Categories
SELANGOR

MB Melawat Sabak Bernam Esok Dalam Program Khas Mesra Rakyat

SHAH ALAM, 12 APR : Program Khas Mesra Rakyat (PKMR) Fasa 3 dijadualkan berlangsung esok (Jumaat) di daerah Sabak Bernam.

Siri jelajah Selangor yang diketuai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ini merupakan kesinambungan daripada lawatan sebelum ini di mana beliau akan bertemu dan berdialog dengan rakyat dan  kakitangan kerajaan negeri di samping melihat sendiri corak dan perkembangan setiap daerah.

Program yang dijangka bermula seawal pukul 9 pagi itu juga akan mengambil tempat di beberapa lokasi berasingan.

Bermula di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar, Sabak Bernam, siri jelajah itu akan diteruskan di Masjid Jamek Sultan Hishamudin (Pekan Sabak Bernam) untuk solat Jumaat diikuti oleh Majlis Penerangan Geran Selangorku di Dewan Sungai Air Tawar pada jam 3 petang.

Manakala lokasi berikutnya adalah di Padang Futsal Sungai Air Tawar untuk pertandingan futsal pada jam 5 petang dan diakhiri dengan Majlis Jamuan Rakyat di Mini Stadium Sabak Bernam, Pekan Sabak bermula pukul 9 malam.

Program ini adalah sebagai salah satu medium kerajaan negeri untuk mengadakan perbincangan empat mata bersama pemimpin daerah selain merapatkan hubungan antara pemimpin tertinggi negeri dengan masyarakat setempat.

Oleh itu, penduduk di sekitar Sabak Bernam dan Selangor dijemput hadir memeriahkan acara.

Categories
NASIONAL

Faekah: Khir Toyo, Tak Tahu Tanya, Jangan Bodoh Sombong

SHAH ALAM, 8 April: Tindakan Mantan Menteri Besar Selangor, Khir Toyo menuduh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berbohong berhubung perlaksanaan Geran Selangorku mendapat reaksi Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin.

Berikut adalah petikan penuh kenyataan Faekah.

Tindakan Khir Toyo yang menuduh Tan Sri Khalid berbohong benar-benar tidak melambangkan sifat seorang mantan Menteri Besar. Beliau yang mengulas berkenaan pelaksanaan Geran Selangorku kononnya beliau hairan mengapa geran digunakan untuk projek infrastruktur bukan bantuan kepada peniaga kecil.

Khir Toyo sepatutnya menjadi orang terakhir yang boleh komen pasal Geran Selangorku. Dua sebab saya katakan sedemikian;

Geran Selangorku adalah wang yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat hasil dari kutipan hutang yang gagal beliau kutip semasa pentadbirannya. Hutang Talam yang kesemuanya lebih 400 juta berjaya dikutip kerajaan hari ini melalui pembayaran tunai dan perolehan aset.

Wang itu jugalah yang kita salurkan semula kepada rakyat melalui 17 program utama. Kegagalan Khir yang dengan sengaja tidak mengutip hutang tersebut sepatutnya menjadikan beliau malu untuk menyebut apa-apa yang berkenaan Geran ini, apatah lagi mencela pelaksanaannya.

Sebab kedua ialah kerana Khir gagal menghadirkan diri semasa Dewan bersidang. Malah upacara pembukaan Dewan oleh DYMM Tuanku juga sanggup di kesampingkannya. Khir Toyo tidak ubah umpama orang buta takutkan tongkat. Lebih tepat lagi, bodoh sombong.

Lain kali elok bertanya jika rasa ragu bukan sekonyong-konyong menuduh orang lain menipu.  Sikap Khir yang suka ponteng Dewan, menjadikannya begitu naÔf dengan program-program yang berada dalam ruang lingkup Geran Selangorku.

Sepanjang yang saya lihat hanya separuh hari sahaja Khir datang ke Dewan itupun bagi menutup malu kerana ditempelak Adun Sekinchan beliau memohon cuti sakit tetapi aktif mengeluarkan kenyataan di blog; laman sosialnya.

Meskipun hebat di dalam Blog namun semasa hadir selama separuh hari tersebut, tidak ada satu patah perkataanpun yang dikeluarkannya di dalam Dewan, jauh sekali untuk berbahas ataupun memberi pandangan bernas. Malang sekali rakyat Sungai Panjang bila Adunnya hanya mampu bermonolog di blog.

Untuk pengetahuan Khir, infrastruktur adalah sebahagian dari program Geran Selangorku dan hanya melibatkan 50 juta, selebihnya adalah untuk belia, wanita termasuklah program keusahawanan.

Kalau Khir boleh memaparkan carta geran, ini bermakna Khir boleh mendapat maklumat tepat  tentang Geran. Nampaknya Khir sengaja menulis di blog sekadar untuk mengadu domba dan berniat jahat.

Geran Selangorku mempunyai Jawatan Kuasa Pemandu yang terdiri daripada pegawai kerajaan dan golongan professional termasuk Timbalan Pengarah JKR, Jurutera JKR dan QS JKR. Mengatakan ianya diterajui pegawai MB memang tersimpang sekali. Apatah lagi, Datoí Menteri Besar langsung tidak terlibat di dalam pemilihan projek mahupun pemilihan kontraktor.

