Categories
AGENDA NASIONAL

Akibat dendam, bekas pegawai polis dedah anggota terlibat jenayah terancang

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Seorang bekas pegawai polis ditahan kerana dipercayai menjadi dalang memuat naik senarai nama anggota dan pegawai polis yang didakwa terlibat pelbagai sindiket jenayah terancang.

Suspek lelaki berusia 33 tahun itu ditahan kira-kira 11.30 malam kelmarin, di sebuah rumah di Alor Setar, Kedah selepas terkait dengan penyebaran artikel bertajuk ‘Kumpulan Kartel Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman’ yang tular di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata suspek menerusi artikelnya mendedahkan nama pegawai dan anggota polis JSJ yang dikaitkan dengan penyalahgunaan kuasa, melindungi, bersekongkol selain menerima rasuah daripada pelbagai sindiket jenayah terancang.

Beliau berkata penularan maklumat terlibat telah dibuat secara meluas selain menimbulkan keraguan dan kegusaran masyarakat berikutan dakwaan salah laku tersebut.

“Suspek juga membuat tohmahan bahawa pegawai dan anggota turut terlibat dalam beberapa sindiket jenayah terancang seperti geng Nicky Liow, Addy Kanna, Wan Padang Besar, Pak Su Bukit Kayu Hitam dan Tiger 99,” katanya dalam kenyataan semalam.

Berikutan itu, empat laporan polis dibuat oleh empat pegawai polis yang namanya didedahkan dalam artikel berkenaan.

Huzir berkata pada masa sama, pihaknya membuka empat kertas siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi mengesan, menahan dan mendakwa mana-mana individu terlibat dalam penyebaran isu berbentuk fitnah itu.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek yang juga bekas Inspektor sebelum ini telah dijatuhkan hukuman pengawasan selama dua tahun di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 oleh Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ).

“Suspek ditahan semasa Operasi Mualang yang dilaksana bahagian Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Gangsterisme JSJ Bukit Aman bagi mencegah kegiatan kongsi gelap di sekitar Klang,” katanya.

Selain itu, suspek juga dikesan pernah membuat beberapa tohmahan sebelum ini terhadap pegawai dan anggota polis bahagian tersebut.

Huzir berkata hasil siasatan mendapati tindakan suspek dipercayai kerana marah dan tidak berpuas hati, selain menyimpan dendam terhadap pasukan siasatan D7 yang telah mengambil tindakan kepadanya sehingga diberhentikan kerja.

“Polis dalam masa sama turut merampas komputer riba, telefon bimbit dan beberapa barangan lain yang kemudiannya dihantar ke makmal forensik polis untuk dianalisa.

“Orang awam diminta untuk menghentikan sebarang spekulasi atau andaian tidak berasas, selain tidak menyebarkan isu ini di mana-mana saluran atau media sosial bagi mengelakkan kegusaran awam,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bukit Aman percaya sindiket dalam, luar negara dalang kartel daging

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Polis percaya kegiatan kartel daging import yang menggunakan label halal palsu melibatkan rangkaian luas serta didalangi sindiket dalam dan luar negara, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

Beliau berkata ia berdasarkan jumlah dan nilai rampasan serta sitaan yang terlibat sebelum ini.

“Siasatan berhubung kegiatan itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam.

“Selain itu, siasatan merangkumi pihak terlibat dalam pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan, penyeludupan, pihak yang memanipulasi, bersubahat dan membawa masuk daging beku melalui Permit Import (AP),” katanya dalam kenyataan.

Datuk Huzir Mohamed ketika sidang media harian Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman pada 30 Oktober 2019. Foto BERNAMA

Huzir berkata setakat ini polis menerima 13 laporan daripada orang awam di seluruh negara yang gusar dengan kemunculan isu berkenaan.

Isu kartel daging import mula mendapat perhatian ramai selepas media baru-baru ini melaporkan taktik kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan menggunakan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.

“PDRM memandang serius dan komited untuk menanganinya dengan jaringan kerjasama agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin serta Pemeriksaan Malaysia dan Jabatan Kastam,” kata Huzir.

Beliau berkata tindakan ke atas sindiket ini adalah wajar kerana ia mencetuskan kegusaran rakyat Malaysia serta menyentuh sensitiviti agama Islam.

