Categories
NASIONAL SELANGOR

Pemilik gerai dan restoran perlu tingkat kebersihan

Datuk Asmawi Kasbi (MPSJ)

SUBANG JAYA 25 OKT : Pemilik gerai dan restoran di kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) digesa untuk memastikan kebersihan dan keceriaan premis bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadap mereka.

Yang DiPertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi, berkata tindakan tegas termasuk menutup premis kotor dan melanggar undang-undang akan dibuat terhadap pemilik yang degil serta enggan mengikut peraturan ditetapkan.

Katanya, sehingga kini empat restoran dikenakan tindakan kompaun dan diberi amaran untuk meningkatkan tahap kebersihan serta kepatuhan kepada peraturan yang ditetapkan.

“Kita berharap pemilik premis mengikut arahan yang ditetapkan MPSJ dan tidak melanggar peraturan yang ditetapkan ke atas mereka.

“MPSJ melaksanakan tindakan kompaun kepada mereka yang banyak melakukan kesalahan. Kita juga berharap tindakan ini dijadikan pengajaran kepada pemilik premis lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Daftar My@MPSJ yang diadakan di pekarangan Ibu Pejabat MPSJ, di sini, pagi tadi.

Asmawi berkata, operasi berterusan terhadap premis gerai dan restoran akan dilakukan dengan lebih kerap bagi memastikan pihak terbabit mengikut peraturan.

Katanya, peniaga juga perlu mengikut peraturan dengan tidak meletakkan kerusi dan meja di luar premis.

“Kompaun yang ditetapkan adalah RM250,00 tanpa diskaun dan rayuan kerana MPSJ mahu mengajar niaga supaya lebih berdisiplin ,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

My@MPSJ permudah urusan atas talian

MPSJ kiosk 1

SUBANG JAYA 25 OKT : Pembayar cukai di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) tidak perlu lagi datang ke pejabat untuk sebarang urusan pembayaran cukai kerana boleh dilakukan secara atas talian di My@MPSJ.

Yang DiPertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi, berkata MPSJ akan melaksanakan sistem butiran bil pembayaran cukai secara elektronik yang dihantar terus kepada pelanggan, mulai pada tahun depan.

“Justeru, kita menggalakkan orang ramai membuat pendaftaran ini dengan segara. Aplikasi melalui rekod pembayar akan memudahkan kita menghantar bil berkenaan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketia sidang media selepas pelancaran Kempen Daftar My@MPSJ yang diadakan di pekarangan Ibu Pejabat MPSJ, di sini, hari ini.

Katanya, perkhidmatan atas talian yang disediakan adalah bagi pembayaran cukai taksiran, kompaun trafik, sewaan, bil air, cagaran, tempahan gelanggang, pembaharuan lesen dan semakan status pembayaran kontraktor.

“MPSJ juga menyediakan alternatif untuk pendaftaran keahlian di kaunter ibu pejabat MPSJ dan mereka yang mendaftar berpeluang mendapat hadiah cabutan bertuah sehingga RM20,000,” katanya.

Syarat untuk menjadi ahli My@MPSJ adalah dengan menyertakan salinan kad pengenalan, salinan sijil pendaftaran perniagaan atau yang berkenaan yang perlu dihantar ke Kaunter Hub My@MPSJ, Jabatan Teknologi Maklumat, Kaunter Informasi MPSJ atau e-mel kepada [email protected] dan melalui talian faksimili 03-8024 6612.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan My@MPSJ boleh melayari di laman sesawang MPSJ http://www.mpsj.gov.my dan datang ke Jabatan Teknologi Maklumat MPSJ, di sini.

-NFN-