Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan Negeri, persekutuan perlu kerjasama pulih ekonomi

SHAH ALAM, 4 DIS : Kerajaan Negeri dan persekutuan perlu bekerjasama untuk memulihkan ekonomi negara dan rakyat yang terkesan akibat Covid-19, kata seorang pakar ekonomi.

Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata campur tangan itu perlu kerana kebanyakan sektor semakin lumpuh selepas hampir dua tahun berdepan pandemik.

“Hampir dua tahun kita berhadapan dengan situasi ini, kegagalan di pasaran yang agak ekstrem kerana tidak boleh bekalkan perkhidmatan termasuk sebahagian besar pemain pasaran, firma, syarikat termasuk peniaga turut mengalami masalah.

“Justeru, pandemik ini menuntut sektor kerajaan tampil ke depan melakukan sesuatu dan menggunakan sama ada kuasa pasaran, kuasa sektor ketiga seperti badan bukan kerajaan (NGO) sebagai senjata untuk bantu pulih ekonomi,” katanya.

Beliau berkata menerusi program Bual Bicara bertajuk Pandemik Desak Campur Tangan Kerajaan Dalam Pasaran? yang bersiaran secara langsung di YouTube SelangorTV malam tadi.

Dr Nungsari turut mengingatkan kerajaan menyusun strategi untuk memastikan landskap pasaran tidak merudum lagi jika pandemik berulang pada masa depan.

“Tiada ideologi di dunia yang menyatakan kerajaan tidak patut terlibat (pulih ekonomi rakyat). Namun, sejauh mana kemampuan kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini? perlu ada perancangan sebaiknya,” katanya.

Mengulas berhubung kenaikan harga bahan mentah kebelakangan ini, beliau menjelaskan perkara itu perlu diteliti bermula daripada proses awal pengeluaran.

“Kita perlu melihat punca kenaikan harga barang adakah kerana permintaan tinggi atau isu rantaian bekalan atau pembekal sengaja menaikkan harga, semua ini perlu diambil kira,” katanya.

Baru-baru ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan Op Pasar (Sayur 2) di seluruh negara susulan laporan kenaikan harga barangan makanan itu yang didakwa mencapai tahap hingga 200 peratus di pasaran.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pakar: Agih dana seimbang, belanjawan Selangor lebih baik banding Putrajaya

SHAH ALAM, 4 DIS: Peruntukan Belanjawan Selangor 2022 bagi pengurusan dan pembangunan jauh lebih baik dan seimbang berbanding persekutuan, kata seorang pakar ekonomi.

Ia berikutan Putrajaya menggunakan hasil negara sepenuhnya bagi perbelanjaan mengurus dan perlu meminjam untuk melaksanakan pembangunan, jelas Dr Nungsari Ahmad Radhi.

“Bagusnya Selangor saya lihat negeri ini berjaya tambah apa yang persekutuan tekankan sama ada daripada sudut pendigitalan, industri aeroangkasa dan keselamatan sosial,” katanya.

Beliau bercakap dalam program Bual Bicara: Pandemik Desak Campur Tangan Kerajaan Dalam Pasaran? yang disiarkan di YouTube SelangorTV dan Facebook Media Selangor malam tadi.

Dr Nungsari turut bersetuju dengan konsep Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) yang mengagihkan terus tunai kepada golongan sasar bagi mengelak penipuan.

“Konsep tunai atau beri terus kepada rakyat lebih cekap berbanding menganjurkan program yang akhirnya golongan sasaran itu dapat lebih kurang RM60 berbanding nilai asal RM100.

“Saya berharap rakyat Selangor ada rasa penghargaan dengan peruntukan belanjawan ini yang memang patut dilaksana dalam situasi pandemik,” katanya lagi.

Belanjawan negeri yang dibentang pada 26 November memperuntuk RM2.34 bilion bagi meningkatkan manfaat kepada rakyat dan merancakkan ekonomi.

Antara yang ditambah baik termasuk program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS Ibu Tunggal melalui Bingkas dengan agihan RM300 sebulan kepada keluarga yang layak.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Jomo, Nungsari bersama MB bincang isu ekonomi pascawabak esok

SHAH ALAM, 22 FEB: Dua ahli ekonomi Jomo KS dan Dr Nungsari Ahmad Radhi bersiaran secara langsung bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di forum dalam talian pada malam esok.

Orang ramai yang mahu mengetahui perancangan ekonomi negeri selepas wabak Covid-19 boleh mengikuti perbincangan itu pada jam 8 malam.

Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar yang juga ahli Lembaga Pengarah Media Selangor menjadi pemudah cara forum bertajuk Ekonomi pascapandemik: Ke mana hala tuju?

Dr Jomo seorang ahli ekonomi terkemuka sebelum ini pernah berkhidmat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Dr Nungsari berpengalaman selama 30 tahun sebagai ahli akademik dan pernah menjadi Pengerusi Khazanah Research Institute (KRI).

Sementara Johan dikenali umum menjadi hos temu bual bersama pemimpin negara dan dilantik ahli lembaga pengarah agensi media Kerajaan Selangor tahun lalu.

Acara anjuran Media Selangor itu boleh ditonton di Facebook Amirudin Shari dan Media Selangor serta YouTube SelangorTV.