“Sindiket ini juga mencetuskan ketidakpuasan hati dan mengancam ketenteraman dalam negara akibat perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab, menjejaskan imej negara sebagai hub halal dan memberi kesan besar kepada sektor ekonomi negara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Suspek ‘cuci duit’ turut terlibat sindiket judi, tipu pelaburan Forex

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Polis mendedahkan dua suspek utama dalam kes pengubahan wang haram turut dipercayai terlibat dalam sindiket pusat panggilan judi antarabangsa dan kes penipuan pelaburan tukaran mata wang asing (Forex) di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed juga menegaskan pihaknya tidak akan melepaskan kedua-dua suspek, termasuk yang melarikan diri dengan memanjat pagar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dengan sewenang-wenangnya.

“Kami ingin menjelaskan pihak JSJ telah mengambil tindakan terhadap sindiket ini di Malaysia pada tahun lepas dan telah menuduh mereka di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 melibatkan seramai 2,069 individu,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Selain itu, Huzir berkata seorang daripada suspek didapati mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Akta Ordinan Darurat 1969 dan jenayah samun kira-kira sembilan tahun lepas.

Katanya buat masa ini siasatan dijalankan bersama-sama dengan beberapa jabatan lain polis termasuk Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.

Huzir turut menafikan kes itu ada campur tangan ahli politik.

Dalam pada itu, Huzir berkata pihaknya menahan 138 individu dalam 12 serbuan di sekitar Lembah Klang sejak empat hari lepas kerana disyaki terlibat kegiatan pusat panggilan perjudian susulan pembongkaran sindiket yang didalangi individu terbabit.

“Selain itu, seramai 243 individu dikenakan POCA kerana terlibat dengan pusat panggilan tempatan dan antarabangsa sejak Januari hingga Oktober ini,” katanya.

Mengenai tiga suspek yang ditahan di bawah POCA berkaitan kes judi dalam talian baru-baru ini, Huzir berkata kesemua mereka direman selama 21 hari untuk membantu siasatan.

“Selepas habis tempoh 21 hari, kami akan memohon sambungan reman selama 38 hari mengikut Seksyen 4(2)(a) POCA pula,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu ditahan SPRM dipercayai ejen sindiket penipuan China

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Dua individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram baru-baru ini dipercayai merupakan koordinator atau ejen kepada sindiket penipuan dari China yang menyasarkan mangsa dari negara itu.

Menurut siasatan polis, kedua-dua lelaki itu, termasuk yang melarikan diri dengan memanjat pagar SPRM pada 11 Oktober lepas, berperanan sebagai penyelaras yang menyediakan kemudahan kediaman serta pusat panggilan dilengkapi peralatan komputer dan telekomunikasi kepada warga China yang diupah oleh sindiket untuk memperdaya rakyat senegara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed turut menafikan dakwaan seorang daripada suspek yang ditahan itu akan dibebaskan.

Lelaki itu kini ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) bersama dua lagi individu dan usaha mengesan suspek yang melarikan diri juga giat dijalankan, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Huzir menjelaskan perkara itu ketika ditanya mengenai rakaman perbualan telefon yang tular sejak minggu lepas, kononnya suspek bergelar “Datuk” akan dilepaskan dengan mudah disebabkan mempunyai hubungan dengan pemimpin politik.

Mendedahkan modus operandi sidiket terbabit, beliau berkata pusat panggilan yang beroperasi dari unit kediaman mewah dan pejabat itu menjalankan aktiviti penipuan Macau Scam, judi dalam talian dan pembelian barang dengan menyasarkan warga China di negara berkenaan.

Pada 11 Oktober lalu, media melaporkan seorang suspek utama sindiket ‘cuci duit’ atau pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan perniagaan melibatkan selebriti tanah air, meloloskan diri daripada ditahan polis dengan memanjat pagar SPRM menerusi bantuan dua pengawal peribadinya.

