Categories
SUKANKINI

Enam individu dicalon rebut jawatan EXCO FAM

PETALING JAYA, 26 MEI: Enam individu dicalonkan untuk merebut satu jawatan EXCO Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2019-2021 pada Kongres Tahunan FAM ke-55 pada 13 Julai ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata enam individu berkenaan yang memegang jawatan dalam persatuan bola sepak dan kelab, bagaimanapun, boleh menolak pencalonan berkenaan sekiranya mereka tidak berminat untuk bertanding jawatan berkenaan.

Beliau memaklumkan pemilihan EXCO baharu itu adalah bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas pengadil FAM, Subkhiddin Salleh yang meletakkan jawatan, pada November lalu.

“Pihak sekretariat FAM akan mengeluarkan surat kepada keenam-enam calon berkenaan, dan pada 13 Jun ini, kita akan memaklumkan (kepada pihak media) sama ada kesemua enam calon berkenaan akan bertanding ataupun tidak, kerana kesemua mereka dicalonkan oleh persatuan masing-masing,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kelapan bagi penggal 2018-2021 di sini, semalam.

Enam individu berkenaan adalah pengurus pasukan Polis Diraja Malaysia, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar; Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, Khamal Idris Ali; Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang, Dr Amar Pritpal Abdullah.

Tiga individu lain adalah EXCO Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Syed Yazid Syed Omar; EXCO Persatuan Bola Sepak Perak, Hairul Anwar Mohamed Noor; dan Timbalan Presiden 2 Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Marzuki Sulong.

Dalam pada itu, Hamidin memaklumkan ahli EXCO FAM yang menghadiri mesyuarat pada hari ini turut bersetuju dengan beberapa pindaan Perlembagaan FAM yang akan dipanjangkan kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk tindakan selanjutnya.

Antara pindaan berkenaan, jelas Hamidin adalah berkaitan pencalonan dan kriteria untuk pemilihan jawatan EXCO FAM.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

30 agensi pelancongan meriahkan FAM Tour

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 JAN: Seramai 30 wakil agensi pelancongan memeriahkan Familiarisation (FAM) Tour bersama Malaysian Association of Tour and Travel Agents (MATTA) Selangor siri 1/2018 yang berlangsung dua hari satu malam pada 17 hingga 18 Januari, baru-baru ini.

Pengurus Komunikasi Korporat Tourism Selangor, Nazri Tashriq berkata, antara tiga daerah dilawati adalah Shah Alam, Kuala Selangor dan Sekinchan.

“FAM Tour diadakan bagi mempromosi setiap daerah di Selangor untuk agensi pelancongan memperkenalkan kepada pelanggan mahupun pelancong yang menggunakan perkhidmatannya.

“Ia bersesuaian dengan teras Tourism Selangor sendiri untuk mempromosi penjenamaan baru Discover Selangor, Heart of Malaysia dan #TakeMeAnywhere,” katanya kepada SelangorKini.

Nazri berkata, FAM Tour itu diadakan setiap bulan bagi membawa ejen pelancongan di samping dapat memperkenalkan kepada mereka tempat menarik di Selangor.

“Untuk siri pertama 2018, kami memilih tiga daerah manakala pada bulan akan datang tempat dilawati mungkin akan berbeza-beza.

“Tourism Selangor akan memperkenalkan produk pelancongan baru bersempena tahun ini,”katanya.

FAM Tour bersama MATTA turut disertai lima wakil Tourism Selangor, Pengerusi MATTA Selangor, Dato’ Wira Syed Abdul Rahman Alhabshi dan isteri beliau Datin Baizura Abu Bakar.

Selain itu, antara 30 ejen pelancongan yang turut serta adalah BHS Travel & Tours, Hannah Travel, Kowamas Holidays, Shahmie Travel dan Angsana Travel & Tours.

Terdahulu, antara tempat menarik dilawati pada hari pertama adalah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Homestay Sungai Sireh, Bukit Melawati dan Kelip-kelip Kampung Kuantan.

Manakala, pada hari kedua pelbagai tempat menarik dilawati antaranya SkyMirror, melawat Ah Ma House, Muzium Padi, Pantai Redang dan perkampungan nelayan.

FAM Tour ini diadakan selaras dengan tujuan Tourism Selangor mensasarkan 7.6 juta pelancong akan berkunjung ke negeri ini pada tahun 2018.