Categories
NASIONAL

FAMA rancang tambah 14 AKR di seluruh negara

KANGAR, 17 JAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merancang menambah 14 lagi AgroBazar Kedai Rakyat (AKR), di seluruh negara tahun ini.

Pengerusinya, Ishak Ismail berkata, sebanyak 369 AKR yang beroperasi di seluruh negara, pada tahun lalu mencatatkan nilai jualan terkumpul mencecah RM256 juta.

“Penambahan 14 AKR itu dijangka meningkatkan jualan RM1 juta lagi setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada BERNAMA selepas melancarkan Hari Bertemu Pelanggan@My Best Buy peringkat negeri ,di perkarangan pejabat FAMA negeri di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Pembangunan Usahawan), Datuk Dr Mat Sani Hassan dan Pengarah FAMA Perlis, Mohamad Paisal Amri.

Pada program itu, Ishak turut menyampaikan geran RM131,900 kepada empat orang usahawan FAMA.

Katanya, daripada 14 AKR yang bakal diwujudkan itu, sebuah akan dibuka di Perlis.

Pada masa sama, katanya, nilai jualan 19 AKR di Perlis bagi tahun lalu mencatatkan RM15.6 juta.

 

Categories
NASIONAL

29 lagi Gerai Buah-Buahan Segar FAMA seluruh negara

TAWAU, 4 JAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merancang untuk menambah 29 lagi Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) di seluruh negara, pada tahun ini, kata Pengerusinya, Ishak Ismail.

Ishak berkata, terdapat 339 GBBS di seluruh negara dengan nilai jualan untuk tahun lalu mencecah RM110 juta, sehingga November.

“Kami akan wujudkan 29 lagi GBBS antaranya dua medan GBBS di Melaka, tiga di Negeri Sembilan dan tiga GBBS diangkat sebagai Agro Khas Pelancongan di Perak, Selangor, Kuala Lumpur serta Tawau,” katanya lapor BERNAMA pada lawatan kerja ke GBBS Sabindo, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, FAMA juga akan membimbing 10 individu pemilik GBBS dan menaik taraf 14 GBBS sedia ada dengan peruntukan RM960,000.

Katanya, ia bertujuan ke arah mewujudkan suasana yang lebih menarik di gerai GBBS dan mampu mengangkat nilai pendapatan usahawan terbabit serta memudahkan orang awam mendapatkan buah-buahan segar.

Ishak berkata, GBBS diperkenal bagi mengatasi masalah lambakan buah-buahan terutama pada musim kemuncak selain sebagai tarikan kepada pelancong yang datang ke negara ini.

Katanya, buah-buahan yang dijual di GBBS sudah melalui proses penggredan yang mempunyai kualiti terbaik.

Pada masa sama, beliau berkata, beberapa lokasi dikenal pasti bagi mewujudkan tapak GBBS di Sabah antaranya Kota Kinabalu dan Tuaran.

Katanya, bagi GBBS Sabindo Tawau yang menempatkan 10 usahawan sudah merekodkan pencapaian yang memberangsangkan dengan jumlah hasil pendapatan RM2 juta.

“Saya lihat konsep yang dibuat di sini sangat menarik dan ia akan dijadikan salah satu contoh GBBS di negara ini melalui cara susunan, kebersihan serta abel buah tersusun,” katanya.

Pada lawatan sama, Ishak turut berkesempatan meninjau Medan Trak Makanan Tawau di bawah Program FAMA, di Jalan Bunga Tanjung.

Beliau berkata, terdapat 600 pengusaha Trak Makanan di bawah Program FAMA di seluruh negara dan menyasarkan 700 usahawan Trak Makanan dapat dicapai, pada tahun ini.

 

 

Categories
NASIONAL

NADMA sedia 50,000 kit makanan untuk agihan mangsa bencana

PELABUHAN KLANG, 21 NOV: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyediakan 50,000 kit makanan untuk diagihkan kepada mangsa bencana khususnya banjir di seluruh negara sepanjang musim tengkujuh ini.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pelaksanaan Operasi NADMA, Zakaria Shaaban berkata jumlah kit makanan yang disediakan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu adalah sebagai permulaan dan ia akan ditambah jika keperluannya meningkat dari semasa ke semasa.

“Kit ini sebagai makanan tambahan mengandungi produk keluaran Agromas yang mudah disediakan seperti biskut, bihun kering, oats, sardin tin, bubur segera pelbagai perisa serta cawan dan sudu garfu plastik.

“Kita sedang dalam peringkat menghantar kit makanan ini ke lima depoh utama seluruh negara untuk diagihkan ke 165 stor bencana. Bagi mangsa banjir di Melaka, kira-kira 500 kit telah dihantar dan sedang diagihkan kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses penyediaan kit makanan itu di depoh edaran FAMA, di sini hari ini.

Beliau berkata pengedaran kit berkenaan bukan hanya tertumpu kepada mangsa banjir tetapi juga bencana lain seperti tanah runtuh dan ia akan diberi kepada setiap ketua keluarga yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan.

