Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Khidmat feri ke Langkawi dari Kuala Perlis operasi semula

ALOR SETAR, 21 NOV: Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Utara dengan kerjasama pengusaha feri akan membuka semula perkhidmatan feri ke Langkawi bagi laluan Kuala Perlis mulai esok.

Menurut kenyataan JLM hari ini, langkah itu selaras dengan keputusan kerajaan yang menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kedah sekali gus membolehkan pergerakan rentas antara negeri yang bukan berstatus PKPB.

Perkhidmatan feri bagi laluan Pulau Langkawi-Kuala Perlis-Pulau Langkawi esok (Ahad) akan beroperasi dengan kekerapan satu trip setiap hala iaitu pada 10.30 pagi bagi perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis dan pada 5 petang bagi perjalanan dari Kuala Perlis ke Pulau Langkawi.

“Kekerapan perjalanan feri di laluan ini akan ditambah kepada dua trip perjalanan pergi dan balik mulai Isnin 23 Nov 2020 iaitu pada 10.30 pagi dan 5.30 petang bagi laluan Pulau Langkawi ke Kuala Perlis dan 10 pagi serta 5 petang dari Kuala Perlis ke Pulau Langkawi,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, mulai Isnin ini, perjalanan feri dari Kuala Kedah ke Pulau Langkawi akan beroperasi pada 10 pagi dan 5 petang, begitu juga dengan perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah.

Jabatan itu memaklumkan perlaksanaan norma baharu dan tatacara operasi piawai (SOP) yang terpakai serta diperketatkan di Terminal dan Jeti Penumpang masih dikekalkan, dan pengusaha feri perlu terus menguat kuasa norma baharu dan SOP bagi mengawal penyebaran Covid-19.

“JLM juga menyeru agar pengguna terminal/jeti dan penumpang feri agar terus mematuhi segala perintah dan arahan kerajaan serta tetap menerapkan norma-norma baharu dalam setiap kegiatan harian agar rantaian Covid- 19 ini dapat diputuskan sepenuhnya,” katanya.

Sebelum ini, berikutan PKPB mulai 9 November lepas, JLM bersama pengusaha feri telah mengurangkan kekerapan perjalanan bagi laluan Pulau Langkawi-Kuala Perlis-Pulau Langkawi kepada satu trip sehala sahaja manakala perkhidmatan bagi laluan Pulau Langkawi-Kuala Kedah-Pulau Langkawi dihentikan sementara.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Hanya satu perjalanan feri ulang alik ke Langkawi dalam sehari

LANGKAWI, 9 NOV: Perjalanan feri ulang alik bagi laluan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi dihadkan kepada satu perjalanan sehari bermula hari ini hingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat, kata Pengarah Laut Wilayah Utara Jabatan Laut Malaysia Mohd Hafiz Abdul Majid.

Beliau berkata sebelum ini pihaknya menerima permohonan daripada syarikat pengendali feri, Konsortium Ferry Line Ventures untuk mengurangkan jumlah perjalanan feri harian melibatkan kedua-dua laluan tersebut dan permohonan itu telah dihantar ke ibu pejabat untuk kelulusan.

“Jabatan Laut Malaysia telah meluluskan permohonan operator feri tersebut. Bermula esok (hari ini), hanya satu perjalanan sehari bagi laluan Langkawi-Kuala Kedah dan Kuala Kedah-Langkawi akan beroperasi.

“Perjalanan feri dari Langkawi ke Kuala Kedah dijadualkan pada 10 pagi, manakala feri dari Kuala Kedah ke Langkawi pada 5 petang. Jadual perjalanan ini berkuat kuasa bermula esok (hari ini) hingga tamat tempoh PKPB,” katanya kepada Bernama semalam.

Mohd Hafiz berkata selain itu, pihak operator juga telah memohon untuk menghentikan operasi melibatkan laluan Kuala Perlis-Langkawi-Kuala Perlis dalam tempoh PKPB.

“Permohonan ini juga telah diluluskan dalam tempoh PKPB, perjalanan feri penumpang dari Kuala Perlis-Langkawi-Kuala Perlis dihentikan operasi,” katanya.

-BERNAMA