Huzir berkata tiga suspek yang ditahan sebelum ini selepas dibebaskan SPRM bagi membantu siasatan kes perjudian Macau Scam, kini ditahan menurut Seksyen 4(1)(a) POCA 1959 selama 21 hari hingga 3 November ini.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan kerana disyaki terbabit dalam penganjuran judi dalam talian di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur,

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Al Jazeera: Polis panggil pihak berkuasa berkaitan

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Polis akan memanggil beberapa pihak berkuasa berkaitan untuk merakam percakapan berhubung penyiaran sebuah dokumentari mengenai cara Malaysia menangani pendatang tanpa izin ketika penularan wabak Covid-19.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata kesemua pihak terlibat yang dipanggil itu adalah untuk membuat pengesahan daripada segi kelulusan dan kebenaran berhubung penyiaran dokumentari berkenaan.

Beliau berkata antaranya ingin mendapatkan penjelasan daripada pihak berkuasa sekiranya dokumentari yang disiarkan Al Jazeera itu ada melanggar hak asasi ke atas pendatang tanpa izin atau sebaliknya.

“Kesemua pihak berkuasa berkaitan akan dipanggil dalam tempoh terdekat ini.

“Selain itu, di sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kami ingin tahu objektif dan pengoperasian pihak berkuasa terlibat dalam mengawal penularan Covid-19 terhadap pendatang tanpa izin,” katanya kepada Bernama hari ini.

Huzir berkata polis perlu mendapatkan segala rakaman percakapan dan dokumen berkaitan daripada pihak terlibat.

“Kami hendak melihat sekiranya dakwaan yang dinyatakan pihak Al Jazeera di sepanjang tempoh PKP, PKPD dan PKPB ini adakah benar atau sebaliknya,” katanya.

Selain itu, Huzir berkata pihaknya telah selesai merakam keterangan enam kakitangan Al Jazeera bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengendali laman sosial promosi bawa masuk pendatang diburu

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang giat memburu pengendali akaun yang mempromosi perkhidmatan membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini dalam laman sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata siasatan awal mendapati, salah seorang pengendali akaun itu telah ditahan dalam Op Covid-19 Benteng, pada 4 hingga 7 Jun lepas.

“Polis masih lagi mengesan individu lain dipercayai pengendali laman sosial yang mempromosi perkhidmatan membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Huzir berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini yang mendakwa terdapat sindiket mempromosi perkhidmatan membawa pendatang tanpa izin ke negara ini menerusi laman sosial Facebook.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pihaknya turut memantau kegiatan berkenaan dengan melakukan perkongsian maklumat antara agensi.

“Polis dan Imigresen masing-masing telah berkongsi maklumat berhubung isu ini malah kami sentiasa memantau isu yang dibangkitkan dalam laman sosial termasuk aktiviti membawa masuk pendatang tanpa izin,” katanya.

Akhbar tempatan hari ini melaporkan sindiket berkenaan mengenakan bayaran antara RM1,600 hingga RM3,000 untuk membawa masuk seorang pendatang tanpa izin warga Indonesia ke negara ini.

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sejak 1 Mei hingga semalam, 977 pendatang tanpa izin dan 161 tekong ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram terutama melalui lorong tikus.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan 26,366 individu semasa perintah kawalan

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Seramai 26,366 individu ditahan atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Beliau berkata daripada jumlah itu, polis telah mendakwa 20,720 individu iaitu 78.6 peratus.

“Dalam tempoh PKP dan PKPB ini juga, iaitu sepanjang 18 Mac hingga 9 Jun tahun ini, seramai 10,875 individu telah dikompaun.

“Kesalahan yang dilakukan sehingga dikenakan kompaun adalah kerana melanggar PKP seperti ziarah Aidilfitri, merentas negeri serta kesalahan-kesalahan lain,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman di sini hari ini.

Huzir berkata polis menasihati orang ramai agar terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) serta arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 31 Ogos.

PKPP mulai dilaksanakan hari ini dengan pelbagai kelonggaran diberikan oleh kerajaan, antaranya kebenaran perjalanan rentas negeri dan hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan serta sektor ekonomi akan kembali beroperasi secara berperingkat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1.4 juta muat turun aplikasi Gerak Malaysia

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Sebanyak 1.4 juta kali aplikasi Gerak Malaysia telah dimuat turun manakala sebanyak 503,276 permohonan pergerakan antara negeri diterima, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 143,516 permohonan telah diluluskan setakat ini manakala balai polis di seluruh negara menerima 13,069 borang manual pergerakan antara negeri sehingga semalam.

