Categories
EXCO SELANGOR

Sambut baik hasrat FAMA bangunkan tanah wakaf

SHAH ALAM, 29 OGOS: Kerajaan Negeri menyambut baik hasrat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor untuk membangunkan tanah wakaf terbiar bagi penanaman pokok buah-buahan tempatan.

EXCO Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, menjadi dasar Kerajaan Negeri untuk memanfaatkan tanah wakaf atau terbiar dengan tanaman yang dapat memberi hasil tinggi termasuk buah-buahan.

Beliau berkata, pihaknya turut sedia mencari penyelesaian jika tanah berkenaan mempunyai isu tersendiri.

“Walaupun tanah ini ada isu tersendiri, kita akan mencari jalan penyelesaian terutama jika ia tanah milik persendirian.

“Usaha ini akan dikenal pasti membabitkan program agro bandar dan kebun komuniti,” katanya kepada SelangorKini.

Izham berkata, Selangor mempunyai banyak tanah terbiar yang berpotensi untuk dibangunkan, namun akan mengambil sedikit masa bagi menjayakan usaha terbabit.

Beliau turut menyatakan kesediaannya berbincang dengan FAMA bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

“Ada banyak tanah terbiar, sebagai contoh di sepanjang Sungai Klang, kita mengenal pasti di kawasan itu sahaja terdapat ratusan ekar,” katanya.

Terdahulu, Pengarah FAMA Selangor, Datuk Abdul Ghariff Ramin berhasrat membangunkan tanah wakaf sebagai langkah memanfaatkannya untuk penanaman dan pengeluaran buah-buahan tempatan.

Katanya, antara lokasi berpotensi adalah Sabak Bernam atau Kuala Selangor.

Categories
AGENDA NASIONAL

FAMA rancang tanam durian di atas tanah wakaf

PORT DICKSON, 25 OGOS: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merancang untuk membangunkan tanah wakaf terbiar khususnya di pinggir bandar dan kawasan terpencil di seluruh negeri, dengan penanaman durian.

Pengerusinya, Ishak Ismail berkata, sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam mempertimbangkan hasrat berkenaan dalam usaha menggalakkan lebih ramai penanam baharu, sekali gus memberi nilai tambah kepada tanah wakaf itu sendiri.

“Kita mahu menjalinkan koloborasi bersama kerajaan negeri atau Majlis Agama Islam, untuk melihat tanah terbiar ini dapat diusahakan bersama FAMA kerana kita lihat ia sangat berpotensi untuk ditingkatkan nilai dengan cara penanaman durian Musang King.

“Kita mahu jadikan tanah wakaf itu sebagai tapak pertanian yang diusahakan oleh penanam muda dan hasil yang diperolehi nanti akan dipasarkan ke luar sama ada melalui FAMA atau ruang pasaran yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Upskilling Pembangunan Tanaman Musang King di Institut Latihan FAMA, di sini hari ini.

Ishak berkata, berdasarkan data yang diperolehi, terdapat banyak tanah wakaf terbiar di seluruh negara yang mencecah nilaian sehingga RM58 billion tetapi ia terkunci begitu sahaja tanpa diusahakan.

Berhubung penanaman durian Musang King, katanya, menurut pakar pertanian, sepohon pokok matang durian Musang King dapat mengeluarkan hasil sebanyak 120 biji durian, dan mampu memberi pulangan sebanyak RM3,600, jika harga buah dijual dengan RM20 sekilogram.

Katanya, pulangan menjual Musang King dilihat lebih tinggi jika dibandingkan dengan tanaman lain seperti nanas, kelapa, kelapa sawit dan getah.

“Harga durian Musang King secara purata mencecah RM30 hingga RM100 sekilogram bagi pasaran tempatan, manakala RM400 hingga RM800 sekilogram bagi pasaran luar negara, tidakkah itu sangat menguntungkan,” katanya.

Ishak berkata, walaupun pembangunan durian Musang King diperhebatkan di pasaran luar negara, tetapi pihaknya memberi jaminan bahawa Raja Buah itu boleh dinikmati oleh masyarakat tempatan, dengan harga mampu milik.

Dalam pada itu, katanya, FAMA sudah bekerjasama dangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menjadi salah satu agensi pembimbing halal, bagi memastikan produk yang dikeluarkan memenuhi konsep Halalan Toyyibah.

