Categories
PBT SELANGOR

Pasar mini jual minuman beralkohol diarah tutup

PELABUHAN KLANG, 14 APRIL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengarahkan sebuah pasar mini di Jalan Buah Mentega di sini ditutup selepas dikesan hanya menjual minuman beralkohol, kata timbalan yang dipertuanya.

Elya Marini Darmin berkata biarpun pemilik premis mempunyai lesen perniagaan sah tetapi aktiviti dijalankan menyalahi peraturan dan arahan penutupan dibuat semasa Rondaan Pemantauan Pematuhan Arahan Perintah Kawalan Pergerakan dan Penguatkuasaan Perlesenan ke atas premis perniagaan sekitar Klang Selatan kira-kira 4.30 petang semalam.

“Hasil pemeriksaan seterusnya mendapati premis ini juga menjual arak iaitu minuman bir dalam tin pelbagai jenama dan kandungan akhohol di bawah lima peratus.

“Pemilik premis diberi amaran supaya tidak hanya menjual minuman beralkohol kerana tindakan lebih tegas akan diambil sekiranya didapati gagal mematuhi peraturan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemeriksaan disertai sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan, Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Perlesenan dan Jabatan Kesihatan berdasarkan aduan orang ramai berhubung aktiviti perniagaan di premis dimiliki warga tempatan.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPK hukum ‘peniaga terkotor’ ditentu pengguna

KLANG, 30 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan menyerahkan sijil ‘peniaga terkotor’ kepada peniaga pasar pagi dan malam tidak mematuhi tahap kebersihan, kata timbalan yang dipertuanya.

Elya Marini Darmin berkata pihaknya juga akan memaparkan gambar premis perniagaan terbabit di media sosialnya bagi menimbulkan kesedaran dan ini kerana pemilihan itu diputuskan penduduk menerusi pertandingan dijalankan.

“Ia (pertandingan) terbuka kepada semua. Mereka boleh mengambil gambar premis dan memuat naik di media sosial sendiri beserta lokasi dengan tandapagar (#peniagapasarkotor).

“Setiap bulan 10 penyertaan akan dipilih untuk menerima hadiah saguhati bermilai RM100,” katanya selepas Majlis Penyerahan Papan Tanda Kebersihan di sini hari ini.

Beliau berkata, untuk permulaan 10 tapak pasar dipilih antaranya pasar malam Jalan Sri Sarawak, Simpang Empat Sungai Udang, Pandamaran Jaya, Jalan Paip Meru dan Raja Mokhtar Kapar serta pasar pagi di Lorong Sungai Puloh 13, Jalan Papan dan Taman Chi Liung daripada keseluruhan 72 pasar dengan anggaran 1,200 peniaga.

Dalam perkembangan sama, Elya berkata denda sehingga RM2,000 juga dikenakan kepada peniaga pasar serta pengunjung yang membuang sampah di merata-rata kawasan ini berkuatkuasa serta merta.

Categories
PBT SELANGOR

Tapak sampah haram Kampung Perepat disita

KLANG, 16 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) serta Pejabat Tanah dan Daerah Klang bertindak menyita serta merta sebuah tapak pelupusan sampah haram di Kampung Perepat di sini, kata timbalan yang dipertua MPK.

Elya Marini Darmin berkata tindakan dilakukan hasil aduan awam dan tinjauan di kawasan seluas 12,140.57 meter persegi itu bagi mengenal pasti operasinya bermula kira-kira sebulan lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati pemilik menyewakan tanah ini untuk aktiviti pembuangan sisa domestik dan industri, maka kita memberikan tempoh dua bulan kepada pihak berkaitan untuk pembersihan juga pemuliharaan kawasan.

“Tindakan dijalankan menerusi notis 7A dan jika gagal tanah ini akan dirampas,” katanya ketika ditemui selepas lawatan ke tapak berkenaan di sini, semalam.

Elya berkata MPK sedang mengenal pasti beberapa lori didakwa melakukan aktiviti tidak bertanggungjawab itu berdasarkan nombor kenderaan diperolehi daripada penduduk sekitar bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan.

Beliau berkata terdapat 18 kawasan panas dikenal pasti menjalankan aktiviti pembuangan sampah haram di daerah itu dan 91 kenderaan disita sepanjang tahun lalu.

“Kita juga sedang menyediakan pemasangan kamera litar tertutup di jalan Kampung Kebun Nenas, Pulau Indah sepanjang dua kilometer bagi mengelakkan aktiviti ini.

“Ia sebagai usaha MPK menangani masalah ini kerana kawasan itu paling banyak berlaku kes pembuangan sampah haram,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Pencemaran bau, kilang plastik henti operasi

KLANG, 16 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengenal pasti pencemaran bau di sekitar Taman Perepat Timur, Kapar di sini berpunca daripada sebuah kilang memproses plastik, kata timbalan yang dipertuanya.

Elya Marini Darmin berkata hasil pemeriksaan dijalankan di premis berkaitan mendapati penapis scrubber dari mesin memproses plastik rosak dan kilang terbabit dihentikan operasi serta merta.

