Categories
NASIONAL

Garis panduan tetap kendera saji di semua PBT-MAFTA

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Kerajaan perlu menetapkan satu garis panduan menyeluruh terhadap pengusaha kendera saji (food truck) bagi memudahkan mereka menjalankan perniagaan secara bergerak, kata Persatuan Food Truck Malaysia (MAFTA).

Pengerusinya, Datuk Mohamad Zaini Md Taha berkata, sehingga kini masih ramai pengusaha trak makanan tidak memiliki lesen perniagaan sah kerana keliru terhadap garis panduan tidak tetap daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berlainan apabila mereka bergerak ke kawasan tertentu untuk menjalankan perniagaan.

“Oleh kerana perniagaan mereka adalah secara bergerak, kadangkala mereka keliru apabila peraturan untuk memohon lesen daripada PBT agak berlainan dan ada kalanya mengambil masa yang lama untuk mendapatkan lesen.

“Sedangkan perniagaan mereka hanya dijalankan untuk tempoh yang singkat…jadi ada dalam kalangan mereka mengabaikan proses itu dan terus membayar sewa tapak kepada penganjur ataupun berniaga secara haram tanpa memohon lesen PBT,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya lebih 80 peratus daripada peniaga trak makanan di seluruh negara belum mendapat lesen PBT menyebabkan mereka sering disaman dan disita.

“Sehingga kini terdapat 820 peniaga trak makanan yang berdaftar sebagai ahli di bawah MAFTA di seluruh negara.

“Peniaga yang ada tapak tetap daripada PBT, itu memang sudah terjamin, tetapi peniaga trak makanan yang bergerak secara merata inilah sebenarnya perlu diberi pendedahan mengenai garis panduan yang tetap, selain dapat menjamin keselamatan mereka serta berniaga secara sah,” katanya.

Beliau berkata selain itu, ramai juga peniaga trak makanan turut ditindas kerana terpaksa membayar sewa tapak yang mahal kepada penganjur ataupun pemilik tapak trak makanan.

“Selaraskan harga sewa tapak itu, kalau untuk acara tertentu kadar sewa lain, tapi untuk jangka masa panjang, biarlah harga itu ditetapkan dan tidak terlampau mahal,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Norhaslinda Nordin berkata pihaknya sentiasa menyediakan program pementoran kepada usahawan trak makanan dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara (Insken) dalam perancangan menu, pemasaran dan kanvas model perniagaan.

Beliau berkata bagi memastikan kebersihan dan keselamatan makanan terjamin, pihaknya turut akan memberi pendedahan terhadap pengurusan makanan bagi memastikan mereka memenuhi garis panduan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Bagi permohonan lesen pula, Norhaslinda berkata peniaga trak makanan perlu memohon di bawah kategori ‘Penjaja Bergerak’ berdasarkan Undang-undang Kecil Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016 yang akan diproses dalam tempoh 30 hari bekerja.

“Antara kriteria yang ditetapkan untuk permohonan lesen bergerak ialah warganegara Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas, berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mengambil suntikan tifoid (TY2), kenderaan trak mendapat kelulusan Puspakom dan mendapatkan insurans liabiliti awam.

“Selain itu, sebaik sahaja mendapat lesen sah, mereka hanya boleh menjalankan perniagaan trak mereka di lokasi yang ditetapkan di bawah seliaan DBKL dan dengan kebenaran pengurusan tapak itu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Pengusaha kendera saji mohon seragam lesen niaga

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 MAC: Pengusaha kendera saji (food truck) menggesa Kerajaan Negeri menyeragamkan lesen perniagaan bagi mengelakkan peniaga daripada terus disaman Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pengerusi Pengusaha Food Truck FAMA Selangor, Abu Az Abu Bakar berkata, lesen bagi perniagaan itu yang diasingkan antara PBT menyebabkan peniaga menanggung beban bayaran agak tinggi saban tahun.

“Bayangkan kami terpaksa memohon lesen perniagaan ‘food truck’ berbeza setiap PBT dan setiap satunya mencecah hingga RM250 setiap tahun. Cukuplah dengan dua PBT, ia menelan belanja sehingga RM500 sahaja bagi bayaran lesen.

“Tetapi jika tiada lesen, kami berisiko pula untuk disaman dan saman yang dikenakan pula mencecah RM150 untuk sekali saman.

“Oleh sebab itu, kami merayu supaya Kerajaan Negeri menyeragamkan lesen pernigaan ini memandangkan peniaga ‘food truck’ bergerak ke lokasi berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Dialog Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan dan koperasi sektor pertanian di Wisma PKPS, di sini, hari ini.

