Categories
PBT SELANGOR

Hampir 4,000 peniaga pasar malam, tani di Petaling Jaya beroperasi semula

SHAH ALAM, 28 OGOS: Seramai 3,995 peniaga pasar pagi, malam dan tani di Petaling Jaya kembali beroperasi selepas kerajaan melonggarkan 11 sektor ekonomi minggu lalu.

Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berkata jumlah itu melibatkan peniaga di 28 pasar malam, enam pasar pagi serta tiga pasar tani.

“Sehubungan dengan itu majlis menyediakan akujanji kepada peniaga supaya mematuhi syarat lesen perniagaan dan tatacara operasi piawai (SOP).

“Peniaga juga perlu lengkap menerima vaksin Covid-19,” kata Sharipah Marhaini Syed Ali menerusi perutusan mesyuarat bulanan yang berlangsung semalam.

Bermula 16 Ogos, kerajaan membenarkan premis cuci kereta, elektrik dan elektronik, barangan rumah dan peralatan dapur, perabot, peralatan sukan, aksesori kereta dan pusat pengedaran serta jualan kereta dibuka.

Kebenaran turut diberi kepada pasar pagi dan pasar tani; kedai pakaian, fesyen dan aksesori; barang kemas dan kedai gunting rambut

Sementara itu Sharipah Marhaini berkata pihaknya meneruskan pemberian 144 permit bermasa sepanjang Pelan Pemulihan Negara bagi sesi petang dan malam.

“Keseluruhan 318 permit dikeluarkan. Bancian mendapati peniaga yang diberikan permit ini adalah golongan hilang pendapatan dan sumber rezeki,” katanya.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pasar Agro Selangor tawar potongan harga sempena Aidilfitri

SHAH ALAM, 7 MEI: Pasar Agro Selangor menawarkan potongan harga sempena Aidilfitri di 20 lokasi terpilih seluruh negeri bermula Ahad ini.

Agro Selangor menerusi Facebook memaklumkan pelbagai barangan segar dari ladang dijual dengan harga terendah selama tiga hari bermula 9 hingga 12 Mei ini.

“Antara yang menarik program promosi harga subsidi dari Kerajaan Negeri iaitu ayam dengan pengurangan harga RM3 seekor, daging pengurangan RM5 sekilogram (kg), santan segar pengurangan harga RM2 (1kg) dan sayur-sayuran dengan harga istimewa.

“Selain itu, promosi produk industri kecil sederhana (IKS), buah-buahan, kerepek, kuih raya, produk sejuk beku dan pelbagai lagi,” katanya.

Agro Selangor mengingatkan orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selaran dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksana ketika ini.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh diikuti menerusi Facebook Agro Selangor.

Lokasi terpilih pada 9 Mei:

  • Pasar Tani Kota Damansara, Petaling
  • Pasar Tani Putra Height, Subang Jaya
  • Pasar Tani Taman Dato’ Ahmad Razali, Ampang
  • Pasar Tani Dataran Puchong Permai
  • Pasar Tani Taman Kosas dan Pasar Tani Stadium (1) Shah Alam

Lokasi terpilih pada 11 Mei:

  • Pasar Tani Taman Melawati
  • Pasar Tani Saujana Utama Sungai Buloh
  • Pasar Tani Bandar Kinrara 5, Puchong
  • Pasar Tani Rawang Batu 17
  • Bazar Ramadan Tanah Lesen, Parit Baru
  • Taman Chempaka, Pandan
  • Pusat Operasi Fama Dengkil

Lokasi terpilih pada 12 Mei:

  • Pusat Operasi Fama Dengkil
  • Pasar Tani Seksyen 17, Shah Alam
  • Pasar Tani Andalas
  • Pasar Tani Seksyen 6 Kelana Jaya (1)
  • Pasar Tani Taman Seraya, Ampang
  • Pasar Tani Dataran Puchong Permai

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Fama buka pasar tani baharu di Taman TTDI Jaya Rabu depan

SHAH ALAM, 11 MAC: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor membuka pasar tani baharu di Taman TTDI Jaya pada 17 Mac ini.

Pengarahnya berkata pasar yang bertempat di Jalan Saujana Indah 1, Seksyen U2 menawarkan komoditi seperti sayur-sayuran, barangan runcit, ikan, ayam, daging dan makanan.

“Lokasi strategik berhampiran Politeknik Shah Alam, Laman Glenmarie dan Seksyen U2 memudahkan orang ramai untuk mendapatkan bekalan keperluan serendah lima hingga 20 peratus daripada harga pasaran.

“Seramai 50 usahawan terbabit dalam operasi pasar tani yang dibuka setiap Rabu dari 4 petang hingga 10 malam,” kata Abdul Rashid Bahri dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan dengan pembukaan lokasi itu menjadikan jumlah keseluruhan pasar tani di negeri ini sebanyak 50 buah.

