Categories
NASIONAL

FAMA sasar nilai jualan pasar tani RM1 bilion

TAPAH, 2 Jun : Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM1 bilion dapat dijana melalui pasar tani di seluruh negara pada tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Usahawan) FAMA Basri Jasmo berkata peningkatan nilai jualan itu berdasarkan penambahan 25 buah pasar tani baharu di setiap negeri pada tahun ini.

Katanya berbanding pada tahun lepas, nilai jualan yang dihasilkan adalah sebanyak RM850 juta melibatkan 757 buah pasar tani di seluruh negara.

“Nilai jualan dalam tempoh empat bulan pada tahun ini amat menggalakkan dan kita menyasarkan peningkatan nilai jualan sepanjang tahun ini boleh mencecah sebanyak RM900 juta sehingga RM1 bilion,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Program Jualan Jimat Belanja Aidilfitri @ pasar tani peringkat negeri yang disempurnakan Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari di tapak letak kereta Masjid Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Basri berkata ia diadakan bertujuan memberi peluang kepada pengguna mendapatkan barangan keperluan seperti daging, ayam, sayur-sayuran, kuih-muih serta ketupat dan rendang.

Beliau berkata sejumlah 398 pasar tani beroperasi selama lima hari bermula Jumaat lepas sehingga Selasa ini yang memberi penjimatan kepada pengguna antara lima peratus hingga 20 peratus.

“Program ini diadakan dalam usaha kerajaan untuk menangani kenaikan harga barangan keperluan di pasaran terutama menjelang musim perayaan,” katanya.

Dalam pada itu, Basri berkata FAMA turut menganjurkan program ‘My Best Buy’ Pra Aidilfitri 2019 yang bermula sejak 25 Mei sehingga Selasa depan di 18 lokasi terpilih.

“Program itu yang dilaksanakan sejak 2014 melibatkan 720 peserta program dan kita menyasarkan sejumlah 70,000 pengunjung untuk mengunjungi program tersebut yang menawarkan pelbagai produk antaranya hasilan laut serta barangan runcit seperti minyak, bawang, tepung dan gula.

“Kita menjangkakan nilai jualan sejumlah RM600,000 sepanjang program tersebut berlangsung,” katanya. -BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor jadikan PJ dan Klang Bandar bertaraf dunia

MBI-01

KENYATAAN MEDIA

Kerajaan Negeri Selangor sedang merancang untuk menubuhkan sebuah dana kekayaan negara – ?sovereign wealth fund? (SWF ) di bawah Menteri Besar Incorporated ( MBI ) untuk membuka nilai aset di Petaling Jaya dan Klang bagi tujuan pembangunan semula dan pembangunan baru.

Dana ini buat sementara waktu dinamakan Selangor Urban Development Fund atau SUDF, dijangka mempunyai saiz dana permulaan sebanyak RM1 bilion yang akan diperoleh daripada sumbangan pihak-pihak berkepentingan sektor swasta dalam industri pembangunan hartanah dan infrastruktur termasuk pemaju dan syarikat-syarikat pembinaan.

Di samping itu, kerajaan negeri bersama-sama dengan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan akan memperuntukkan peratusan tertentu daripada rizab tunai atau lebihan belanjawan untuk dana tersebut.

Rancangan itu didedahkan semalam oleh Dato? Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Dato? Seri Abdul Khalid bin Ibrahim ketika membentangkan kertas kerja dalam The Future Of Urban Living Conference di Iskandar, Johor.

“Menyedari terdapat beberapa kekangan kewangan terutama kekangan kewangan yang bersifat semulajadi, kerajaan negeri akan membuka nilai aset asas dalam bidang hartanah tertentu yang dimiliki oleh negeri, melalui kaedah konfigurasi atau memanfaatkan aset itu sendiri sebagai sumber pembiayaan utama.

“Dengan model ini, kerajaan negeri ( dan pihak berkuasa tempatan ) akan menjadi penggerak atau pemangkin kepada pembangunan bandar dengan satu pelan induk komprehensif dan menyeluruh, manakala pemain sektor swasta hanya akan menjadi pelaksana rancangan yang digariskan oleh kerajaan negeri,” kata Dato? Menteri Besar yang juga merupakan Felo Eisenhower.

Beliau berkata satu pasukan petugas akan ditubuhkan tidak lama lagi untuk menyelesaikan semua butir-butir yang berkaitan termasuk perancangan & reka bentuk umum, peratusan rizab tunai untuk diasingkan oleh kerajaan negeri, jumlah sumbangan oleh pihak-pihak swasta, profil risiko-pulangan, prosedur standard untuk operasi ( SOP ), tahap pendedahan atau mana-mana spesifikasi lain.

SUDF bertujuan untuk menjadikan Petaling Jaya dan Klang sebagai bandar-bandar bertaraf dunia berdasarkan konsep “kondusif, mapan dan kehidupan bandar bestari” dengan mengintegrasikan semua aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar selaras dengan agenda “Merakyatkan Ekonomi Selangor”.

Jika berjaya, SUDF akan menjadi SWF Malaysia kedua selepas Terengganu Investment Authority ( TIA ), yang kemudiannya ditukar menjadi 1Malaysia Development Berhad ( 1MDB ).

Persidangan tiga hari itu dianjurkan bersama oleh Eisenhower Fellowship, organisasi dari Malaysia dan Singapura. Pada hari Khamis sebelum itu, Dato? Menteri Besar telah membentangkan kertas kerja bertajuk “How To Make World-Class City: The Shah Alam Experience”.