Categories
AGENDA NASIONAL

Fama Selangor sasar buka 40 pasar pra-Ramadan, Aidilfitri

SHAH ALAM, 17 MAC: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor menyasarkan untuk membuka 40 buah Pasar Pra-Ramadan dan Pasar Pra-Aidilfitri di negeri itu yang meliputi kira-kira 80 peratus daripada pasar tani sedia ada.

Pengarah Fama Selangor Abdul Rashid Bahri berkata Pasar Pra-Ramadan akan dibuka sehari sebelum Ramadan manakala Pasar Pra-Aidilfitri akan beroperasi tiga hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

“Fama akan memfokuskan produk persediaan untuk Ramadan dalam Pasar Pra-Ramadan nanti. Begitu juga Pasar Pra-Aidilfitri, yang mana usahawan Fama akan menjual barangan asas perayaan bagi sambutan hari raya,” katanya pada Pembukaan Pasar Tani ke-50 TTDI Jaya, dekat sini hari ini.

Abdul Rashid mengulas mengenai pengumuman kebenaran pengoperasian bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negara, semalam.

Katanya pengoperasian pasar tersebut akan berlandaskan tatacara operasi piawai (SOP) yang sedang dilaksanakan ketika ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Fama buka pasar tani baharu di Taman TTDI Jaya Rabu depan

SHAH ALAM, 11 MAC: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor membuka pasar tani baharu di Taman TTDI Jaya pada 17 Mac ini.

Pengarahnya berkata pasar yang bertempat di Jalan Saujana Indah 1, Seksyen U2 menawarkan komoditi seperti sayur-sayuran, barangan runcit, ikan, ayam, daging dan makanan.

“Lokasi strategik berhampiran Politeknik Shah Alam, Laman Glenmarie dan Seksyen U2 memudahkan orang ramai untuk mendapatkan bekalan keperluan serendah lima hingga 20 peratus daripada harga pasaran.

“Seramai 50 usahawan terbabit dalam operasi pasar tani yang dibuka setiap Rabu dari 4 petang hingga 10 malam,” kata Abdul Rashid Bahri dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan dengan pembukaan lokasi itu menjadikan jumlah keseluruhan pasar tani di negeri ini sebanyak 50 buah.

Tambahnya, pelbagai aktiviti diadakan sempena pembukaan pasar terbabit antaranya promosi produk usahawan industri asas tani, nanas Moris dari Johor dan jualan ‘happy hour’.

“Pengunjung hendaklah mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan antaranya pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair pembasmi kuman, kekalkan penjarakan fizikal, imbas kod QR dan merekod suhu badan,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pasar Agro Selangor dibuka berperingkat mulai September

SHAH ALAM, 30 OGOS: Pasar Agro Selangor dijangka dibuka semula secara berperingkat mulai September ini dengan menumpukan beberapa lokasi baharu.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Selangor memaklumkan cadangan lokasi meliputi Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian di Klang dan Sabak Bernam.

“Kita perlu mengambil kira kesediaan pengusaha di lapangan sebelum membuka semula pasar ini kerana ia melibatkan jualan terus dari ladang.

“Operasi pasar juga tidak semestinya di lokasi sedia ada, sebaliknya fokus di tempat baharu,” kata Timbalan Pengarah Bahagian Operasinya Mohamed Zharaubi Kafi.

Beliau ditemui selepas melancarkan Kempen Kibaran Jalur Gemilang Sempena Hari Kebangsaan Ke-63 di tapak Pasar Tani Stadium Shah Alam hari ini.

Lokasi Pasar Agro Selangor meliputi Dengkil, Puchong, Petaling Jaya, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi, Pasar Tani Selayang, My Farm Outlet Putrajaya, Seksyen 13 dan Seksyen 15 di Shah Alam.

Pembelian juga boleh dibuat secara dalam talian di pautan www.agrobazaar.com.my