“Beberapa pegawai FAMA akan diberi khusus pentauliahan oleh JAKIM, sebelum dapat membantu lebih 6,000 usahawan FAMA mendapat sijil halal,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

FAMA perkasa kaedah pasaran secara digital

KOTA BHARU, 16 JUN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan memperkasakan kaedah pasaran hasil pertanian secara digital dalam usaha melonjakkan pendapatan petani di seluruh negara.

Pengerusinya, Ishak Ismail berkata, bagi tujuan itu, FAMA memperkenalkan portal agrobazaar online dan pasar tani.com yang berfungsi sebagai platform pemasaran maya bagi transaksi jualan dan belian produk pertanian di bawah agensi itu.

“Setakat ini, portal ini mempunyai 480 pemasar dengan lebih 20,000 produk. Kita sekarang dalam proses menjalinkan kerjasama strategik dengan beberapa pemain industri terkemuka negara selain beberapa pasar raya besar untuk melonjakkan jualan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Hari Bertemu Pelanggan Sempena Aidilfitri di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah FAMA negeri Mohd Ariffin Awang.

Ishak berkata FAMA juga sedang merangka program pembelian secara dalam talian bagi 790 buah pasar tani seluruh negara yang mana pembeli boleh membuat pesanan awal dan kemudiannya mendapatkan barangan sama ada di pasar tani atau di hantar terus kepada pelanggan.

Katanya kaedah pemasaran baharu itu diyakini akan memberi kelebihan kepada petani memasarkan produk masing-masing dengan lebih efisien sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.

“Ini adalah antara langkah transformasi yang dilaksanakan FAMA dalam usaha menyediakan kaedah pasaran yang lebih cekap sekaligus meningkatkan pendapatan petani,” katanya.

Ishak berkata FAMA juga akan memperkenalkan program baharunya iaitu tani ekspres bagi menyediakan peluang kepada golongan muda meraih pendapatan melalui aktiviti pemasaran hasil pertanian.

Katanya melalui program itu golongan muda akan mendapatkan hasil pertanian daripada kebun-kebun kecil atau ladang yang kemudiannya dijual ke pasar tani, pusat pengumpulan atau dihantar terus kepada pembeli.

Sementara itu, katanya Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan mencatat jualan tertinggi seluruh negara dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini iaitu kira-kira RM144.3 juta.

Katanya rekod jualan itu satu pencapaian besar yang amat membanggakan buat RTC Kelantan yang kini turut menjadi daya tarikan pelancongan.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

FAMA sasar nilai jualan pasar tani RM1 bilion

TAPAH, 2 Jun : Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM1 bilion dapat dijana melalui pasar tani di seluruh negara pada tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Usahawan) FAMA Basri Jasmo berkata peningkatan nilai jualan itu berdasarkan penambahan 25 buah pasar tani baharu di setiap negeri pada tahun ini.

Katanya berbanding pada tahun lepas, nilai jualan yang dihasilkan adalah sebanyak RM850 juta melibatkan 757 buah pasar tani di seluruh negara.

“Nilai jualan dalam tempoh empat bulan pada tahun ini amat menggalakkan dan kita menyasarkan peningkatan nilai jualan sepanjang tahun ini boleh mencecah sebanyak RM900 juta sehingga RM1 bilion,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Program Jualan Jimat Belanja Aidilfitri @ pasar tani peringkat negeri yang disempurnakan Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari di tapak letak kereta Masjid Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Basri berkata ia diadakan bertujuan memberi peluang kepada pengguna mendapatkan barangan keperluan seperti daging, ayam, sayur-sayuran, kuih-muih serta ketupat dan rendang.

Beliau berkata sejumlah 398 pasar tani beroperasi selama lima hari bermula Jumaat lepas sehingga Selasa ini yang memberi penjimatan kepada pengguna antara lima peratus hingga 20 peratus.

“Program ini diadakan dalam usaha kerajaan untuk menangani kenaikan harga barangan keperluan di pasaran terutama menjelang musim perayaan,” katanya.

Dalam pada itu, Basri berkata FAMA turut menganjurkan program ‘My Best Buy’ Pra Aidilfitri 2019 yang bermula sejak 25 Mei sehingga Selasa depan di 18 lokasi terpilih.

“Program itu yang dilaksanakan sejak 2014 melibatkan 720 peserta program dan kita menyasarkan sejumlah 70,000 pengunjung untuk mengunjungi program tersebut yang menawarkan pelbagai produk antaranya hasilan laut serta barangan runcit seperti minyak, bawang, tepung dan gula.