“Kita menerima aduan dari penduduk berkaitan bau yang kurang enak. Oleh itu, MPK bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat pemeriksaan dan mengenal pasti perkara itu.

“JAS menyarankan pengusaha kilang supaya membuat penyelenggaraan setiap 17 hari bagi memastikan insiden kerosakan tidak berulang,” katanya ketika ditemui di kilang berkenaan di sini semalam.

Elya berkata MPK akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa dan tidak sama sekali bertolak ansur dengan mana-mana pengusaha yang melakukan kesalahan.

Beliau berkata, terdapat lebih 500 kilang haram di Telok Gong dan setakat ini MPK menutup 70 kilang sama di bawah pentadbirannya sejak November tahun lalu hingga 15 Januari lepas selain bancian berterusan dilakukan berhubung perkara itu.

Categories
PBT SELANGOR

Pelajar, pensyarah MSU jalan kaki jejaki sejarah Klang

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 4 JAN: Kira-kira 1,500 pelajar dan pensyarah Management and Science University (MSU) menyertai program ‘Royal Klang Heritage Walk’ bagi menjejaki warisan Bandar DiRaja Klang di sini, hari ini.

Menerusi program itu, kumpulan dari Sekolah Hospitaliti dan Seni Kreatif universiti berkenaan akan berjalan kaki ke 11 tempat bersejarah di sekitar bandar antaranya ialah Bangunan Galeri Diraja, Gedung Raja Abdullah, Istana Alam Shah, Bangunan Chartered Bank, rumah ibadat seperti Gereja Our Lady of Lourdes, Kuil Sri Nagara Thendayuthapani dan bangunan warisan di sekitar Jalan Tengku Kelana.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Elya Marini Darmin berkata, program berkenaan merupakan satu produk pelancongan di Klang yang dikenali penggiat pelancongan dari dalam dan luar negara.

“Ia adalah aktiviti berjalan kaki yang diketuai pemandu pelancong terlatih, menyelusuri 11 perhentian terdiri daripada bangunan warisan yang masih kekal strukturnya dan mempunyai nilai sejarah menarik.

“Oleh itu, pembabitan pelajar dan pensyarah MSU dalam program ini dapat menerapkan kemahiran pelajar dari segi pembangunan diri, mengetengahkan kepentingan sejarah kepada generasi muda mengenai warisan serta tradisi Klang yang juga merupakan salah satu bandar tertua di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Royal Klang Town Heritage Walk’ bersama pelajar MSU di Stadium Sultan Suleiman di sini.

Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Majid serta Timbalan Yang Dipertua MPK, Elya Marini Darmin bersama peserta program Royal Klang Heritage Walk di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 4 Januari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Hadir sama, Pengurus Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad dan Presiden MSU, Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Pada masa sama, Elya Marini berkata, penganjuran program seperti itu juga akan mewujudkan perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum.

“Ia di samping memelihara keamanan dan keharmonian negara serta menjalinkan hubungan dan persefahaman yang erat di antara pelbagai pihak,” katanya.

Program bimbingan itu merupakan aktiviti ‘Royal Klang Town Heritage Walk’ pertama diadakan pada tahun ini dan diketuai Pemandu Pelancong Hos Komuniti Selangor Daerah Klang.

Sementara itu, Azrul Shah berkata, pembabitan pelajar dan pensyarah MSU itu merupakan angka yang besar dan menjadi bukti ahli akademik serta pelajar mengambil berat akan faktor sejarah dalam kehidupan seharian.

“Secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada perkembangan kendiri dan berupaya melahirkan graduan berinformasi,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

300 kanak-kanak ceria terima ‘angpau’ Krismas

KLANG, 20 DIS: Seramai 300 kanak-kanak dan lima pertubuhan menerima sumbangan sempena sambutan Hari Krismas yang bakal diraikan pada Rabu depan.

Timbalan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Elya Marini Darmin berkata, sumbangan disalurkan kepada penganut Kristian itu bagi membantu golongan kurang kemampuan.

“MPK memperuntukkan RM2,500 kepada pertubuhan kebajikan manakala ‘angpau’ berkenaan pula bertujuan untuk mengembirakan hati kanak-kanak berkenaan.

“Dengan sumbangan disalurkan diharapkan dapat membantu meringankan beban golongan berkaitan bagi meraikan sambutan Hari Natal pada 25 Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Mesra Krismas bersama warga MPK 2019 di Mini Auditorium Sultan Abdul Samad di sini, hari ini.

Kanak-kanak turut memeriahkan pada Majlis mesra Krismas bersama warga MPK di Mini Auditorium Sultan Abdul Samad, Klang pada 20 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sumbangan berkenaan disampaikan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Dr Daroyah Alwi.

Lima pertubuhan itu ialah Pertubuhan Kebajikan Wanita dan Keluarga Abundant ARK, Waja Home, Rumah Anak Yatim Berkat Kasih, Suria Pagi dan Rakan Lutheran.

Mengulas penganjuran perayaan Krismas bersama warganya itu, Elya berkata, ia merupakan program julung kali diadakan.

“Saya berharap menerusi program ini, ia dapat memberi suntikan semangat untuk meneruskan tahun depan yang dijangka lebih mencabar,” katanya.