SHAH ALAM 5 JULAI : Selcat hari ini menyaksikan pengakuan pembetulan pindaan ‘zoning’ yang dilakukan oleh bekas Pengarah Perancang Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Penolong Pengarah Kanan jabatan itu, Faiwos Abdul Hamid.
Tindakan ini dilabelkan sebagai lalai, tidak profesional dan tidak cekap oleh Jawatankuasa Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).
Bagaimanapun Noraini dalam penjelasannya memaklumkan bahawa bukan sahaja tanah padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) ditukar kepada zon komersil malah terdapat kawasan lain ditukar yang melibatkan sebanyak 59 kawasan dalam Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2).
Menurutnya, beliau dan jabatannya mengaku meminda ‘zoning’ terbabit berlandaskan amalan yang kebiasaannya dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain dan kurangnya kefahaman undang-undang dan akta yang ada.
Noraini memberitahu bekas Datuk Bandar MBPJ, Datuk Jaafar Mohd Atan ada memberi surat kepada Datuk Bandar yang baru, Datuk Mohammad Roslan SakimanĀ memaklumkan agar tidak ada pindaan selepas penwartaan berlaku.
Salinan surat turut disisikan kepada Noraini ketika itu.
Ketika ditanya Pengerusi Selcat, Datuk Teng Chang Kim siapa yang mengarahkan pembetulan atau pindaan ini dibuat.
Noraini menjelaskan tindakannya itu hanya mengikut kefahaman dan amalan yang biasa dilakukan dan amalan itu boleh diperbetulkan selagi ia belum dicetak.
“Saya mengaku kesilapan memindanya selepas keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang memutuskan tanah itu sebagai kawasan hijau.
“Saya juga mengaku kurangnya pengetahuan mengenai undang-undang dan akta yang tidak membenarkan pindaan dibuat selepas keputusan MMKN dan penwartaan,” jawab Noraini.
Sementara itu, Faiwos turut mengaku menerima arahan daripada Noraini bagi membuat pembetulan dalam RTPJ2 tersebut.
Katanya, kerja-kerja meminda dilakukan bermula dalam dua bengkel bersama jabatannya pada 21 dan 22 Oktober 2010 dan 13 Januari 2011 sehingga dihantar untuk dicetak pada 15 Ogos 2011.
“Saya mengaku dan bersetuju dengan Datuk pengerusi dan hari ini kami dapat belajar sesuatu,” kata Faiwos.
Dalam pada Teng menegaskan Jabatan Perancangan Bandar perlu bertanggungjawab. Dan sekiranya mahu melakukan sebarang pindaaan ia perlu dimaklumkan kepada MMKN dan bukan membuat keputusan sendiri.
Teng juga memberitahu keputusan pendengaran akan dibawa ke Sidang DUN November depan untuk memberi masa kepada Jawatankuasa Selcat untuk berbincang dan meneliti laporan yang dikemukakan oleh saksi.
“Kita juga akan mencari jawapan sama ada hal ini salah individu atau satu unit,” katanya.
RTPJ2 menimbulkan kontroversi apabila dokumen yang dirujuk Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Selangor mendapati padang awam milik PKNS itu dizonkan sebagai kawasan rekreasi manakala dokumen yang dirujuk oleh MBPJ pula menunjukkannya sebagai zon komersial.
Penduduk dan badan bukan kerajaan membantah apabila mengetahui padang PKNS di Kelana Jaya itu hendak dibangunkan kerana dikhuatiri akan mengurangkan kawasan hijau selain menimbulkan kesesakan lalu lintas.