Mengulas mengenai persediaan menghadapi bencana termasuk banjir, Zakaria berkata kesiapsiagaan pihaknya termasuk pengurusan aset berada pada tahap tertinggi hasil latihan dan simulasi yang dijalankan sepanjang tahun.​​​​​​​

Sementara itu, Pengerusi FAMA Ishak Ismail berkata sebanyak 67,837 kit makanan disediakan pihaknya hasil kerjasama dengan NADMA sejak 2014, namun pada tahun ini sahaja, sebanyak 50,000 kit makanan perlu dibekalkan kepada mangsa bencana.

“Pertambahan jumlah kit ini menunjukkan keprihatinan kerajaan baharu terhadap kebajikan mangsa bencana khususnya banjir. Malah produk yang kita sediakan juga boleh digunakan dalam jangka masa panjang kerana bertarikh luput sekurang-kurangnya setahun daripada sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai stok bekalan makanan semasa musim tengkujuh, Ishak memberi jaminan bahawa stok yang merangkumi produk makanan basah mahupun industri asas tani adalah mencukupi.

Jelas beliau, pihaknya telah membuat sasaran peningkatan permintaan produk makanan semasa musim banjir dan semua pusat usahawan FAMA di seluruh negara telah diarahkan untuk sentiasa memastikan barangan berkenaan mencukupi bagi mengelakkan manipulasi harga.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

SST: MOA arah FAMA pantau harga barang makanan

GEORGE TOWN, 1 SEPT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membuat pemantauan harga barang makanan di seluruh negara bermula hari ini.

Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata usaha tersebut dilakukan untuk memantau sekiranya terdapat peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya susulan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Mulai hari ini semua pegawai FAMA telah turun padang untuk memantau harga barangan di pasar bukan sahaja di pasar FAMA tetapi juga di pasar biasa untuk kita pantau daripada pelbagai aspek sekiranya ada peniaga yang sewenangnya menaikkan harga barang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Pulau Jerejak, di sini hari ini.

Beliau berkata pemantauan tersebut akan dilakukan dalam tempoh beberapa bulan dan sekiranya didapati kenaikan harga yang tidak munasabah FAMA akan melaporkannya kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut.

Katanya pengguna perlu mengetahui kadar SST yang dikenakan terhadap barang yang dibeli kerana tidak semua barangan yang dikenakan cukai berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dicaj kepada semua barangan.

Sementara itu, Sim yang juga Anggota Parlimen Bayan Baru berkata pihaknya sedang mengkaji satu teknologi sektor perikanan baharu, ‘Deep Sea Cage Culture’, untuk diaplikasikan di Malaysia bagi meningkatkan mutu industri perikanan sekali gus menjana sumber kekayaan negara.

“Saya difahamkan duta besar China telah memberitahu bahawa mereka sebenarnya ada teknologi baharu dan mereka sanggup kongsi dengan Malaysia. Saya nampak ini sebagai sumber kekayaan baharu untuk negara kita,” katanya.

Beliau berkata biarpun negara China mempunyai populasi penduduk yang tinggi, namun kadar pencapaian tahap sara diri mereka juga tinggi berikutan penggunaaan teknologi dalam industri dan kehidupan seharian.

Dalam pada itu, Sim mencadangkan para nelayan untuk turut serta dalam usaha penternakan ikan meskipun ramai di antara mereka yang lebih memilih untuk terus menjadi nelayan.

Beliau berkata adalah penting untuk para nelayan bersama-sama mengusahakan sangkar ikan kerana sumber laut kini semakin berkurangan.

“Saya mohon kalau boleh nelayan-nelayan juga tubuhkan sebuah koperasi dan turut serta buat sangkar ikan. Saya tahu mereka macam tidak suka untuk jadi penternak tetapi demi (pendapatan) keluarga mereka, kita kena ‘move forward’…rugi kalau mereka tak masuk,” katanya.

Pulau Pinang merupakan penyumbang terbesar dalam industri perikanan di Malaysia iaitu sebanyak RM1.6 bilion daripada jumlah keseluruhan RM2.9 bilion pada tahun 2017 hasil usaha 4,987 orang nelayan berdaftar serta 511 orang penternak ikan sangkar di seluruh negeri.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Bekalan barangan cukup sepanjang Ramadan

SHAH ALAM, 22 MEI: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor memberi jaminan bekalan barangan keperluan di negeri itu mencukupi sepanjang Ramadan.

pasar-29Pengarahnya, Datuk Abdul Ghariff Ramin berkata, FAMA juga sudah menyediakan stok simpanan untuk beberapa barangan keperluan seperti ikan, ayam, kelapa dan daging.

“Berdasarkan pengalaman lalu, bekalan barangan selalu mengalami kekurangan ketika Ramadan dan menjelang hari raya akibat penambahan permintaan daripada pengguna.

“Stok yang FAMA sediakan ini akan digunakan bagi mengimbangi pasaran bagi mengelakkan harga barangan ini naik dan membebankan pengguna,” katanya memetik Bernama.

Abdul Ghariff berkata, FAMA juga akan melakukan pengawasan di semua 60 pasar tani kendaliannya di Selangor supaya tiada peniaga menaikkan harga jualan sesuka hati.

“Saya juga ingin menasihatkan pengguna supaya mengemukakan aduan kepada FAMA jika ada peniaga pasar tani kami yang menaikkan harga,” katanya.