Categories
ADN SELANGOR

Bantuan makanan lebih RM20,000 untuk penduduk Kuala Kubu Bharu

SHAH ALAM, 18 OGOS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu memperuntuk lebih RM20,000 untuk bantuan bakul makanan kepada golongan memerlukan sejak 1 Ogos hingga Ahad lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN)nya berkata pusat khidmat menyalurkan bantuan tersebut setiap hari supaya tiada penduduk terputus bekalan makanan.

“Laporan menunjukkan kami telah menghantar sebanyak RM22,974.50 makanan untuk mereka memerlukan pada 1 hingga 15 Ogos,” kata Lee Kee Hiong menerusi Facebook.

Kepada penduduk DUN itu yang memerlukan bantuan boleh menghubungi talian 0111-550 9837.

Pada 9 Jun, Amirudin mengumumkan setiap DUN menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Turut menerima peruntukan tambahan dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat ahli parlimen Pakatan Harapan berjumlah RM30,000.

Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.

Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

Lepas benih ikan kelah, tingkat pembiakan spesies

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA KUBU BHARU 9 OKT: Ribuan anak benih ikan kelah dan tengas dilepaskan Jabatan Perikanan Selangor, di Santuari Ikan Sungai Chiling, di sini, baru-baru ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong berkata, usaha itu bagi memastikan pembiakan ikan dapat dilaksanakan secara berterusan dan menjamin peningkatan jumlah spesies hidupan berkenaan.

Katanya, ikan kelah dilihat semakin sukar ditemui, malahan diancam kepupusan kerana ia menjadi buruan kegemaran orang ramai melalui aktiviti penangkapan melampau.

“Saya bersama EXCO Kemudahan Infrastruktur Kemudahan, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim melepaskan anak benih ikan kelah serta tengas yang merupakan bantuan anak benih daripada JPS di sungai ini.

“Santuari ini diwujudkan oleh JPS sejak 2005 untuk menyediakan satu kawasan perlindungan kepada spesies ikan kelah dan tengas yang semakin berkurangan.

“Justeru, aktiviti melepaskan benih ikan kelah dijalankan setiap dua kali setahun iaitu pada Mac dan September,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

Kee Hiong berkata, orang ramai mempunyai tanggungjawab memelihara sungai berkenaan supaya dapat mengekalkan spesies itu daripada pupus memandangkan ia sukar hidup di kawasan lain.

Katanya, tiada sebarang aktiviti penangkapan dibenarkan di kawasan terbabit.

“Oleh sebab itu ia hanya dibuka kepada pengunjung tiga hari seminggu iaitu pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan bermalam atas faktor keselamatan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, projek talian penghantaran 500 kV TNB di sungai itu juga dijadual akan bermula selewatnya pada tahun hadapan.

“Saya berharap santuari ikan kelah di sungai ini tidak akan terganggu semasa dan selepas projek dilaksanakan,” katanya.