“Saya meminta orang ramai agar mengemas kini butir-butir alamat asal dan alamat destinasi pada aplikasi berkenaan pada 4, 5 dan 6 Mei (hari ini) dengan segera.

“Ini merupakan langkah terakhir sebelum pelaksanaan pergerakan antara negeri yang akan bermula pada esok (7 Mei) sehingga 10 Mei ini,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Selain itu, Huzir berkata orang ramai diminta untuk mengemas kini aplikasi Gerak Malaysia ke versi 2.5 untuk pengguna android (Play Store).

Huzir berkata setelah dikemas kini, kod QR akan dijana dan boleh dipaparkan di skrin telefon bimbit masing-masing.

“Kod QR yang dijana ini adalah satu bukti bahawa permohonan pergerakan antara negeri telah diluluskan.

“Sebelum ini, saya telah maklumkan bahawa orang ramai yang hendak melakukan pergerakan antara negeri hanya perlu memohon dan kemas kini maklumat sahaja dan tiada kelulusan akan diberikan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kelulusan melalui kod QR ini terpaksa dilaksanakan kerana statistik awal menunjukkan seramai 503,276 orang telah membuat permohonan.

“Namun, hanya 29.5 peratus daripada jumlah pemohon telah mengemas kini maklumat pergerakan antara negeri iaitu seramai 148,576 orang sahaja,” katanya.

Beliau berkata baki 70.5 peratus iaitu 354,700 orang daripada jumlah pemohon sebelum ini tidak mengemas kini maklumat pergerakan antara negeri.

“Ini mungkin terjadi disebabkan dua faktor iaitu orang ramai berpendapat bahawa mereka hanya perlu memohon dan tiada kelulusan akan diberikan.

“Oleh itu, mereka boleh bergerak sahaja tanpa mengemas kini maklumat pergerakan antara negeri atau kedua, mereka ini mungkin menunggu sehingga saat akhir untuk mengemas kini maklumat pergerakan antara negeri,” katanya.

Huzir berkata penjanaan kod QR adalah penting untuk memastikan tiada individu yang menyalahgunakan kemudahan ini dan mengambil kesempatan untuk melakukan pergerakan antara negeri yang masih tidak dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata ia adalah untuk memastikan orang ramai yang benar-benar terkandas sahaja melakukan pergerakan antara negeri untuk pulang ke kediaman masing-masing dalam tempoh 7 hingga 10 Mei ini.

Huzir berkata penggunaan kod QR ini dilaksana untuk beberapa tujuan seperti membolehkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat perancangan penugasan bagi melancarkan aliran trafik semasa pergerakan orang ramai antara negeri.

“Selain itu, untuk menjimatkan masa pemeriksaan jika ditahan di sekatan jalan raya. Oleh itu, orang ramai hendaklah mempamerkan kod QR kepada anggota polis yang bertugas.

“Anggota polis kemudiannya akan mengimbas kod QR berkenaan untuk mendapatkan pengesahan sama ada pergerakan itu adalah ‘genuine’ (sah) atau tidak,” katanya.

Beliau berkata sekiranya terdapat individu yang melakukan pergerakan antara negeri ini dikesan positif Covid-19, ini akan membantu pihak Kementerian Kesihatan dan PDRM untuk mengenal pasti dan mengesan kontak dalam masa yang singkat.

Katanya, orang ramai yang dapat menjana kod QR dan mendapat kelulusan permohonan secara manual hendaklah melaksanakan pergerakan mengikut tarikh yang telah ditetapkan sahaja.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Al-Ishsal Ishak berkata aplikasi Gerak Malaysia versi 2.5 ini akan membolehkan orang ramai mengisi butiran tempat asal dan destinasi negeri yang mereka tuju.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Nora Anne: Pejabat AG putuskan kes NFA

SEREMBAN, 8 JAN: Pejabat Peguam Negara sebelum ini memutuskan bahawa kes remaja perempuan warga Ireland Nora Anne Quoirin, yang ditemui mati selepas dilaporkan hilang dari vila penginapan keluarganya di resort The Dusun Pantai Hill, Pantai, dekat sini, Ogos tahun lepas, sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed memberitahu media bahawa ia berdasarkan laporan yang telah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara berkaitan kes berkenaan yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“(Laporan) SDR itu telah kita hantar ke Pejabat Peguam Negara di Putrajaya berdasarkan (kepada) statement patologi yang telah kita rakam dan berdasarkan sijil kematian cause of death Nora Anne, yang menyatakan (kematiannya adalah) kerana disebabkan kebocoran pada usus.