Perlaksanaan geran ini pula dikendalikan oleh Pejabat Tanah Dan Daerah dan PBT yang menjalankan proses tender. Tidak ada satupun projek yang dilakukan secara runding terus. Sekali lagi Khir cuba memperlekeh kewibawaan pegawai kerajaan yang cuba menjalankan tugas dengan telus.

Nampaknya Khir sukar mempercayainya dan begitu janggal sekali. Masakan tidak, semasa pentadbirannya ratusan juta projek dilaksanakan secara runding terus dan lebih hebat lagi projek diberikan kepada pemaju dan kontraktor yang sama. Inilah yang dikatakan orang, jika seseorang itu biasa mencuri, maka dia selalu menyangka orang lain juga akan mencuri sepertinya.

Khir juga sanggup berbohong apabila berkata semasa menjadi MB,  tiada projek kerajaan yang tidak melibatkan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan.

Baru 4 tahun tidak menjadi MB, beliau lupa bahawa projek di bawah ICU langsung tiada jawatankuasa. Semua projek dilaksana setelah mendapat unjuran dari Adun melalui Pengarah Pembangunan Negeri untuk disampaikan kepada ICU untuk dipilih dan pengeluaran waran peruntukan. Ianya langsung tidak melibatkan Pegawai Kewangan mahupun Setiausaha Kerajaan Negeri.

Kerajaan Selangor terpaksa menyediakan Geran untuk infra kerana setelah PR mengambil alih negeri, banyak peruntukan untuk infra tidak disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan. Malah tuntutan Jabatan Pengairan dan Saliran ( JPS ) bagi Rancangan Malaysia Ke-10, sejumlah 1 bilion juga tidak diutamakan.

Apabila banjir berlaku semua pemimpin UMNO-BN Selangor bertempik kononnya pegawai kerajaan tidak cekap mengawal banjir. Bagaimana JPS mahu melaksanakan tugas mereka dengan berkesan jika wang peruntukan penyelenggaraan sungai dan tebatan banjir tidak disalurkan.

Butiran Geran Selangorku telah dibentang pada Exco dan semua data diberikan kepada ADUN semasa Dewan. Hanya ADUN yang benar-benar prihatin kepada kebajikan rakyat akan ambil pusing perkara ini. Bagi ADUN yang suka ponteng, pasti tiada maklumat. Barang pasti golongan ini akan malu bertanya tetapi mahu menunjuk pandai. Golongan inilah yang dikatakan sebagai bodoh sombong, umpama si buta bencikan tongkat.

Faekah Husin.
Setiausaha Politik
Menteri Besar Selangor

Categories
SELANGOR

MB: Peruntukan RM67.5 Juta Untuk Pembangunan Belia

SHAH ALAM, 31 MAC : Golongan belia di Selangor disaran agar memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang selaras dengan tuntutan keperluan masa kini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Bajet 2012 menyediakan peruntukan yang besar bagi manfaat golongan belia di negeri ini.

Katanya berdasarkan perangkaan tahun 2011 sebanyak 41.2 peratus atau lebih 2.2 juta daripada 5.4 juta penduduk Selangor terdiri daripada golongan belia.

“Kerajaan negeri menyedari kepentingan belia dalam impak ekonomi dan pembangunan masyarakat di Selangor dan merangka pelbagai program kepada belia untuk bersama-sama membangunkan negeri supaya terus maju dan hasilnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.” jelas beliau

Katanya, menerusi Geran Selangorku, Kerajaan Selangor memperuntukkan RM67.5 juta untuk pembangunan belia yang merangkumi program latihan belia (RM3.5 juta), keusahawanan muda (RM30 juta), pembangunan sukan (RM4 juta), penyediaan infrastruktur sukan (RM30 juta).

Menurut Abdul Khalid Kerajaan negeri mengiktiraf pemegang Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) setaraf dengan kelulusan akademik dan layak memohon berkhidmat di sektor awam, sementara bagi bagi sektor swasta, mereka layak menerima gaji setaraf dengan pemegang sijil dan diploma.

Selain itu katanya, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT) yang sebelum ini dijadikan pilihan terakhir pelajar diiktiraf kerajaan negeri untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, bukan sahaja cemerlang daripada segi teknikal tetapi mempunyai jati diri yang lengkap.

Menurut Abdul Khalid, Kerajaan memperuntukan sebanyak RM33.5 juta untuk pelaksanaan program khas kepada belia untuk menceburi bidang perniagaan menerusi program Usahawan Muda dan melalui latihan yang disediakan secara berperingkat.

“Kerajaan Negeri sedia maklum dengan keperluan belia dalam permulaan melangkah dan mengembangkan karier selepas lulus di peringkat sijil, diploma mahupun ijazah.

“Oleh itu, Program Usahawan Muda ini berinisiatif sebagai platform kepada belia-belia yang ingin memulakan perniagaan mahupun yang ingin melebarkan perniagaan keluarga yang sedia ada,” tambah Abdul Khalid yang juga MP Bandar Tun Razak.

Abdul Khalid berkata demikian ketika merasmikan Majlis Konvokesyen INPENS International College Kali ke 16 yang diadakan di Dewan Auditorium Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Seramai 432 graduan pelbagai bidang kemahiran menerima sijil dan anugerah kecemerlangan akademik dan kokurikulum termasuk 14 graduan Diploma Eksekutif Automotif yang pertama kali diadakan di kolej ini.