Categories
AGENDA NASIONAL

Amukan gajah liar di Kota Tinggi, peniaga rugi RM1,000

JOHOR BAHRU, 1 OGOS: Seorang peniaga wanita mengalami kerugian kira-kira RM1,000 selepas kedai buah-buahannya diserang dua ekor gajah liar di Batu Mawai, Kota Tinggi, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata kejadian berlaku kira-kira 8 malam ketika mangsa berusia 52 tahun itu sedang berniaga buah-buahan sebelum dua ekor gajah liar secara tiba-tiba meluru ke arah kedainya.

“Kejadian amukan oleh seekor gajah betina dan anaknya itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, berdasarkan siasatan, kawasan tersebut merupakan laluan gajah liar dan sebelum ini pernah dilaporkan kejadian seorang maut akibat diserang mamalia itu.

Semalam, tular di media sosial beberapa rakaman video yang memaparkan seekor gajah berkeliaran di jalan raya di Kota Tinggi, pada waktu puncak.

Kejadian tersebut menyebabkan pengguna jalan raya terpaksa memperlahankan kenderaan demi keselamatan.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

RM2 juta bina semula Medan Selera Jalan Pandan Indah 6/2

Oleh: AFIX REDZUAN

PANDAN INDAH, 20 MEI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memperuntukkan RM2 juta bagi pembinaan semula Medan Selera Jalan Pandan Indah 6/2, di sini.

Sebuah kompleks medan selera dua tingkat akan didirikan bagi menggantikan bangunan lama yang usang berusia hampir 20 tahun.

IMG_7502Adun Chempaka, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, kerja pembinaan akan dimulakandi atas tanah sedia ada seluas 0.946 ekar dan akan dibina bermula September ini yang dijangka siap dalam tempoh 10 bulan.

“Bangunan baru dua tingkat itu akan menempatkan 40 gerai dengan kemudahan perkhidmatan lebih selesa. Fasa pertama, kita akan bina gerai dengan peruntukan RM2 juta, manakala fasa kedua kita akan bina surau dan dewan.

“Namun, jumlah peruntukkan fasa kedua belum diketahui,” katanya selepas lawatan tapak ke medan selera berkenaan.

Medan selera baharu itu akan menempatkan 20 gerai utama, 10 kiosk dan 10 gerai pelbagai dengan kapasiti 282 tempat duduk. manakala kemudahan lain seperti tandas Orang Kelainan Upaya (OKU) dan pejabat turut disediakan.

IMG_7504Beliau yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Selangor berkata, pembinaan itu adalah kesinambungan kepada projek pembinaan medan selera di Pangsapuri Kos Rendah Taman Dagang bernilai RM500,000.

Katanya, peniaga sedia ada akan ditempatkan sementara bersebelahan bangunan medan selera sedia ada supaya boleh meneruskan perniagaan.

Sehingga kini, 19 orang peniaga yang terdiri daripada penduduk Pandan Indah menyewa lot kedai pada harga RM160 sebulan daripada MPAJ.

-NFN-