Tambahnya, pelbagai aktiviti diadakan sempena pembukaan pasar terbabit antaranya promosi produk usahawan industri asas tani, nanas Moris dari Johor dan jualan ‘happy hour’.

“Pengunjung hendaklah mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan antaranya pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair pembasmi kuman, kekalkan penjarakan fizikal, imbas kod QR dan merekod suhu badan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kerajaan Negeri teliti semula lokasi Pasar Agro Selangor

SHAH ALAM, 31 JAN: Kerajaan Negeri akan meneliti semula lokasi Pasar Agro Selangor terutama yang beroperasi di tapak sama atau berhampiran pasar tani.

EXCO pertanian dan asas tani berkata langkah memperluas operasi pasar itu ke seluruh negeri bagi memudahkan rakyat membeli hasil tani yang segar dan berpatutan.

“Contohnya jika pasar tani dibuka di Seksyen 13 Shah Alam, kita berpandangan pasar agro sepatutnya beroperasi di kawasan lain bagi memastikan rakyat semua tempat mendapat manfaat.

“Cadangan ini sedang dipertimbangkan, Insya-Allah saya akan bincang dengan agensi berkaitan secepat mungkin,” kata Ir Izham Hashim selepas meninjau pasar tani di pekarangan Stadium Shah Alam hari ini.

Beliau berkata lokasi baharu pasar agro turut mengambil kira kesediaan pengusaha kerana melibatkan jualan terus dari ladang.

Lokasi Pasar Agro Selangor meliputi Dengkil, Puchong, Petaling Jaya, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi, Pasar Tani Selayang, My Farm Outlet Putrajaya, Seksyen 13 dan Seksyen 15 di Shah Alam.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Selangor buka pasar tani secara berperingkat

SHAH ALAM, 31 JAN: Sebanyak 22 daripada 48 pasar tani di Selangor sudah beroperasi setakat ini, kata EXCO pertanian dan asas tani.

Ir Izham Hashim berkata pembukaan semula baki pasar tani dilakukan secara berperingkat bergantung keadaan terkini penularan Covid-19 di kawasan terbabit.

“Kerajaan Negeri dengar rintihan ramai peniaga yang terjejas pendapatan, mereka minta buka semua pasar tani. Jadi kita bersetuju lebih banyak pasar tani akan dibuka.

Ir Izham Hashim (kiri) melihat anggota RELA melakukan saringan suhu badan sebelum dibenarkan memasuki kawasan pasar tani Seksyen 13, Shah Alam ketika beliau meninjau pematuhan tatacara pengendalian piawai pada 31 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Cuma peringatan kepada peniaga dan pengunjung untuk patuh tatacara operasi piawai (SOP) serta kekalkan disiplin demi kebaikan kita bersama,” katanya selepas meninjau pasar tani di pekarangan Stadium Shah Alam hari ini.

Izham berharap berharap hasil jualan mencecah lebih RM50 juta apabila semua pasar tani di seluruh negeri dibuka sepenuhnya.

Pada 12 Januari, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pasar harian dan pasar tani masih boleh beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun waktu operasi hanya dari jam 7 pagi hingga 2 petang manakala pasar borong dari 12.01 tengah malam hingga 6 pagi dan 11 pagi hingga 4 petang.

Pada 17 Januari Majlis Perbandaran Klang (MPK) menunda pembukaan pasar pagi dan tani di bawah pentadbirannya susulan peningkatan kes Covid-19.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Kes Covid-19 meningkat, MPK tangguh buka pasar pagi, tani

SHAH ALAM, 17 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menunda pembukaan pasar pagi dan tani di bawah pentadbirannya susulan peningkatan kes Covid-19.

Yang Dipertua Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata kes tertinggi dicatat di daerah itu pada Khamis dengan 652 kes dan 456 pada Selasa.

“Melihat kepada perkembangan semasa kes Covid-19 yang semakin meningkat sepanjang satu minggu ini, kami memutuskan pembukaan pasar ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

“Namun, pasar awam di kawasan MPK masih dibenarkan beroperasi seperti biasa tetapi mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata MPK sentiasa memantau perkembangan status wabak terutamanya di kawasan pentadbirannya dari semasa ke semasa.

Pada 12 Januari lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pasar harian dan pasar tani masih boleh beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, ia hanya beroperasi dari jam 7 pagi hingga 2 petang manakala pasar borong dari 12.01 tengah malam hingga 6 pagi dan 11 pagi hingga 4 petang.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

43 pasar tani di Selangor beroperasi sejak PKPP

SHAH ALAM, 30 OGOS: Sebanyak 43 daripada 49 pasar tani seluruh Selangor beroperasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lalu, kata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor.

Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata pasar produk tani itu dibuka mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

“Kita harap dengan ramai pengunjung membolehkan aktiviti ekonomi usahawan bertambah baik sekali gus menyumbang kepada pendapatan usahawan dan pemasar.

“Ini kerana, Fama sentiasa membantu menyemarakkan lagi pasar tani dengan memasarkan produk pertanian sama ada tanaman, perikanan atau ternakan,” katanya selepas melancarkan Kempen Kibaran Jalur Gemilang Sempena Hari Kebangsaan Ke-63 di Pasar Tani Stadium Shah Alam, hari ini.

Tambah beliau, baki pasar terbabit di Petaling (tiga), Sepang (dua) dan Kuala Langat (satu) dibuka September ini mengikut garis panduan ditetapkan Kerajaan Negeri.

“Kita sudah berurusan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membuka pasar tani tersebut dan setakat ini tiada masalah, cuma bergantung pada kesediaan usahawan.

“Ada sesetengah usahawan masih lagi mengambil langkah berhati-hati buat masa ini berikutan kebimbangan terhadap Covid-19, namun kita masih menggalakkan mereka untuk buka pasar tani berkenaan.”

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

PKPB sambung atau tidak? Tunggu PM umum hari ini

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Persoalan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan atau tidak, dijangka diketahui hari ini menerusi perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengumuman yang bakal disampaikan itu tepat pada masanya memandangkan tempoh PKPB yang bermula 4 Mei lepas akan berakhir dua hari lagi iaitu pada 9 Jun.

Jika diimbas, sejak PKP dilaksanakan 18 Mac lepas dengan hanya perkhidmatan perlu dibenarkan, kerajaan kemudian memberi kelonggaran secara berperingkat kepada lebih banyak sektor ekonomi untuk beroperasi.

Terbaharu adalah perkhidmatan gunting, dandanan rambut dan kecantikan yang dibenarkan beroperasi mulai 10 Jun seperti yang diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media semalam.

Semestinya ia berita gembira untuk masyarakat, apatah lagi buat kaum Adam yang sering tertanya-tanya bilakah kedai gunting rambut akan dibuka. Mana tidaknya, lebih dua bulan tidak mendapat sentuhan pendandan rambut, pelbagai ‘gaya’ dapat dilihat dalam kalangan mereka sehingga ada yang menggunakan khidmat isteri sendiri untuk menggunting rambut.

Bagi wanita pula, khidmat kecantikan termasuk merias dan merawat kuku serta solekan dan rawatan muka juga dibenarkan beroperasi bermula pada tarikh sama.

Selain itu, peniaga di pasar terbuka, pasar pagi dan pasar malam serta bazaria di Wilayah Persekutuan kini boleh menarik nafas lega apabila premis berkenaan dibenarkan beroperasi mulai 15 Jun, tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Sama ada PKPB disambung atau tidak, normal baharu yang telah diamalkan sekarang seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan penjagaan kebersihan termasuk kerap mencuci tangan tetap perlu diteruskan bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.

Selain itu, elakkan tempat sesak, kawasan sempit dan elak sembang atau bertutur dengan jarak dekat seperti yang dinasihatkan oleh ‘jeneral perang Covid-19’, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah setiap hari.

Setakat semalam, jumlah jangkitan kes baharu positif Covid-19 masih kekal dua angka iaitu 37 kes dengan 10 kes melibatkan warganegara Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Elak jangkitan Covid-19, Selangor tangguh anjur pasar tani

SELAYANG, 4 APRIL: Kerajaan Negeri menangguhkan penganjuran pasar tani di Stadium Shah Alam bagi mencegah risiko jangkitan Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan dibuat setelah mendengar pandangan banyak pihak untuk mengelakkan orang ramai daripada menyerbu pasar tersebut.

“Kerajaan Negeri tidak mahu ia (pasar tani) menjadi punca perhimpunan dan kumpulan yang kurang wajar seperti dinasihatkan Kementerian Kesihatan,” katanya selepas menyerahkan sumbangan kepada petugas barisan hadapan Majlis Perbandaran Selayang di sini hari ini.

Dalam program itu, Amirudin menyerahkan 1,000 penutup hidung dan mulut, 300 pek makanan dan 300 cecair pembasmi kuman kepada anggota penguat kuasa yang menjalankan operasi.

Kelmarin, EXCO pertanian memaklumkan Majlis Keselamatan Negara meluluskan tapak Stadium Shah Alam di Seksyen 13 sebagai lokasi pasar tani sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, bermula esok.

Ir Izham Hashim berkata ia susulan pengumuman kerajaan supaya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan mengambil tanggungjawab menjual barangan basah bagi mengurangkan kesesakan di pasar awam.