“Kita menjangkakan nilai jualan sejumlah RM600,000 sepanjang program tersebut berlangsung,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

FAMA turun padang pantau harga barang

 

KUALA LUMPUR, 27 Mei: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah proaktif turun padang memantau harga barangan segar dan pertanian di semua pasar tani FAMA dan Agrobazaar Rakyat (ABR) sepanjang musim Aidilfitri ini, kata Anggota Lembaga Pengarahnya Misdan Adam.

Beliau berkata pemantauan itu dibuat bagi memastikan usahawan FAMA mematuhi senarai harga kawalan yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Bagaimanapun, beliau berkata FAMA tidak mempunyai kuasa seperti agensi penguatkuasaan, sebaliknya hanya bertindak memberi nasihat dan panduan harga kepada peniaga.

“Kami ada juga terima beberapa aduan tentang harga barang, namun tindakan penguatkuasaan diambil oleh pihak KPDNHEP,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja di ABR Taman Melati di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Kanan Bahagian Peruncitan FAMA Abd Rahman Mahmood dan Pengarah FAMA Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya) Muhammad Nazri Kamarulzaman.

KPDNHEP menyenaraikan harga kawalan bagi 27 jenis barang di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri selama 30 hari bermula 21 Mei lepas.

Pada lawatan kerja itu, Misdan turut merasmikan ABR Taman Melati yang merupakan outlet ABR ke empat di Kuala Lumpur. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

FAMA jamin tiga bahan utama ketika Ramadan mencukupi

BUTTERWORTH, 4 MEI: FAMA hari ini memberi jaminan tiga bahan iaitu daging lembu, ayam dan kelapa, yang menjadi keperluan utama pengguna semasa musim Ramadan tahun ini adalah mencukupi.

Menyatakan demikian, Pengerusi FAMA Ishak Ismail berkata pihaknya juga akan memastikan bekalan bahan-bahan lain yang menjadi kepentingan pengguna pada bulan puasa serta pada hari raya nanti adalah mencukupi.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran program My Best Pra Ramadan di Butterworth Art Walk di sini hari ini. Program itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya.

Mengulas lanjut Ishak berkata program My Best Pra Ramadan telah dilancarkan di 174 lokasi seluruh negara dan FAMA telah mendapatkan maklum balas berhubung keperluan utama barang.

Program My Best Pra Ramadan itu adalah susulan dari program My Best Buy (MBB) 2.0 yang dilaksanakan FAMA secara keseluruhan bagi membantu rakyat di kawasan bandar menangani kesan kenaikan kos sara hidup

Ia berkonsepkan pasar pilihan rakyat yang menawarkan pelbagai produk pertanian dan bukan pertanian bagi keperluan setempat dengan harga yang istimewa dan berpatutan.

Ishak berkata pada 2018 sehingga akhir Mac tahun ini program MBB itu telah mengumpul nilai jualan sebanyak RM20.3 juta dan beroperasi di 182 lokasi secara tetap dan bermusim seluruh negara melibatkan 2,746 usahawan .

Ishak berkata pihaknya menyasarkan jualan sebanyak RM32 juta selepas ini menerusi program terbabit.

Di Pulau Pinang sahaja, hasil jualan menerusi program MBB ini mencatat jualan lebih RM 1.2 juta dari 2018 hingga Mac lalu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Permintaan tembikai dijangka meningkat menjelang Ramadan

BANDAR PERMAISURI, 29 APRIL: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjangkakan permintaan tembikai di Terengganu dan Kelantan yang meningkat, pada Ramadan akan dapat dipenuhi, memandangkan ia bertepatan dengan tempoh penuaian buah berkenaan.

Timbalan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu, Mohd Azrul Abd Aziz berkata sehingga hari ini, pihaknya membeli 702 matrik tan buah tembikai dan labu manis bernilai RM631,000.

Beliau berkata, pembelian itu dibuat menerusi 115 Perjanjian Jual Beli Ladang Kontrak Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MOA) bersama komuniti yang menanam buah-buahan berkenaan, membabitkan tanah seluas 1,000 hektar di seluruh negeri.

“Ekoran cuaca yang baik dan bimbingan daripada Jabatan Pertanian Terengganu, kita lihat pengeluaran hasil buah tembikai pada kali ini agak memberansangkan berbanding sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Ladang Kontrak Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MOA) bersama 96 peserta di Gong Tengah, Beris Tokku, di sini hari ini.

