaikan harga barang di kampung serta bandar adalah sama dengan kadar inflasi mengecil kepada purata 4.2 peratus bagi suku pertama tahun ini.

Katanya, keadaan itu berpunca daripada rangkaian teknologi maklumat (IT) yang lengkap dan hubungan lebih baik antara kawasan bandar serta kampung.

EKONOMI-604x270“Kenaikan kadar inflasi pada Januari hingga Mac tahun ini mengecil kepada 0.1 peratus berbanding purata perbezaan sebanyak 0.4 peratus hingga 0.5 peratus sepanjang tiga tahun lalu.

“Harga teh tarik di Putrajaya dan kampung juga sama,” katanya yang dipetik laporan Sin Chew Daily.

Uzir berkata bagi kawasan bandar, punca kadar inflasi meningkat dengan cepat pada tempoh itu adalah disebabkan makanan dan minuman tidak beralkohol (4.2 peratus), pengangkutan (16 peratus) dan perkhidmatan riadah serta budaya (3.2 peratus).

Manakala, bagi kawasan kampung pula, katanya, kenaikan paling ketara ialah makanan dan minuman tidak beralkohol sebanyak 3.7 peratus, pengangkutan (17 peratus) dan perkhidmatan riadah serta budaya (2.7 peratus).

Katanya, selain sewa rumah dan pengangkutan, harga perkhidmatan dan barang di kawasan kampung serta bandar hampir sama, khasnya produk IT dan perkhidmatan.

“Dulu, penduduk kampung menjalankan perniagaan berasaskan perkhidmatan, tetapi sekarang semua orang mahu mencari lebih banyak wang untuk membuat perkara yang dikehendaki mereka, khasnya melancong.

“Perbelanjaan terbesar penduduk bandar ialah pengangkutan dan tempat tinggal, manakala bagi orang kampung pula ialah barang keperluan,” katanya.

Kadar inflasi untuk suku pertama tahun ini meningkat 5.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dikatakan berpunca daripada perbezaan besar harga minyak pada Mac tahun ini dan Mac 2016.

“Harga minyak pada Mac 2016 ialah RM1.60, tetapi ia meningkat kepada RM2.29 pada Mac tahun ini, jadi perbezaannya besar,” katanya.

Katanya, kadar inflasi untuk 5 bulan pertama tahun ini ialah Januari 3.2 peratus, Februari 4.5 peratus, Mac 5.1 peratus, April 4.4 peratus dan Mei 3.9 peratus. Kadar inflasi menurun disebabkan kesan harga minyak berkurangan.