Categories
GLOBAL

Fiji tidak iktiraf kahwin sejenis – PM Bainimarama

SUVA, 8 APR: Fiji tidak akan membenarkan perkahwinan sejenis selagi kerajaan FijiFirst memerintah negara pulau itu.

Perdana Menteri Fiji, Voreqe Bainimarama membuat kenyataan itu semasa merasmikan Subbahagian Raralevu di Tailevu, antara 14 wilayah di Viti Levu, pulau terbesar Fiji, semalam.

Menurut stesen penyiar Fiji Broadcasting Corporation (FBC), Bainimarama berkata terdapat banyak perbincangan dalam media sosial berkaitan isu itu dan khabar angin yang membuat spekulasi bahawa beberapa gereja menyokong idea perkahwinan sejenis.

“Semua orang perlu jelas bahawa Fiji adalah sebuah negara yang takutkan Tuhan dan perkahwinan sejenis tidak akan pernah berlaku di Fiji,” katanya.

Undang-undang keluarga Fiji tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis.

Sejak 2002, undang-undang itu secara terbuka mengharamkan perkahwinan sejenis dan pada awal 2013, Bainimarama menzahirkan penentangan beliau terhadap idea perkahwinan sejenis.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Fiji dilanda gempa bumi, tiada tsunami

SUVA: Luar pantai Fiji dilanda gempa bumi magnitud 6.7 hari ini, namun ia terlalu dalam untuk mencetuskan sebarang kerosakan.

Pusat Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa berpusat pada kedalaman 534 kilometer dan sejauh 283 kilometer itu berlaku di timur ibu kota.

Penduduk tempatan berkata, mereka tidak merasai sebarang gegaran dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, Pusat Amaran Tsunami Pasifik berkata, tiada ancaman tsunami susulan gempa itu yang berlaku jam 9.25 pagi waktu tempatan.

Kawasan itu sering mengalami gempa bumi jauh di dasar laut dan dilanda gempa magnitud 7.8 dua bulan lalu.

Fiji terletak dalam ‘Lingkaran Api Pasifik’, zon aktiviti tektonik di sekitar Pasifik yang kerap berlaku gempa bumi dan letusan gunung berapi.

-AFP