Beliau berkata, Terengganu mempunyai tiga daerah utama yang menjadi pusat pengeluaran hasil tembikai iaitu di Setiu, Besut serta Marang.

Katanya, harga tembikai yang dibeli oleh FAMA adalah mengikut harga lantai di paras 80 sen sekilogram bagi memastikan kestabilan harga serta mengelak manipulasi orang tengah.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Dari Agrobazaar ke Agromall

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUCHONG, 18 APRIL: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) maju setapak lagi dalam usaha memasarkan produk agromakanan dengan membangunkan Agromall, sebuah pasar raya moden khas bagi tujuan itu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, FAMA sebelum ini berjaya memperkenalkan pasar tani dan Agrobazaar Rakyat sehingga menjadi terkenal.

“Bermula dengan pasar tani, kemudian Agrobazaar dan kini FAMA melangkah lebih jauh dengan pembinaan Agromall pula.

“Kita bina Agromall yang ini dahulu dan selepas siap saya tak nampak sebarang sebab kenapa kita tidak boleh bina Agromall seperti ini di bandar utama seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Agromall Puchong di Pusat Operasi FAMA Puchong, di sini, hari ini.

Salahuddin berkata, selain pasar tani dan Agrobazaar, FAMA juga berjaya memajukan kaedah pemasaran dalam talian.

Pada masa sama, katanya, Agromall itu akan menjadi mercu tanda baharu kepada pencapaian FAMA memasarkan agromakanan negara.

“Pasar raya ini juga akan menjadi alternatif kepada pengusaha produk agromakanan memasarkan produk masing-masing,” katanya.

Categories
NASIONAL

FAMA bangun Agromall pertama bernilai RM8 juta

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUCHONG, 18 APRIL: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membangunkan Agromall, pasar raya pertama yang menumpukan produk agromakanan, kata Datuk Salahuddin Ayub.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, projek bernilai RM8 juta itu dibangunkan selaras peranan lembaga berkenaan dalam memastikan pasaran produk agromakanan berkembang luas dengan jaminan bekalan dan harga berpatutan.

Katanya, ia bakal dibangunkan dengan reka bentuk moden dan dilengkapi pelbagai kemudahan.

“Projek ini dijangka siap pada 2020 dan akan menempatkan lot jualan produk agromakanan, ruang pameran bagi produk industri asas tani serta dilengkapi kemudahan bilik sejuk, tandas, surau, ruang pakir dan lain-lain.

“Saya yakin Agromall ini akan memberi peluang lebih besar kepada petani dan pengusaha industri kecil juga sederhana berasaskan pertanian memasarkan produk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Agromall Puchong di Pusat Operasi FAMA Puchong, di sini, hari ini.

Pojek itu akan dibangunkan di atas tanah seluas 1.2 hektar di Jalan Jurutera, Puchong.

Categories
NASIONAL

FAMA sasar hasil jualan ‘My Best Buy’ RM20 juta tahun ini

MELAKA, 7 APRIL: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan hasil jualan kira-kira RM20 juta melalui program ‘My Best Buy’, pada tahun ini berbanding RM15 juta, tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA, Zainal Abidin Yang Razalli berkata, kira-kira 1,600 program ‘My Best Buy’ akan dianjurkan sepanjang tahun ini di 200 lokasi di seluruh negara dengan pembabitan 30 hingga 40 usahawan di setiap lokasi penganjuran.

“Program ‘My Best Buy’ adalah satu program jualan terus kepada pengguna terutama di kawasan perumahan, pejabat kerajaan atau komuniti yang menawarkan pelbagai barangan makanan serta keperluan harian pada harga berpatutan,” katanya kepada pemberita pada Program ‘My Best Buy’ @ Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 di sini, hari ini.

Turut hadir Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka Kerk Chee Yee yang mewakili Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Beliau berkata program itu mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pengguna sejak mula dilaksanakan pada 2014.

Zainal Abidin berkata, bagi bulan pertama tahun ini sebanyak 412 program ‘My Best Buy’ telah diadakan di 11 lokasi di seluruh negara dengan nilai jualan sebanyak RM3.08 juta.

Sementara itu, beliau berkata usaha terbaharu yang dilaksanakan FAMA di bawah program ‘My Best Buy’ pada tahun ini ialah pembukaan gerai jualan bersempena penganjuran LTdL di enam lokasi dengan sasaran hasil jualan sebanyak RM500,000.

