Categories
NASIONAL SELANGOR

Tender Terbuka Jambatan Klang Ketiga Dijangka Pada Oktober Ini

pemenang rekabentuk jambatan klang 01

SHAH ALAM 8 JULAI : Tender terbuka untuk pembinaan Jambatan Ketiga Klang dijangka akan dikeluarkan pada Oktober tahun ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kini proses pembinaan jambatan itu berada di peringkat ketiga dengan pelaksanaan ‘bill of quantities’.

‘Bill of Quantities’ adalah dokumen butiran terperinci berkenaan sesuatu projek pembinaan bagi membolehkan kontraktor mengemukakan tawaran bidaan projek itu.

Ujar beliau, sebelum ini Kerajaan Negeri mengadakan pertandingan rekabentuk yang akan digunakan untuk projek itu.

“Peringkat pertama memperkenalkan tempat dan disusuli satu pertandingan untuk rekabentuk tersebut.

“FARS Consultant menang untuk rekabentuk itu untuk mendapat pemerhatian masyarakat,” kata beliau di dalam ucapannya di dalam sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 300 juta daripada rizab negeri untuk membina jambatan sepanjang 500 meter itu.

Kerajaan Umno-BN berjanji untuk membina jambatan ketiga ini pada tahun 2008 tetapi tidak menunaikannya walaupun majlis pecah tanah pembinaan jambatan itu telah dilakukan.

Pada sidang DNS tahun lepas, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan melaksanakan projek itu dan menuntut kos pembinaannya daripada kerajaan persekutuan.

Pembinaan jambatan merentasi Sungai Klang ini penting kepada pengguna jalan raya khususnya penduduk di Klang kerana tidak perlu meredah kesesakan di tengah bandar Klang untuk ke Kuala Lumpur atau ke Pelabuhan Klang.