Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Agong isytihar darurat di Parlimen Gerik, DUN Bugaya

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, sekali gus membatalkan dan menangguhkan pilihan raya kecil (PRK) dua kerusi berkenaan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Seri Paduka bertitah demikian selepas memperhalusi penjelasan beliau yang menyembah maklum nasihat jemaah menteri berhubung perkara itu.

“Seri Paduka Baginda telah berkenan untuk mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua PRK tersebut setelah berpuas hati bahawa adanya keperluan pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia bagi memasyhurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No.2) 2020 Sn Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.3) 2020 di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan PRK Gerik dan Bugaya yang dijadualkan 16 Jan 2021 dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh akan ditentukan kelak.

“Saya bagi pihak jemaah menteri menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Seri Paduka Baginda atas perkenan untuk mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua bahagian pilihan raya berkenaan,” kata Muhyiddin dalam kenyataan.

Muhyiddin berkata jemaah menteri pada 4 Dis lalu membincangkan secara terperinci akan kesan PRK Gerik dan Bugaya jika diadakan pada masa pandemik Covid-19 masih menular di negara ini.

Perdana menteri berkata mengambil iktibar penularan Covid-19 susulan Pilihan Raya Negeri Sabah pada September lepas, jemaah menteri berpandangan kedua-dua PRK itu perlu dielakkan atas faktor ancaman kesihatan awam, ancaman ke atas kehidupan ekonomi dan ancaman ketenteraman awam.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan kedua-dua PRK itu diadakan serentak pada 16 Jan depan susulan kematian wakil rakyat kedua-dua kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Gerik Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia pada 16 Nov lalu di Raub, Pahang akibat serangan jantung, sementara, ADN Bugaya Manis Muka Mohd Darah pula meninggal dunia keesokan harinya (17 Nov) kerana komplikasi penyakit buah pinggang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Parlimen Gerik, DUN Bugaya 16 Januari 2021 – SPR

PUTRAJAYA, 27 NOV: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, dijalankan serentak pada 16 Januari 2021.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan urusan kedua-dua PRK berkenaan hari ini, berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 4 Januari manakala pengundian awal pada 12 Januari.

Kedua-dua PRK berkenaan perlu diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P.054 Gerik dan DUN N.66 Bugaya susulan kematian kedua-dua penyandang kerusi tersebut.

Penyandang kerusi Parlimen Gerik Allahyarham Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia pada 16 Nov, manakala penyandang kerusi DUN Bugaya Allahyarham Manis Muka Mohd Darah kembali rahmatullah pada 17 Nov.

Hasbullah, 63, meninggal dunia di Raub, Pahang akibat serangan jantung. Pada PRU14, Allahyarham daripada Barisan Nasional mempertahankan kerusi Parlimen Gerik dengan majoriti 5,528 undi.

Manis Muka, 65, pula meninggal dunia di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu akibat masalah buah pinggang. Allahyarham daripada Parti Warisan Sabah mempertahankan kerusi DUN Bugaya pada Pilihan Raya Negeri Sabah, 26 Sept lepas dengan majoriti 6,005 undi, mengatasi enam pencabarnya.

Bagi kedua-dua PRK itu, Abdul Ghani berkata SPR menetapkan tempoh berkempen selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding hingga 11.59 malam pada 15 Jan 2021.

“SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi. SPR juga memohon kerjasama semua pihak termasuk pihak media dan parti-parti politik agar turut mengambil langkah menyeru dan menggalakkan pengundi supaya keluar mengundi,” katanya.

Abdul Ghani berkata bagi PRK Parlimen Gerik, SPR menggunakan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) suku ketiga (ST3/2020) yang mengandungi 36,750 pengundi, terdiri daripada 33,675 pengundi biasa; tentera serta pasangan (2,111); polis Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan (959) dan pengundi tidak hadir luar negara (5).

Bagi PRK DUN Bugaya pula, Abdul Ghani berkata SPR menggunakan DPPR ST3/2020 yang mengandungi 21,618 pengundi yang terdiri daripada 21,181 pengundi biasa dan 437 anggota polis.

Pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi bagi kedua-dua PRK berkenaan akan masing-masing diadakan di Dewan Serba guna Majlis Daerah Gerik dan Dewan Masyarakat Semporna, katanya.

Abdul Ghani berkata SPR menambah baik Garis Panduan Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan Pilihan Raya yang digunakan semasa Pilihan Raya Negeri Sabah ke-12 lepas bagi pelaksanaan kedua-dua PRK itu.

Menurut beliau, semua aktiviti berkempen berbentuk ceramah, syarahan, kempen ziarah rumah ke rumah, walkabout atau pengedaran risalah secara bersemuka tidak dibenarkan.

“Calon digalakkan berkempen menggunakan saluran media sosial. Calon dibenarkan untuk memasang sepanduk di dalam kawasan pilihan raya,” katanya.

Abdul Ghani berkata petugas parti atau calon juga perlu mengelakkan pertembungan semasa pemasangan sepanduk bagi mengekalkan penjarakan fizikal.

Selain itu, aktiviti berkempen menggunakan kenderaan yang dilengkapi alat pembesar suara dibenarkan pada waktu yang munasabah, namun tidak boleh menyebabkan berlaku perkumpulan atau perhimpunan penyokong.

Menurutnya, seramai 1,309 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Parlimen Gerik yang melibatkan 23 pusat mengundi dan 81 saluran dengan anggaran peruntukan sebanyak RM5.8 juta.

Bagi mengendalikan PRK DUN Bugaya yang melibatkan sembilan pusat mengundi dan 46 saluran dengan anggaran peruntukan sebanyak RM4.7 juta, SPR akan melantik 544 petugas, katanya.

-BERNAMA