Katanya, Melaka adalah lokasi kedua penganjuran ‘My Best Buy’ sempena LTdL selepas Jalan Besar Tampin, Negeri Sembilan semalam manakala esok di Dataran Putrajaya, Dataran Warisan di Taiping, Perak (10 April), Underwater World Langkawi (12 April) dan Kuah, Langkawi (13 April). -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

FAMA sasar jualan terus dari ladang jana RM3 juta

KUANTAN, 6 APRIL: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai hasil Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) 2019 sebanyak RM3 juta daripada 400 program yang akan dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tahun.

Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Ishak berkata sasaran itu dibuat berdasarkan perolehan JTDL sebanyak RM3.3 juta menerusi pelaksanaan 488 program yang melibatkan 819 peserta tahun lalu.

“Program ini membolehkan pengguna membeli hasil tanaman yang segar dan berkualiti kerana dibawa terus dari ladang.

“Peserta juga boleh menawarkan harga yang lebih berpatutan kepada pengguna iaitu antara lima hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Promosi JTDL Peringkat Pahang di sini, hari ini.

Program selama empat hari bermula hari ini, disertai 20 peserta dari Pahang, Terengganu dan Johor.

Ahmad berkata program jelajah promosi produk segar pertanian di bawah Program Ladang Kontrak juga akan diperluaskan lagi ke lapan buah pasar raya besar di seluruh negara.

“Ia bagi menyediakan outlet pasaran alternatif kepada setiap peserta ladang kontrak yang dilihat menepati trend membeli belah masa kini iaitu orang ramai tidak hanya perlu ke pasar awam untuk membeli sayur atau buah-buahan.

“Produk tanaman itu sudah boleh didapati dengan mudah di pasar raya yang menjadi lokasi pilihan kerana lebih selesa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad memaklumkan 2755 outlet runcit FAMA di seluruh negara mencatat pendapatan sebanyak RM2.9 bilion tahun lalu.

— BERNAMA

Categories
SELANGOR

FAMA sasar tambah 25 pasar tani pada 2019

PETALING JAYA, 31 JAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan untuk menambah 25 lagi pasar tani, di seluruh negara, pada tahun ini.

Pengerusinya, Ishak Ismail berkata, sehingga kini, sebanyak 748 pasar tani beroperasi di seluruh negara membabitkan 30,790 peserta, dengan nilai jualan RM852 juta.

Katanya, melalui penambahan pasar tani, sasaran nilai jualan bagi tahun ini adalah RM949 juta dengan bilangan peserta juga dijangka meningkat lebih kurang 1,250 orang.

“Pengguna juga dapat berjimat RM20 bagi setiap pembelian RM100 di pasar tani, berbanding harga di pasar awam lain.

“Berdasarkan anggaran 1,000 pengguna bagi sesebuah lokasi pasar tani, penjimatan yang boleh dibuat ialah RM14.66 juta dalam tempoh seminggu, RM58.64 juta (sebulan) dan RM762 juta (setahun),” katanya kepada BERNAMA.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jualan Jimat Belanja Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan 2019, di Pasar Tani Seksyen 17, di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, Program Jualan Jimat Belanja Tahun Baharu Cina diadakan di 378 pasar tani di seluruh negara, bermula hari ini sehingga 4 Februari ini.

Katanya, program jualan khas itu menawarkan lima hingga 20 peratus penjimatan berbanding pasar awam bagi pembelian barang terpilih kepada pengguna khususnya masyarakat Tionghua.

PETALING JAYA, 31 Jan — Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Ishak Ismail (tengah) menyempurnakan pelancaran Jualan Jimat Belanja sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Tani Seksyen 17 hari ini.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Penjimatan ini dapat dilaksanakan melalui Program Ladang Kontrak (dibawa terus dari ladang) bagi sayur-sayuran dan buah-buahan, pembekalan terus dari jeti bagi komoditi ikan dan hasilan laut serta pengimportan barang-barang runcit juga hasil pertanian yang tidak ditanam dalam negara,” katanya.

Pada masa sama, Ishak memberi jaminan harga barang keperluan dan makanan di pasar tani akan tetap berpatutan dan kompetitif, pada musim perayaan ini.

Beliau berkata, pihaknya juga yakin bekalan barang keperluan dan makanan yang dipasarkan di semua peruncit jualan FAMA akan mencukupi, pada musim perayaan ini.

“FAMA juga akan membuat pemantauan dalam memastikan peniaga tidak akan menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya untuk menjaga hak pengguna,” katanya.