Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

166,000 usahawan mikro Selangor terima bantuan khas prihatin

SHAH ALAM, 23 SEPT: Lebih sejuta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro menerima bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 dengan 166,000 daripadanya usahawan Selangor.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bantuan RM500 fasa pertama disalur Isnin lalu manakala peringkat seterusnya pada November depan yang keseluruhan membabitkan peruntukan RM1 bilion.

Menurutnya, sejumlah RM6.08 bilion disediakan dalam empat siri pembayaran GKP sejak pandemik Covid-19 melanda awal tahun lalu.

“Kerajaan berharap bantuan langsung ini dapat meringankan beban mereka yang terjejas akibat penularan wabak,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam-Bersatu) mengenai jumlah penerima bantuan GKP.

Zafrul berkata usaha membantu peniaga kecil turut digerakkan menerusi bank pembangunan yang setakat ini menyalurkan pembiayaan RM1.8 bilion.

“Kita meminta bank terbabit memudah cara permohonan selain mengutamakan pelaburan dan pinjaman untuk peniaga sedang beralih ke perniagaan digital,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Semakan kelulusan Geran Khas Prihatin mulai esok – LHDN

PUTRAJAYA, 2 JUN: Semakan kelulusan permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) boleh dibuat mulai esok (3 Jun) melalui portal rasmi GKP di https://gkp.hasil.gov.my , kata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

LHDN berkata pihaknya menerima sebanyak 642,976 permohonan dalam tempoh permohonan GKP dibuka mulai 1 Mei sehingga 15 Mei, dan sebanyak 488,857 atau 76 peratus permohonan telah diluluskan.

“Bakinya sebanyak 81,260 (12.6 peratus) permohonan masih dalam proses semakan lanjut agensi dan 72,859 (11.3 peratus) permohonan lagi telah ditolak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut LHDN, pemohon GKP yang diluluskan dijangka menerima bayaran secara pengkreditan terus ke akaun masing-masing mulai 15 Jun.

Bagi permohonan yang masih dalam semakan pula, LHDN berkata keputusan permohonan akan dimaklumkan mulai 8 Jun dan pembayaran akan dibuat secara berperingkat mulai 15 Jun.

LHDN berkata kerajaan bersetuju untuk memberikan peluang kepada pemohon yang gagal dalam permohonan GKP untuk membuat permohonan rayuan mulai 3 Jun hingga 15 Jun melalui portal rasmi GKP bagi memastikan semua pihak yang layak menerima GKP tidak tercicir.

“Setiap permohonan rayuan akan diproses dengan teliti dan keputusan rayuan akan dimaklumkan mulai 22 Jun manakala pembayaran pula dijangka dibuat mulai 29 Jun,” katanya.

-BERNAMA