“Pihak Peguam Negara telah memutuskan pada ketika itu kes ini telah di NFA. (Pasukan) patologi saya percaya dalam preparation untuk menghantar secara rasmi laporan (lengkap) post mortem,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop.

Pada 17 Disember lepas, ibu bapa Nora Anne, Meabh Jaseprine Quoirin, 45, dan Sebastian Marie Philipe, 47, dilapor sebagai berkata kehilangan anak mereka pada Ogos lepas didakwa mempunyai unsur jenayah.

Mengenai tindakan saman sivil yang diambil keluarga berkenaan ke atas resort itu, Huzir menegaskan bahawa ia perkara melibatkan keluarga terbabit dengan resort berkenaan.

“Saya ingin menegaskan di sini, pihak Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) Bahagian Antarabangsa juga ada berhubung dengan keluarga mangsa dan peguam keluarga di UK (United Kingdom),” katanya.

Nora Anne berusia 15 tahun bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort The Dusun Pantai Hill, Pantai, dekat sini pada 3 Ogos, sehari sebelum remaja itu dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya.

Mayat remaja itu ditemukan pada 13 Ogos tahun lepas, iaitu 10 hari selepas kehilangannya oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat dalam keadaan tidak berpakaian berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, sekitar 2.5 km dari eko-resort itu.

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hina institusi diraja: Khalid dibebas dengan jaminan polis

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM), Khalid Ismath yang ditahan semalam berhubung dakwaan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di laman sosial, akan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, lelaki berusia 29 tahun itu dibebaskan selepas keterangannya diambil pagi ini dan tiada permohonan reman dibuat.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dengan beberapa individu akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Media melaporkan Khalid ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di rumahnya di Klang, Selangor pada 10.30 malam tadi.

Khalid dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan telefon bimbitnya dirampas untuk siasatan.

Sebelum ini, media melaporkan Tunku Azizah telah menyahaktif akaun Twitter rasmi milik baginda dan akaun Twitter baginda diaktifkan semula pagi ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Henti main isu kaum, agama

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Polis sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya tidak memainkan isu yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang terhadap pihak yang cuba bertindak dalam sebarang cara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Beberapa kes membabitkan isu sensitif kini dalam siasatan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan (KK), iaitu mengeluarkan kenyataan khianat awam dengan niat hendak mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.

Siasatan juga membabitkan Seksyen 504 KK iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Huzir berkata, siasatan membabitkan Seksyen 504 KK itu membabitkan kes penceramah bebas Dr Zakir Naik yang sebelum ini dipanggil untuk memberi keterangan dan polis masih menunggu keputusan serta arahan lanjut daripada pejabat peguam negara.

“Kes membabitkan penceramah bebas itu ialah dakwaannya berhubung bangsa India di negara ini tidak menyokong Perdana Menteri dan meminta kaum Cina untuk keluar dari Malaysia.

“Selain itu, siasatan lima individu yang membuat kenyataan menyebabkan keresahan dan kemarahan orang ramai terhadap Zakir turut disiasat dan kes dirujuk kepada pejabat peguam negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagi Seksyen 505(c) KK, dua kes sedang dalam siasatan iaitu membabitkan pemilik akaun Facebook Wan Muhammad Azri Wan Deris yang mempertikaikan kes insiden kemalangan jalan raya yang meragut nyawa Syed Muhammad Danial Syed Shakir pada 10 Ogos lepas dan ahli perniagaan Koon Yew Yin mengeluarkan kenyataan negatif terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Polis sudah merakam percakapan kedua-dua individu ini dan masih menunggu laporan analisis digital ke atas barang kes daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Kes ini turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998…kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat peguam negara untuk mendapatkan nasihat dan arahan lanjut,” katanya.

-BERNAMA