Categories
AGENDA NASIONAL

Amukan gajah liar di Kota Tinggi, peniaga rugi RM1,000

JOHOR BAHRU, 1 OGOS: Seorang peniaga wanita mengalami kerugian kira-kira RM1,000 selepas kedai buah-buahannya diserang dua ekor gajah liar di Batu Mawai, Kota Tinggi, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata kejadian berlaku kira-kira 8 malam ketika mangsa berusia 52 tahun itu sedang berniaga buah-buahan sebelum dua ekor gajah liar secara tiba-tiba meluru ke arah kedainya.

“Kejadian amukan oleh seekor gajah betina dan anaknya itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, berdasarkan siasatan, kawasan tersebut merupakan laluan gajah liar dan sebelum ini pernah dilaporkan kejadian seorang maut akibat diserang mamalia itu.

Semalam, tular di media sosial beberapa rakaman video yang memaparkan seekor gajah berkeliaran di jalan raya di Kota Tinggi, pada waktu puncak.

Kejadian tersebut menyebabkan pengguna jalan raya terpaksa memperlahankan kenderaan demi keselamatan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Gajah agresif maut terkena tembakan, dehidrasi

KOTA KINABALU 9 DIS: Seekor gajah jantan, yang ditangkap di sebuah ladang sawit di Telupid bulan lepas, mati di Santuari Hidupan Liar Borneo di Kinabatangan, Rabu lepas.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata haiwan itu, yang dianggar berusia enam atau tujuh tahun, mempunyai tanda kecederaan ketika ditangkap Unit Penyelamat Jabatan Hidupan Liar.

Katanya, gajah itu dilaporkan bertindak agresif terhadap pekerja ladang dan penduduk kampung di kawasan sekitar, yang membawa kepada penangkapannya pada 24 Nov lalu di Desa Plantation dan dihantar ke Santuari Gajah Borneo.

“Semasa menjalani pemeriksaan dan rawatan perubatan, lidahnya didapati luka teruk, dipercayai akibat terkena tembakan.

“Luka pada lidahnya menyebabkan gajah itu tidak berupaya untuk makan atau minum,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Tuuga berkata bedah siasat mendapati sebutir peluru tertanam pada kaki kiri gajah itu dan terdapat kesan terkena tembakan pada badannya, tetapi tidak menembusi atau menyebabkan sebarang kecederaan organ.

“Dehidrasi dipercayai menjadi punca kematian kerana gajah itu tidak berupaya untuk minum akibat kecederaan pada lidahnya,” kata beliau.

Tuuga berkata Jabatan Hidupan Liar Sabah akan menyiasat kes itu kerana ia melibatkan kematian spesies yang dilindungi sepenuhnya.

“Walaupun Jabatan Hidupan Liar Sabah memahami sepenuhnya masalah yang dihadapi penduduk berkaitan gajah di kawasan mereka, tetapi kami amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak berkenaan dengan menghubungi pejabat jabatan ini yang berhampiran bagi membantu menghalang gangguan dan kerugian terhadap harta benda,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tangkap segera pemburu haram gajah

LAHAD DATU 2 JAN: Pasukan Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) dan Unit Perlindungan Hidupan Liar (WRU) amat sedih dengan insiden dua ekor gajah jantan liar mati dibunuh oleh pemburu haram berhampiran Sungai Segama, Hutan Simpan Kawag.

Gajah jantan pertama ditemui mati pada 27 Disember 2016 di tengah-tengah kawasan ladang bersempadan Hutan Simpan Kawag.

Gajah jantan kedua yang ditemui mati ialah gajah bergading bernama Sabre yang sebelumnya diselamatkan dari ladang dekat Tawau dan dipindahkan ke Hutan Simpan Kawag tiga bulan lalu selepas dipasang kolar satelit oleh DGFC dan WRU.

“Kami menemui bangkai Sabre pada ambang Tahun Baharu dengan kolar satelit ditemui di sebelah tengkorak,” kata pengarah DGFC Benoit Goossens dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata Sabre diselamatkan dari sebuah ladang dekat Tawau awal Oktober tahun lepas dan dipasang kolar satelit sebelum dilepaskan di hutan simpan dekat Danum.

“Dalam tempoh sebulan, Sabre dan seekor lagi gajah jantan yang besar diburu oleh pemburu haram untuk mendapatkan gading. Bangkai kedua-dua ekor gajah dijumpi 1,500 meter antara satu sama lain walaupun gajah-gajah itu tidak mati dibunuh pada masa yang sama,” kata beliau lapor BERNAMA.

Goossens berkata Sabre dibunuh pada 21 Nov 2016, menurut data satelit.

“Kami bersedia memberi semua maklumat yang perlu kepada penyiasat dan kepada polis. Saya percaya gajah-gajah itu dibunuh oleh seorang pemburu dan pedagang profesional.

“Pada hari China mengharamkan perdagangan gading gajah, dua daripada gajah kita mati dibunuh untuk mendapatkan gading. Gajah-gajah kita sudahpun menghadapi ancaman kepupusan habitat, pembangunan seperti pembinaan jalan/jambatan di Sukau-Kinabatangan.

Sementara itu, doktor veterinar hidupan liar dari WRU Dr Pakeeyaraj Nagalingam, yang menyertai usaha menyelamatkan haiwan itu dan pemindahan Sabre berkata tiada perkataan yang dapat menggambarkan kesedihan kami.

Beliau berkata, nampaknya tidak ada lagi kawasan yang selamat di Sabah untuk gajah.

“Pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi penguatkuasaan larangan memburu hidupan liar secara haram dan aktiviti haram yang lain perlu bekerja keras dan lebih bijak jika mahu memulihara hidupan liar kita di Sabah,” kata Nagalingam.

=EZY=