Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Noor Hisham jelaskan isu pekerja asing pakai gelang kuarantin

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Dua gambar menunjukkan pekerja warga asing masih berada di kawasan pembinaan dengan memakai gelang merah jambu yang tular baru-baru ini sebenarnya adalah pekerja yang melalui saringan pengawasan Covid-19 di tapak binaan itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan individu terbabit diberikan gelang merah jambu bagi mengelakkan mereka daripada keluar dari tapak binaan.

“Tetapi mereka masih boleh bergerak di dalam tapak binaan kerana ianya saringan pengawasan bukan saringan kontak rapat. Pihak pemaju telah diminta untuk memastikan kesemua yang disaring berada dalam kawasan tapak binaan.

Dua orang pengawal keselamatan diletak di pintu masuk tapak bina dan pihak polis IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Wangsa Maju juga melakukan pemantauan setiap hari,” katanya dalam catatan yang dimuat naik dalam akaun laman sosial Facebook beliau hari ini.

Dr Noor Hisham berkata seramai 264 daripada 273 orang yang disaring adalah melalui saringan pengawasan tapak binaan dan mereka berada di dalam kawasan pembinaan berkenaan.

Selain itu Dr Noor Hisham memberitahu pemaju terbabit juga dinasihatkan untuk melakukan kerja nyahkuman.

Katanya lagi, pada 13 Nov hingga 15 Nov lepas, pemaju berkenaan memberhentikan operasi sementara waktu bagi memberi laluan kepada kerja pembersihan dan nyah cemar sehingga keputusan saringan diperoleh pada 15 Nov.

“Release order (perintah pelepasan) dan pemotongan gelang merah jambu dilakukan pada 15 Nov 2020, jam 11am (pagi) di tapak bina berkenaan. Hasil saringan terdapat satu kes positif sahaja tetapi kes ini tidak tinggal di tapak binaan, tetapi menetap di luar tapak binaan,” katanya.

Beliau memberitahu terdapat lapan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 terbabit yang masih menjalani tempoh kuarantin iaitu dari 7 Nov hingga 20 Nov, sementara kesemua pekerja lain yang dikesan negatif diberikan (perintah) pelepasan pada 15 Nov.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemilik boleh halang individu gelang kuarantin masuk premis

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Pemilik premis perniagaan boleh menghalang individu yang memakai gelang kuarantin daripada memasuki kawasan perniagaan mereka serta melaporkan kepada polis supaya tangkapan dapat dibuat terhadap mereka yang ingkar arahan kuarantin wajib.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perbuatan mengingkari arahan kuarantin wajib adalah kesalahan berat dan perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan segera boleh diambil.

“Sebenarnya mereka yang memakai gelang kuarantin ini memang tidak boleh keluar ke mana-mana kerana apabila mereka keluar dengan gelang kuarantin ini mereka boleh membahayakan orang lain,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan media sekiranya kerajaan akan mewajibkan tatacara operasi piawai(SOP) pemeriksaan pergelangan tangan di pintu masuk premis seperti pusat beli belah, restoran atau kedai runcit memandangkan terdapat beberapa restoran yang mempraktikkan perkara itu.

Mengulas mengenai kekeliruan pelaksanaan dua kali kuarantin pada individu yang tiba di Semenanjung dari luar negara dan meneruskan perjalanan ke Sarawak, Ismail Sabri berkata kerajaan Sarawak berhak menentukan sama ada mereka yang masuk ke negeri itu perlu menjalani kuarantin lanjutan selepas selesai menjalani kuarantin wajib 14 hari atau dibenarkan ke destinasi masing-masing.

“Terdapat dua situasi melibatkan kuarantin ini iaitu bagi individu tiba dari luar negara di mana-mana lapangan terbang kemudian terus menaiki penerbangan ke Sarawak, mereka tidak perlu menjalani kuarantin dua kali (apabila tiba di Sarawak) kerana tidak keluar dari kawasan lapangan terbang itu.

“Kedua, apabila mereka tiba di lapangan terbang tetapi tidak pulang terus ke Sarawak… tinggal satu atau dua hari di sekitar lapangan terbang itu, ini akan dikenakan kuarantin kerana mereka telah keluar dari kawasan lapangan terbang dan apabila ke Sarawak mungkin akan dikenakan semula kuarantin,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata bagi kenderaan perniagaan yang merentas daerah atau negeri secara kerap untuk mengambil barang hanya perlu mendapatkan surat kebenaran sekali sahaja bermula dari tarikh permohonan sehingga ke tarikh tamat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, bagi pasangan ‘hujung minggu’ perlu memohon surat kebenaran setiap kali ingin merentas daerah atau negeri.

-BERNAMA