Categories
AGENDA NASIONAL

ERC kemuka 49 syor reformasi pilihan raya

PUTRAJAYA, 27 OGOS: Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) mengemukakan 49 syor reformasi pilihan raya dalam laporannya yang diserahkan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Pengerusi ERC Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berkata Muhyiddin ketika menerima laporan ERC itu di pejabat Perdana Menteri di bangunan Parlimen memberi jaminan untuk meneliti dan mengkaji kesemua syor yang dikemukakan.

“ERC tidak menetapkan sebarang tempoh untuk kerajaan melaksana syor-syor yang dikemukakan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Namun daripada kesemua syor berkenaan, katanya 32 syor dapat dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun jika diluluskan kerajaan manakala selebihnya mengambil masa antara lima dan 10 tahun.

Beliau berkata antara syor yang dikemukakan adalah pengasingan fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi meningkatkan keyakinan rakyat kepada SPR, dengan ia diasingkan kepada tiga badan.

Ab Rashid berkata SPR akan kekal sebagai badan utama menguatkuasakan undang-undang pilihan raya; sekretariat pilihan raya akan menjalankan proses pilihan raya; manakala Suruhanjaya Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya (EBC) pula akan melaksana urusan khas persempadanan pilihan raya.

Syor lain dalam laporan ERC itu adalah penetapan tarikh pembubaran Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri enam bulan sebelum tarikh sebenar; penetapan dasar seorang calon hanya boleh bertanding bagi satu kerusi dan memastikan keseimbangan pemilih dengan memperkenalkan kategori dan kriteria bagi bahagian pilihan raya.

ERC ditubuhkan pada Ogos 2018 untuk mengkaji setiap aspek berkaitan dengan sistem, proses serta undang-undang pilihan raya sedia ada agar dapat ditingkatkan setaraf dengan amalan demokrasi maju di peringkat antarabangsa.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPR kaji cadangan tubuh agensi penguatkuasaan khas pilihan raya

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang meneliti keperluan untuk menubuhkan agensi penguatkuasaan khas pilihan raya yang menggabungkan fungsi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusinya Datuk Azhar Azizan Harun berkata pihaknya mengambil maklum cadangan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) itu yang akan melibatkan penggubalan undang-undang baharu ataupun pindaan akta sedia ada.

“Dalam SPR sendiri kita ada jawatankuasa (yang) sedang kaji semua peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan akan mencadang untuk mengemaskinikannya.

“Dalam undang-undang sedia ada penguatkuasaan adalah di pihak polis bagi kesalahan am seperti ucapan kebencian, di SPRM pula untuk kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.

“Sama ada mahu satu agensi khas gabungkan kedua-duanya, kita sedang melihat dan sudah tentu perlu melibatkan penggubalan undang-undang baharu atau pindaan sedia ada,” katanya pada sidang media Program Latihan Commonwealth Election Professional (CEP) di sini, hari ini.

Sementara itu, Azhar berkata CEP yang julung kali berlangsung di rantau Asia adalah untuk menyokong negara anggota Komanwel dalam melaksanakan pilihan raya yang berwibawa dan berperanan melatih pegawai pilihan raya secara profesional.

“Ia dihadiri seramai 19 peserta dari Bangladesh, India, Pakistan, Sri Lanka, Australia dan Malaysia sebagai tuan rumah.

“Terdapat lima topik yang dibincangkan dalam program ini iaitu Sistem Pilihan Raya: Mempromosikan Demokrasi Mampan, Pendaftaran Pengundi, Kesaksamaan Gender dan Pilihan Raya, Pendidikan Pengundi, dan Pilihan Raya Dalam Era Media Baharu,” katanya.

Azhar berkata dalam kesaksamaan gender, pihaknya berpendapat tidak perlu ada satu penguatkuasaan khas bagi kuota pembabitan calon wanita dalam pilihan raya di negara ini namun polisi perlu dilakukan bagi menggalakkan inisiatif itu.

“Ia boleh dilakukan tanpa undang-undang, tidak seperti Pakistan mereka mempunyai undang-undang untuk menguatkuasakan dasar bagi menggalakkan lebih ramai penyertaan wanita.

“Saya rasa di Malaysia kita perlu melihat naratifnya dahulu, cuba yang terbaik untuk bersetuju dengan dasar itu. Sekiranya tidak berjaya, kita serahkan kepada pembuat dasar sama ada untuk menguatkuasakan dasar itu atau tidak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azhar berkata pihaknya sudah bersedia untuk menguruskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak jika Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dalam tempoh terdekat.

“Kita tidak tahu langsung bila PRN Sarawak akan diadakan tapi semestinya langkah persediaan telah dimulakan, tak bermakna akan diadakan secepat mungkin tetapi sekretariat kita sudah bersedia,” katanya.

-BERNAMA