Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Semak kehakiman bubar DUN Sabah, SPR sedia teruskan pilihan raya

KOTA KINABALU, 18 OGOS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetap bersedia meneruskan Pilihan Raya Negeri (PRN), meskipun terdapat permohonan semakan kehakiman dibuat terhadap keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom berkata setakat ini, pihaknya tidak mendapat apa-apa arahan daripada mahkamah berhubung perkara itu.

“Setakat ini SPR tidak mendapat apa-apa arahan daripada mahkamah. Jadi kita akan terus bersedia dengan pilihan raya ini sehingga kita dapat arahan daripada mahkamah, kita akan terus dengan tanggungjawab kita,” katanya dalam sidang media bagi urusan pilihan raya DUN Sabah ke-16 di sini, semalam.

Pada 3 Ogos, bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman bersama 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) memohon semakan kehakiman terhadap pembubaran DUN Sabah yang difailkan oleh firma guaman FT Ahmad and Co.

Terdahulu, pada tengah hari semalam, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan 21 Ogos ini bagi membuat keputusan sama ada keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai, boleh diadili.

Pada 30 Julai lepas, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah selepas mendapat perakuan Tun Juhar, berkuat kuasa serta-merta.

Sebelum itu, Musa pada sidang medianya mengumumkan yang beliau mendapat sokongan 32 ADUN untuk membentuk kerajaan negeri baharu. DUN dibubarkan itu mempunyai 65 Adun.

—BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPR terima notis pembubaran DUN Sabah

PUTRAJAYA, 31 JULAI: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menerima pemakluman rasmi dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam, berhubung pembubaran DUN Sabah penggal ke-15.

Setiausahanya Ikmalrudin Ishak berkata berdasarkan Perkara 21 (4), Perlembagaan Negeri Sabah, pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.

“Justeru, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ikmalrudin berkata tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PAKATAN: ‘Sangat tidak bertanggungjawab’ rampas kuasa waktu Covid-19

SHAH ALAM, 30 JULAI: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) menyifatkan cubaan rampasan kuasa di Sabah ketika negara sedang membendung penularan Covid-19 ‘sangat tidak bertanggungjawab’.

Dalam kenyataan bersama hari ini, majlis presiden menganggap tindakan tersebut seolah mengabaikan kesihatan orang ramai demi merebut pangkat dan kuasa.

PAKATAN juga menyokong penuh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal bagi menentang ‘cubaan jahat, tidak demokratik dan tidak bermoral’ untuk menjatuhkan kerajaan negeri dengan membeli wakil rakyat yang menggalakkan pembelotan oportunis.

“PAKATAN menyatakan sokongan penuh bagi menewaskan cubaan lompat parti yang sangat cela yang
dicetuskan anasir Perikatan Nasional – dengan segera membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan mengembalikan mandat kepada rakyat,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Majlis presiden berkata hanya rakyat mampu menewaskan ‘rampasan kuasa jahat’ yang dilancarkan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman dengan sokongan penuh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Mereka turut mengecam sekeras-kerasnya politik khianat serta tawaran sehingga RM32 juta seorang, bersekali dengan tawaran jawatan timbalan ketua menteri.

“Kami menyeru rakyat Sabah untuk menyokong Datuk Seri Shafie dan parti bersekutu dalam pilihan raya negeri akan datang untuk menetapkan semula politik nasional bagi mengangkat politik berprinsip serta menolak politik lompat parti dan memulihkan mandat rakyat berbanding kuasa wang ringgit,” katanya lagi.

Shafie hari ini mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari.

Categories
AGENDA NASIONAL

Shafie: YDP negeri perkenan bubar DUN Sabah

KOTA KINABALU, 30 JULAI: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari.

Mohd Shafie membuat pengumuman berkenaan pada sidang media khas di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Terdahulu, Mohd Shafie mengadap Tun Juhar di Istana Negeri di sini dan kenderaan yang membawa ketua menteri itu dilihat memasuki perkarangan istana pada jam 8.25 pagi.

Mohd Shafie berkata beliau memohon perkenan daripada Tun Juhar untuk membubarkan DUN dan Tuan Yang Dipertua memperakukannya.

“Saya masih menjalankan tugas-tugas sebagai Ketua Menteri dalam tempoh pembubaran tersebut,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Dewan Negeri (ADN) dan ahli parlimen blok kerajaan.

Beliau berkata rakyat Sabah yang menentukan kerajaan Sabah, bukan pihak lain.

Perkembangan politik di negeri ini menjadi hangat apabila bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman semalam mendakwa beliau mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Sabah.

Ketika ini, DUN Sabah mempunyai 65 kerusi dengan blok kerajaan menguasai 45 kerusi manakala blok pembangkang 20 kerusi.

-BERNAMA