Categories
AGENDA NASIONAL

Gerak Malaysia: Lebih 300,000 kenderaan di semua laluan, lebuh raya

KUALA LUMPUR, 6 MEI: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lebih 300,000 kenderaan pemohon Gerak Malaysia akan bergerak di seluruh negara termasuk di rangkaian Lebuhraya PLUS bermula esok sehingga Ahad.

Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata PLUS telah melaksanakan tatacara operasi piawai (SOP) selaras dengan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia sejak fasa pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lepas.

Beliau berkata setiap pemandu dinasihat mengamalkan jarak sosial dengan memastikan mereka mempunyai baki yang mencukupi di dalam kad Touch ‘n Go masing-masing sebelum memasuki lebuh raya.

Menurutnya, ini berikutan semua urusan tambah nilai kad Touch ‘n Go menerusi pembantu khidmat pengguna di lorong tol tidak lagi dibenarkan bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19.

“Sehubungan itu, PLUS menasihatkan orang ramai supaya membuat urusan tambah nilai di stesen minyak, kios layan diri (SSK), kedai serbaneka dan mesin ATM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, selaras dengan SOP yang telah diumumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), pengguna lebuh raya hanya dibenarkan untuk berhenti rehat di dalam kenderaan masing-masing apabila tiba di kawasan tempat letak kenderaan di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah atau plaza tol.

Katanya, pengguna hanya dibenarkan keluar daripada kenderaan untuk menggunakan kemudahan tandas awam sahaja.

“PLUS ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi garis panduan penjarakan sosial ketika beratur bagi menggunakan tandas awam di R&R. Semua surau di R&R juga masih ditutup dan tiada kemudahan pembelian makanan dan minuman di gerai R&R disediakan sepanjang tempoh Gerak Malaysia,” jelasnya.

Sepanjang tempoh tersebut juga, stesen minyak di Lebuhraya PLUS akan beroperasi dalam tempoh terhad bermula dari 6 pagi hingga 12 tengah malam sahaja, katanya.

Azman berkata perkhidmatan rondaan di lebuh raya, PLUSRonda juga disediakan 24 jam untuk menjaga keselamatan dan memberi bantuan kepada pengguna dengan menghubungi talian PLUSLine di 1800 88 0000.

Jelasnya, talian bantuan itu boleh dihubungi secara terus menerusi aplikasi PLUS yang boleh dimuat turun menerusi Apple App Store atau Google Play Store.

Ketika perjalanan Gerak Malaysia, orang ramai juga dinasihati untuk menggunakan aplikasi Waze atau Google Map bagi mengelakkan kesesakan di lebuh raya di samping mendapatkan maklumat trafik menerusi papan tanda elektronik yang disediakan di lokasi strategik di sepanjang 1,131.4 kilometer Lebuhraya PLUS.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1.4 juta muat turun aplikasi Gerak Malaysia

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Sebanyak 1.4 juta kali aplikasi Gerak Malaysia telah dimuat turun manakala sebanyak 503,276 permohonan pergerakan antara negeri diterima, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 143,516 permohonan telah diluluskan setakat ini manakala balai polis di seluruh negara menerima 13,069 borang manual pergerakan antara negeri sehingga semalam.

“Saya meminta orang ramai agar mengemas kini butir-butir alamat asal dan alamat destinasi pada aplikasi berkenaan pada 4, 5 dan 6 Mei (hari ini) dengan segera.

“Ini merupakan langkah terakhir sebelum pelaksanaan pergerakan antara negeri yang akan bermula pada esok (7 Mei) sehingga 10 Mei ini,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Selain itu, Huzir berkata orang ramai diminta untuk mengemas kini aplikasi Gerak Malaysia ke versi 2.5 untuk pengguna android (Play Store).

Huzir berkata setelah dikemas kini, kod QR akan dijana dan boleh dipaparkan di skrin telefon bimbit masing-masing.

“Kod QR yang dijana ini adalah satu bukti bahawa permohonan pergerakan antara negeri telah diluluskan.

“Sebelum ini, saya telah maklumkan bahawa orang ramai yang hendak melakukan pergerakan antara negeri hanya perlu memohon dan kemas kini maklumat sahaja dan tiada kelulusan akan diberikan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kelulusan melalui kod QR ini terpaksa dilaksanakan kerana statistik awal menunjukkan seramai 503,276 orang telah membuat permohonan.

“Namun, hanya 29.5 peratus daripada jumlah pemohon telah mengemas kini maklumat pergerakan antara negeri iaitu seramai 148,576 orang sahaja,” katanya.

Beliau berkata baki 70.5 peratus iaitu 354,700 orang daripada jumlah pemohon sebelum ini tidak mengemas kini maklumat pergerakan antara negeri.

“Ini mungkin terjadi disebabkan dua faktor iaitu orang ramai berpendapat bahawa mereka hanya perlu memohon dan tiada kelulusan akan diberikan.

“Oleh itu, mereka boleh bergerak sahaja tanpa mengemas kini maklumat pergerakan antara negeri atau kedua, mereka ini mungkin menunggu sehingga saat akhir untuk mengemas kini maklumat pergerakan antara negeri,” katanya.

Huzir berkata penjanaan kod QR adalah penting untuk memastikan tiada individu yang menyalahgunakan kemudahan ini dan mengambil kesempatan untuk melakukan pergerakan antara negeri yang masih tidak dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata ia adalah untuk memastikan orang ramai yang benar-benar terkandas sahaja melakukan pergerakan antara negeri untuk pulang ke kediaman masing-masing dalam tempoh 7 hingga 10 Mei ini.

Huzir berkata penggunaan kod QR ini dilaksana untuk beberapa tujuan seperti membolehkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat perancangan penugasan bagi melancarkan aliran trafik semasa pergerakan orang ramai antara negeri.

“Selain itu, untuk menjimatkan masa pemeriksaan jika ditahan di sekatan jalan raya. Oleh itu, orang ramai hendaklah mempamerkan kod QR kepada anggota polis yang bertugas.

“Anggota polis kemudiannya akan mengimbas kod QR berkenaan untuk mendapatkan pengesahan sama ada pergerakan itu adalah ‘genuine’ (sah) atau tidak,” katanya.

Beliau berkata sekiranya terdapat individu yang melakukan pergerakan antara negeri ini dikesan positif Covid-19, ini akan membantu pihak Kementerian Kesihatan dan PDRM untuk mengenal pasti dan mengesan kontak dalam masa yang singkat.

Katanya, orang ramai yang dapat menjana kod QR dan mendapat kelulusan permohonan secara manual hendaklah melaksanakan pergerakan mengikut tarikh yang telah ditetapkan sahaja.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Al-Ishsal Ishak berkata aplikasi Gerak Malaysia versi 2.5 ini akan membolehkan orang ramai mengisi butiran tempat asal dan destinasi negeri yang mereka tuju.

– BERNAMA