Mengulas perkara terbabit, EXCO Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, pihaknya akan membangkitkan isu berkenaan dalam mesyuarat Exco ekoran ia membabitkan dasar.

“Namun, peniaga perlu tahu, setiap pentadbiran ada peruntukan undang-undang kecil berlainan, ia memang sudah sedia ada.

“Jika dahulu, kita hanya ada gerai sahaja kerana ia tidak bergerak seperti ‘food truck’,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Keunikan makanan Food Truck di Amcorp Mall

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 17 APR: Orang ramai khususnya warga Petaling Jaya kini berpeluang menikmati pelbagai keunikan makanan berkonsepkan food truck yang dibuka di tempat letak kereta di hadapan pusat beli-belah Amcorp Mall, di sini.

Pembukaan Tapak@PJ itu, sekali gus menjadikannya sebagai lokasi kedua selepas Tapak pertama di Persiaran Hampshire, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 2016 lalu.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, ia sebagai satu inisiatif mendorong usahawan membangunkan industri food truck di kawasan terbabit.

Katanya, pembukaan Tapak@PJ itu juga merupakan perkongsian berkesan antara pihak berkuasa tempatan dan sektor swasta untuk menyokong industri itu serta mewujudkan ruang sosial yang memenuhi keperluan awam.

“Saya berharap supaya peniaga di Tapak@PJdapat mematuhi semua peraturan ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan memberi kerjasama sepenuhnya dalam meningkatkan perniagaan lori pintar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Majlis Sahabat Smart Trak MBPJ dan Aplikasi Pengurusan Smart Trak (Kapita) bersempena pembukaan Tapak@PJ di sini baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Johary Anuar; Pengarah Tapak Urban Street Dining, Syed Izmir Syed Amir dan Pengasas Bersama Tapak Urban Street Dining, Tawfique Roseli.

Sementara itu, Syed Izmir berkata, pembukaan Tapak@PJ itu selaras dengan misi mereka dalam mewujudkan lebih banyak ruang sosial selain peluang untuk penggemar makanan food truck menerokai pengalaman makan malam di kawasan jalanan.

“Hari ini, perniagaan food truck bukan dilihat sekadar trend tetapi ia adalah soal masa depan. Ini menjadikannya popular dan mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Beliau berkata, Tapak@PJ itu beroperasi di atas tanah keluasan 10,000 meter persegi yang dapat menampung kira-kira 600 pengunjung pada satu-satu masa.

“Ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat makan, khemah boleh ditarik balik, tempat membasuh pinggan, tandas dan surau selain persembahan secara langsung oleh kumpulan Buskers,” katanya.

Katanya, Tapak@PJ mengetengahkan lebih 100 makanan tempatan yang dikendalikan oleh 20 trak makanan dan beroperasi setiap hari dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam (Isnin hingga Khamis) dan 6 petang hingga 1 pagi (Jumaat, Sabtu dan Ahad).

=EZY=

Categories
SELANGOR

Peniaga Food Truck perlu mohon lesen PBT

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 5 NOV: Penjaja bergerak (Food Truck) yang ingin menjalankan perniagaan di Selangor perlu memohon lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata mereka juga perlu mematuhi syarat seperti kesesuaian lokasi, tidak menyebabkan kacau ganggu dan tidak mengganggu aliran trafik.

Ean Yong Hian Wah“Pemantauan penguatkuasa PBT sentiasa dijalankan dari masa ke masa dan tindakan sita akan diambil ke atas barang perniagaan termasuk kompaun jika menjalankan perniagaan tanpa lesen atau tanpa kebenaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dr Yaakob Sapari (KEADILAN-Kota Anggerik) dan Ng Sze Han (DAP-Kinrara) berkenaan perniagaan Food Truck di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Pada masa sama, Hian Wah (DAP-Seri Kembangan) berkata, Kerajaan Negeri tidak menyediakan peruntukan khas dalam menyusun semula gerai sedia ada di tengah bandar.

Katanya, PBT sudah menyusun semula penempatan gerai berpusat di lokasi bersesuaian supaya ia tidak menjejaskan pemandangan, kebersihan dan kesesakan dalam bandar.

“Memandangkan ini adalah bidang baru, satu rancangan untuk mewujudkan garis panduan berkenaan penjaja bergerak akan dibuat supaya perniagaan itu dikawal dengan teratur,” katanya.

-NFN-