MB: Anak muda perlu rebut peluang tingkat kemahiran

SINOPSIS

Menteri Besar , Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengakhiri lawatan kerja sempena Program Khas Mesra Rakyat (PKMR) semalam dengan meluangkan masa menghadiri Malam Kesenian dan Kebudayaan.

Abdul Khalid dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri sedaya upaya menunaikan hasrat rakyat yang telah dizahirkan pada PRU-13 selepas Pakatan Rakyat (PR) diberikan mandat untuk terus mentadbir Selangor. Katanya, program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) diteruskan dengan penambahbaikan termasuk memfokuskan kepada golongan belia dan kawasan luar bandar.

Categories
SELANGOR

MB: RM2 Juta Tingkat Infrastruktur DUN

HULU SELANGOR, 27 APRIL : Cekap menguruskan negeri sejak 2008 membolehkan peruntukkan pembangunan infrastruktur ditingkat kepada RM2 juta untuk setiap DUN di negeri Selangor.

Dengan penambahan peruntukan daripada RM1 juta kepada RM2 juta Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyeru setiap DUN dan Ahli Majlis memastikan pemilihan projek pembangunan yang bakal dibangunkan menerusi dana Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) itu dipilih dengan bijak.

Peruntukkan pembangunan infratruktur dibawah  ini adalah bertujuan menambah baik jalan raya yang dikenal pastti bermasalah di setiap DUN.

“Ini adalah untuk memastikan semua masalah jalan dan aduan rakyat sebelum ini dapat diselesaikan.

“Kita juga tidak mahu lagi ada rungutan rakyat yang mengatakan jalan dikawasan mereka rosak dan berlubang,”ujarnya ketika berucap di dalam Program Khas Mesra Rakyat (PKMR) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata, kebajikan seluruh rakyat Selangor dari segenap lapisan akan terus ditambah baik dari masa ke semasa menerusi peruntukkan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dan Geran Selangorku.

“Terkini, rakyat khususnya golongan belia di Selangor bakal menerima gelangang sukan serbaguna.

“Exco Belia, Dr Yunus Khairi akan turun menemui ketua kampung untuk mencari lokasi terbaik bagi projek pembinaan gelanggang sukan yang lengkap dengan kemudahan di setiap DUN,”jelasnya.

Pada majlis yang sama, Abdul Khalid sempat menyerahkan sumbangan kepada 31 pelajar cemerlang SPM di DUN Kuala Kubu Bharu.

Pelajar dengan kelulusan 7A dan 8A dalam SPM tahun lalu menerima RM150 setiap seorang manakala 9A dan ke atas menerima RM250 setiap seorang.

Kebajikan terhadap warga emas juga tidak ketinggalan apabila 36 orang menerima bantuan Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

Dalam pada itu, Abdul Khalid juga merasmikan kejohanan Futsal empat penjuru sempena lawatannya di DUN Kuala Kubu Bharu hari ini.

Categories
SELANGOR

Rakyat Terharu, Masalah Diaju Terus Kepada Menteri Besar

HULU SELANGOR, 27 APR: Terharu, gembira dan ada juga yang sampai beralih sokongan politik mereka.

Begitulah reaksi orang awam yang sempat menemui Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dan barisan exco Kerajaan Selangor hari ini pada Program Khas Mesra Rakyat (PKMR) di sini.

Rata-rata mereka yang ditemui berpuas hati apabila masalah yang dihadapi mereka dapat diajukan terus kepada pegawai paling tertinggi di Selangor dan usaha ini bukti kesungguhan kerajaan negeri ini untuk membantu rakyat.

Mereka ini seperti Rokiah Ahmad, 59, dari Kampung Seri Geriang yang datang ke di sini untuk mengadu tentang masalah sistem perparitan di rumahnya.

“Selama mak cik hidup 59 tahun ni, hari ini betul-betul melegakan mak cik sampai rasa macam dah tak payah makan ubat darah tinggi sebab inilah ubat paling mujarab sekali.

“Betul, hari ini cukup menggembirakan mak cik sampai susah nak cakap, lebih-lebih lagi (Exco Selangor) YB Rodziah Ismail sendiri nak datang tengok rumah mak cik tengahari nanti.

“Tekanan yang mak cik hadapi selama ini dah dapat diluahkan hari ini. Kerajaan seperti inilah yang kita mahukan, berusaha sungguh-sungguh untuk membantu rakyat.

