Categories
ADN SELANGOR

Saringan Covid-19 serendah RM50 di DUN Bandar Utama 5-7 Mac

PETALING JAYA, 3 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama menganjurkan saringan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) serendah RM50 kepada 500 penduduk terawal.

Wakil rakyatnya Jamaliah Jamaluddin berkata program dengan kerjasama dua klinik swasta bermula 5 hingga 7 Mac ini di Pusat Komuniti Bandar Utama, Jalan BU 3/1, di sini.

“Perkhidmatan itu disediakan dari jam 2 hingga 5 petang. Kita mengalu-alukan orang ramai mengambil peluang ini dan bersama memerangi Covid-19 .

“Usaha ini bertujuan mengekang penularan wabak di samping mengurangkan beban masyarakat untuk membayar ujian saringan yang menelan kos tinggi,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Menurutnya penduduk perlu membawa kad pengenalan atau salinan bil utiliti untuk melayakkan mereka mendapat harga tersebut.

Katanya orang ramai juga berpeluang membuat kaedah saringan secara pandu lalu sejumlah RM70 yang mana memerlukan pra-pendaftaran terlebih dahulu.

“Mereka perlu berdaftar dengan menghantar WhatsApp taip #PKBU ke 012-471 1401 dan membayar sebelum 5 petang esok,” tambahnya.

Beliau turut menjelaskan ujian itu juga terbuka kepada warga asing dengan kos serendah RM70.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Bandar Utama teliti idea baharu agih bantuan kepada penduduk

SHAH ALAM, 20 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama akan meneliti idea baharu bagi mendapatkan bantuan untuk diagih kepada penduduk yang memerlukan tahun ini.

Jamaliah Jamaluddin berkata pendekatan berbeza wajar digerakkan dalam memenuhi keperluan golongan sasar khususnya yang terkesan akibat Covid-19.

“Perbincangan akan diadakan bersama pegawai dan ahli majlis terlibat untuk menentukan jenis bantuan termasuk menambah baik sistem pemberian sama ada melalui baucar atau sebaliknya.

“Sepanjang tempoh pandemik, ramai yang beri bantuan makanan asas sedangkan mereka (penduduk) sebenarnya bukan sekadar memerlukan bekalan itu,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian mengulas inisiatif Dato’ Menteri Besar yang memperuntuk RM100,000 kepada setiap DUN dan RM50,000 kepada ahli parlimen negeri ini bagi melaksanakan program Mesra Rakyat.

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Pakej Kita Selangor hari ini berkata kelulusan peruntukan khas itu dipersetujui berikutan keadaan pandemik yang terus melarat.

Mengulas lanjut, Jamaliah berkata usaha tersebut memudahkan wakil rakyat merancang dan menjayakan program bantuan secara menyeluruh di kawasan masing-masing.

“Diharapkan bantuan ini bukan sahaja mampu meringankan beban warga Bandar Utama malah menggalakkan mereka mencari pendapatan yang lebih banyak,” katanya.

Beliau menambah hampir 1,600 keluarga terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40), warga emas dan ibu tunggal mendapat manfaat bantuan makanan asas sejak Mac tahun lalu.

Jamaliah berkata pihaknya menjalin kerjasama dengan beberapa pasar raya terpilih yang membekalkan keperluan tersebut secara borong.

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat sewa lori, angkut bekalan air kepada penduduk Bandar Utama

SHAH ALAM, 20 OKT: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama menyewa lori bagi mengangkut tiga tangki air untuk diagih kepada penduduk sementara bekalan pulih sepenuhnya.

Ahli Dewan Negeri Jamaliah Jamaluddin berkata pihaknya menyediakan empat tangki yang mampu menampung 400 gelen air dan inisiatif ini digerakkan sejak semalam.

“Kami faham Air Selangor kekurangan lori tangki. Semalam baru kita dapat satu lori (tangki) sahaja dan ia tidak cukup untuk menampung keperluan kerana di DUN Bandar Utama ada enam zon dan di bawahnya ada banyak taman perumahan.

“Jika satu lori tangki masuk pastinya ia akan berada di sana hampir tiga jam. Ia tidak mampu menampung keperluan semua kerana kita anggarkan hanya satu atau dua kawasan besar sahaja akan dapat air,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan sebuah lori mampu membawa tiga tangki air berkapasiti 400 gelen dengan tumpuan agihan kini di kawasan kritikal memandangan hampir 60 peratus kawasan DUN itu mendapat bekalan sepenuhnya.

Jamaliah berkata inisatif berkenaan digerakkan di kawasan perumahan SS4, SS20, SS21 dan SS23.

“Kita berhasrat untuk menambah jumlah tangki selepas ini. Memandangkan bekalan air kian pulih kita tidak mahu ambil risiko untuk menyewa lebih banyak lori ketika ini,” katanya.

Gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,292 kawasan berlaku ekoran henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang berikutan pencemaran pada 19 Oktober.