Categories
NASIONAL SELANGOR

Pemilik gerai dan restoran perlu tingkat kebersihan

Datuk Asmawi Kasbi (MPSJ)

SUBANG JAYA 25 OKT : Pemilik gerai dan restoran di kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) digesa untuk memastikan kebersihan dan keceriaan premis bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadap mereka.

Yang DiPertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi, berkata tindakan tegas termasuk menutup premis kotor dan melanggar undang-undang akan dibuat terhadap pemilik yang degil serta enggan mengikut peraturan ditetapkan.

Katanya, sehingga kini empat restoran dikenakan tindakan kompaun dan diberi amaran untuk meningkatkan tahap kebersihan serta kepatuhan kepada peraturan yang ditetapkan.

“Kita berharap pemilik premis mengikut arahan yang ditetapkan MPSJ dan tidak melanggar peraturan yang ditetapkan ke atas mereka.

“MPSJ melaksanakan tindakan kompaun kepada mereka yang banyak melakukan kesalahan. Kita juga berharap tindakan ini dijadikan pengajaran kepada pemilik premis lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Daftar My@MPSJ yang diadakan di pekarangan Ibu Pejabat MPSJ, di sini, pagi tadi.

Asmawi berkata, operasi berterusan terhadap premis gerai dan restoran akan dilakukan dengan lebih kerap bagi memastikan pihak terbabit mengikut peraturan.

Katanya, peniaga juga perlu mengikut peraturan dengan tidak meletakkan kerusi dan meja di luar premis.

“Kompaun yang ditetapkan adalah RM250,00 tanpa diskaun dan rayuan kerana MPSJ mahu mengajar niaga supaya lebih berdisiplin ,” katanya.

-NFN-