“Dahulu mak cik juga orang ‘sebelah sana’ tapi sekarang dah tua-tua ni lebih suka tengok warna lembut biru muda dari warna biru tua atau merah yang nampak garang,” ujar ibu tunggal itu lagi sambil menyeka air matanya.

Bermula dari jam 9 pagi hingga ke 12.30 tengah hari orang awam tidak putus putus datang ke sebuah meja di dalam Dewan Serbaguna Sekolah Sungai Selisek yang diduduki Abdul Khalid dan pegawai Kerajaan Selangor.

Dianggarkan seramai 500 penduduk setempat telah hadir ke program tersebut dan kira-kira lebih 100 masalah penduduk dibawa ke pengetahuan Kerajaan Negeri.

Ketua Kampung Desa Maju Sungai Tengi, Selamat Rakio, 65, memberitahu, program yang berkonsepkan pejabat turun kepada rakyat ini harus diteruskan pada masa hadapan.

“Perasaan saya bercampur-campur, terharu, gembira sebab program seperti ini kita orang di bawah ini dapat cakap sendiri masalah dengan MB.

“Ini amatlah baik sebab rakyat tak payah pergi ke pejabat-pejabat kerajaan tetapi MB, exco-exco dan agensi kerajaan sendiri yang turun jumpa rakyat.

“Dahulu memang tak ada. Nak jumpa MB atau exco cukup susah, nak buat temujanji dahulu, tetapi itu pun belum ada jaminan dapat jumpa,” kata Selamat.

Rakio turut memberitahu, Abdul Khalid memberikan jaminan untuk mencari peruntukan bagi membina masjid di Kampung Desa Maju.

“Tanah dah ada sebab kerajaan negeri dah luluskan tanah, tetapi pembinaannya tertangguh sebab bila pihak lain yang berjanji nak beri peruntukan tak jadi nak beri.

“Jadi, syukur sebab kerajaan negeri pun dah cakap tadi akan beri keutamaan  projek buat masjid ini dahulu, dah setuju nak beri peruntukan bina masjid,” katanya.

Selain itu, Kerajaan negeri juga telah memberi jaminan akan menyelesaikan masalah perumahan generasi ke dua felda di dalam kawasan Kampung Desa Maju.

Tarmizi Karim, 57, pula berpendapat masyarakat haruslah mengambil kesempatan yang diberikan oleh kerajaan negeri yang ada sekarang.

“Saya sendiri tadi dah ketengahkan masalah permohonan tanah kepada MB dan nampaknya walau ada beberapa masalah berbangkit tapi MB dah jelaskan polisi kerajaan negeri dan saya puas hati,” beritahu Tarmizi.

Categories
SELANGOR

MB Melawat Sabak Bernam Esok Dalam Program Khas Mesra Rakyat

SHAH ALAM, 12 APR : Program Khas Mesra Rakyat (PKMR) Fasa 3 dijadualkan berlangsung esok (Jumaat) di daerah Sabak Bernam.

Siri jelajah Selangor yang diketuai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ini merupakan kesinambungan daripada lawatan sebelum ini di mana beliau akan bertemu dan berdialog dengan rakyat dan  kakitangan kerajaan negeri di samping melihat sendiri corak dan perkembangan setiap daerah.

Program yang dijangka bermula seawal pukul 9 pagi itu juga akan mengambil tempat di beberapa lokasi berasingan.

Bermula di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar, Sabak Bernam, siri jelajah itu akan diteruskan di Masjid Jamek Sultan Hishamudin (Pekan Sabak Bernam) untuk solat Jumaat diikuti oleh Majlis Penerangan Geran Selangorku di Dewan Sungai Air Tawar pada jam 3 petang.

Manakala lokasi berikutnya adalah di Padang Futsal Sungai Air Tawar untuk pertandingan futsal pada jam 5 petang dan diakhiri dengan Majlis Jamuan Rakyat di Mini Stadium Sabak Bernam, Pekan Sabak bermula pukul 9 malam.

Program ini adalah sebagai salah satu medium kerajaan negeri untuk mengadakan perbincangan empat mata bersama pemimpin daerah selain merapatkan hubungan antara pemimpin tertinggi negeri dengan masyarakat setempat.

Oleh itu, penduduk di sekitar Sabak Bernam dan Selangor dijemput hadir memeriahkan acara.