Categories
SELANGOR

Usahawan trak bergerak puji, minta perluas seluruh Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 APR: Usaha Kerajaan Negeri membantu usahawan trak bergerak disambut baik dan usahawan terlibat mengalu-alukan langkah diambil bagi terus memaju serta meningkatkan hasil pendapatan mereka.

Program itu juga terbukti berjaya memupuk minat orang ramai terutama generasi muda bagi menyertai bidang perniagaan dengan konsep berkenaan.

Khairul Anuar Abdul Salam, 23, berkata, program dijalankan seperti Festival Smart Trak Selangor 2017 membuka peluang usahawan memasarkan produk jualan dengan lebih berkesan.

“Perniagaan konsep begini bagus kerana kita dapat berjumpa pelanggan terus di lokasi dan juga mengurangkan beban.

Khairul Anuar“Pemasaran juga berkesan kerana segala iklan produk dipaparkan di bahagian badan trak untuk kemudahan pelanggan dan diharap program seperti ini diadakan secara kerap termasuk di lokasi lain,” kata pengusaha Mat Rock Ayam Goreng Kunyit itu kepada SelanorKini di sini, semalam.

Khairul Anuar dari Ampang, Kuala Lumpur adalah salah seorang usahawan menyertai Festival Smart Trak Selangor 2017 anjuran Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Sabtu dan Ahad lalu.

Festival terbabit dirasmikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Pengusaha Boxx by Kokopelli, Ushuaia Arif, 18, berkata, penganjuran program di kawasan tumpuan orang ramai adalah usaha terbaik bagi membantu peniaga memajukan perniagaan.

“Festival dua hari ini berkesan dan mendapat tumpuan kerana ia dijalankan dengan konsep perniagaan baru.

“Dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), ia ternyata langkah proaktif bagi menarik minat usahawan menyertai dan memasarkan produk jualan dalam program ini,” katanya.

Enas IbrahimUsahawan Murtabak Cheese dari Sijangkang, Enas Ibrahim, 32, menjelaskan usaha Kerajaan Negeri dalam perkara itu wajar dipuji kerana perniagaan konsep begitu memudahkan peniaga bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.

“Perniagaan begini memudahkan pergerakan kerana segalanya dalam trak, macam saya sendiri pun dari Sijangkang tetapi boleh datang ke Shah Alam bagi bertemu pelanggan.

“Ia satu usaha strategik bagi membantu peniaga dan pastinya baik jika program berterusan serta diperluaskan di seluruh Selangor,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

Smart Trak Selangor berjaya, bantu usahawan pasar produk

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 APR: Penyertaan ramai peniaga dan usahawan dari pelbagai bidang perniagaan menjadikan Festival Smart Trak Selangor 2017 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini, berlangsung jaya dan meriah.

Program Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu diadakan dua hari pada Sabtu dan Ahad lalu di mana kalangan usahawan boleh memasarkan produk jualan di tapak perniagaan disediakan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata, program Smart Trak Selangor adalah usaha Kerajaan Negeri untuk terus membantu rakyat negeri itu ke arah memartabatkan ekonomi dan kehidupan lebih berjaya.

SMART TRAK (3)“Cabaran ekonomi semasa amat getir dan mencabar. Situasi ini menuntut usahawan agar lebih kreatif serta inovatif dalam memenuhi permintaan pasaran termasuk produk berkualiti dengan harga berpatutan.

“Smart Trak Selangor adalah satu perkembangan baru yang menarik perhatian awam serta menjadi pilihan usahawan masa ini dan konsep mobiliti ini memberi pilihanuntuk mereka bergerak dari satu lokasi ke lokasi bagi meraih pendapatan lebih berbanding di premis statik,” katanya dalam majlis perasmian Festival Smart Trak Selangor 2017 dan pelancaran Garis Panduan Trak Bergerak (Makanan, Barangan dan Perkhidmatan) di sini, semalam.

Turut hadir, Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari; Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari; Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad serta hadiran lain.

Selepas majlis perasmian, Dato’ Menteri Besar mengambil peluang melawat tapak dataran bagi meninjau perniagaan dan bermesra dengan usahawan dalam festival itu.

SMART TRAK (1)Model perniagaan Smart Trak diperkenalkan Kerajaan Negeri adalah sebagai perniagaan bersifat mobiliti tinggi dan peluang perniagaan diberi nafas baru seterusnya dapat meningkatkan persaingan sihat.

Sehingga Mac ini, seramai 138 perniagaan Smart Trak telah berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

-nR-