Categories
AGENDA

Pasar Tani Stadium Shah Alam dikaji semula – MB

SHAH ALAM, 3 APRIL: Kerajaan Selangor sedia mengkaji semula penganjuran pasar tani di Stadium Shah Alam Seksyen 13 yang dijadual bermula Ahad ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia berikutan pihaknya menerima pelbagai pandangan berhubung pasar tani anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) itu.

“Penganjuran ini difahamkan selaras dengan dengan arahan baru Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memastikan bekalan makanan sentiasa cukup.

“Saya akan berjumpa EXCO terbabit untuk menilai semula penganjurannya,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Semalam EXCO Pertanian, Ir Izham Hashim berkata MKN meluluskan tapak Stadium Shah Alam di Seksyen 13 sebagai lokasi pasar tani Fama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebelum itu, pada 31 Mac, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 97 pasar tani di bawah seliaan Fama beroperasi di seluruh negara.

Ia melibatkan pasar tani terpilih dengan 10 lokasi, pasar tani kekal (16), pusat operasi Fama (17), My Farm Outlet (3), Kompleks Pertubuhan Peladang Kawasan (34) dan selebihnya di kompleks jabatan dan agensi bersesuaian.

Categories
SELANGOR

FAMA sasar tambah 25 pasar tani pada 2019

PETALING JAYA, 31 JAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan untuk menambah 25 lagi pasar tani, di seluruh negara, pada tahun ini.

Pengerusinya, Ishak Ismail berkata, sehingga kini, sebanyak 748 pasar tani beroperasi di seluruh negara membabitkan 30,790 peserta, dengan nilai jualan RM852 juta.

Katanya, melalui penambahan pasar tani, sasaran nilai jualan bagi tahun ini adalah RM949 juta dengan bilangan peserta juga dijangka meningkat lebih kurang 1,250 orang.

“Pengguna juga dapat berjimat RM20 bagi setiap pembelian RM100 di pasar tani, berbanding harga di pasar awam lain.

“Berdasarkan anggaran 1,000 pengguna bagi sesebuah lokasi pasar tani, penjimatan yang boleh dibuat ialah RM14.66 juta dalam tempoh seminggu, RM58.64 juta (sebulan) dan RM762 juta (setahun),” katanya kepada BERNAMA.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jualan Jimat Belanja Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan 2019, di Pasar Tani Seksyen 17, di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, Program Jualan Jimat Belanja Tahun Baharu Cina diadakan di 378 pasar tani di seluruh negara, bermula hari ini sehingga 4 Februari ini.

Katanya, program jualan khas itu menawarkan lima hingga 20 peratus penjimatan berbanding pasar awam bagi pembelian barang terpilih kepada pengguna khususnya masyarakat Tionghua.

PETALING JAYA, 31 Jan — Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Ishak Ismail (tengah) menyempurnakan pelancaran Jualan Jimat Belanja sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Tani Seksyen 17 hari ini.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Penjimatan ini dapat dilaksanakan melalui Program Ladang Kontrak (dibawa terus dari ladang) bagi sayur-sayuran dan buah-buahan, pembekalan terus dari jeti bagi komoditi ikan dan hasilan laut serta pengimportan barang-barang runcit juga hasil pertanian yang tidak ditanam dalam negara,” katanya.

Pada masa sama, Ishak memberi jaminan harga barang keperluan dan makanan di pasar tani akan tetap berpatutan dan kompetitif, pada musim perayaan ini.

Beliau berkata, pihaknya juga yakin bekalan barang keperluan dan makanan yang dipasarkan di semua peruncit jualan FAMA akan mencukupi, pada musim perayaan ini.

“FAMA juga akan membuat pemantauan dalam memastikan peniaga tidak akan menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya untuk menjaga hak pengguna,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pasar tani ditambah, bantu promosi produk luar bandar

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 APR: Bilangan tapak pasar tani di negeri ini akan dikaji untuk ditambah bagi membantu peniaga khususnya di luar bandar bagi memasarkan produk mereka di kawasan bandar.

Exco Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan lebih banyak pasar tani diwujudkan jika mempunyai tapak sesuai.

Beliau berkata demikian selepas menerima cadangan Jakiran Jacomah (BN-Bukit Melawati) dalam Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

PASAR SS2 -1“Cadangan itu sangat baik. Kerajaan Negeri tidak mempunyai masalah untuk memberi laluan bagi menambah tapak pasar tani di negeri ini jika mempunyai tapak sesuai.

“Kerajaan Negeri juga mempunyai hubungan yang baik dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Oleh itu, kita akan merangka cadangan itu khususnya untuk penduduk luar bandar dalam memasarkan produk mereka di kawasan bandar,” katanya.

Zaidy juga turut memaklumkan dewan bahawa setakat ini terdapat 50 pasar tani sedia ada di Selangor.

-NFN-