Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Kempen 11.11 jualan mega catat kesan jualan memberangsang, lebih RM1 bilion

SHAH ALAM, 18 JAN: Kempen e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega yang berlangsung sepanjang sebulan setengah mencatat kesan jualan berjumlah RM1.04 bilion kepada ekonomi negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata jumlah berkenaan termasuk RM32.06 juta diraih melalui jualan terus sepanjang 26 Oktober hingga 15 Disember tahun lalu.

“Berbanding kempen e-Bazar Raya pada Mei hingga Julai tahun sama, ia mencatatkan peningkatan 274 peratus bagi jualan terus manakala 307 peratus bagi kesan jualan.

“Keseluruhannya, seramai 73,791 peniaga terlibat termasuk 26,744 perusahan kecil dan sederhana (PKS) baharu, iaitu 267 peratus lebih dari sasaran awal berjumlah 10,000. Peratusan ini membuktikan kempen ini memberi manfaat kepada peniaga,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media dalam talian mengumumkan kejayaan kempen berkenaan hari ini.

Menurutnya, dua kempen e-bazar dianjurkan Kerajaan Selangor pada tahun lalu dengan peruntukan baucar bernilai RM3 juta berjaya menghasilkan kesan jualan RM1.39 bilion serta RM43.74 juta jualan terus.

Katanya, tindakan melaksanakan pendigitalan perniagaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nyata berkesan dan memberi pulangan lumayan.

“Kita mahu menghasilkan ekosistem simbiotik untuk semua rakyat Selangor. Berdasarkan prinsip ‘tiada sesiapa yang akan ditinggalkan’, pendigitalan tidak terhad kepada kelas pertengahan dan atasan sahaja sebaliknya semua rakyat.

“Kita harap usaha tersebut dipergiatkan lagi bagi memastikan tiada yang ketinggalan dalam arus pertumbuhan ekonomi digital,” katanya.

Kempen e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega dengan peruntukan RM2 juta merupakan program beli-belah dalam talian anjuran Kerajaan Selangor dengan kerjasama Shopee dan Lazada bagi membantu peniaga berdepan krisis ekonomi berikutan penularan Covid-19.

e-Bazar Raya Selangor bersama Shopee tahun lalu mencatat pulangan RM341.5 juta, melebihi sasaran awal RM8 juta.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: E-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega dilanjut hingga 15 Disember

SHAH ALAM, 4 DIS: Kempen beli-belah dalam talian, e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega yang tamat pada 26 November lalu dilanjutkan sehingga 15 Disember ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu dibuat susulan permintaan memberangsangkan terhadap kempen yang digerakkan Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (Sitec).

“Tambahan 12 hari lagi diharap dapat membantu mengekalkan momentum kempen ini dan mewujudkan kesan berganda dengan jangkaan impak ekonomi sebanyak RM681 juta hasil daripada baucar berjumlah RM1.9 juta,” katanya di Twitter hari ini.

Beliau berkata seramai 68,724 peniaga dari Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta MikroIKS menikmati manfaat sejak program bersama Shopee dan Lazada diperkenalkan.

Selain itu, katanya, program berkenaan berjaya mendigitalkan seramai 14,806 usahawan baharu, mengatasi sasaran awal ditetapkan iaitu 10,000.

“Kerajaan Negeri percaya program imbuhan sebegini akan terus memberdaya usahawan dan mempersiapkan mereka untuk terus cekal dalam pasaran pasca Covid-19 nanti, sekali gus menjayakan agenda digitalisasi seperti digaris dalam Belanjawan Selangor 2021,” katanya.

Kempen e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega bermula 26 Oktober lalu dengan peruntukan RM2 juta untuk membantu peniaga yang terjejas akibat pandemik.

Program itu bertujuan mendorong sektor IKS memanfaat pendigitalan dalam perniagaan, sementara syarikat e-dagang terbabit menerima subsidi baucar RM1 juta.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kempen 11.11 Jualan Mega Shopee, Lazada rekod jualan RM30 juta

SHAH ALAM, 4 DIS: Kempen beli-belah dalam talian, e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega merekod hasil jualan sebanyak RM30 juta, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata inisiatif tersebut berjaya membantu peniaga menjana semula pendapatan yang terjejas teruk akibat Covid-19.

“Nilai jualan ini menunjukkan perniagaan dalam talian semakin berkembang serta mempunyai potensi besar untuk menjana pendapatan, jadi peniaga perlu memanfaatkan peluang.

“Kerajaan Negeri komited membantu peniaga meneroka ruang e-dagang kerana digitalisasi memberi harapan kepada kita untuk memulihkan ekonomi lebih cepat,” katanya dalam ucapan secara maya pada Majlis Penyampaian Hadiah Malaysia Top E-Commerce Merchant Award 2020 semalam.

Beliau berkata program beli-belah dalam talian bersama Shopee dan Lazada itu mencatat kesan limpahan ekonomi bernilai RM700 juta.

Selangor menganjurkan kempen e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega selama sebulan bermula 26 Oktober dengan peruntukan RM2 juta.

Program itu bertujuan mendorong sektor perusahaan kecil dan sederhana memanfaat pendigitalan dalam perniagaan, sementara kedua-dua syarikat e-dagang terbabit menerima subsidi baucar RM1 juta.