Categories
NASIONAL

Aliran Wang Haram, Bukti Rasuah Era Najib Berleluasa

Wang Haram Najib 01

PETALING JAYA, 20 DIS: Laporan aliran wang haram oleh Global Financial Integrity(GFI) 2010 yang meletakan Malaysia di tangga ke dua paling teruk membuktikan era pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebani dengan rasuah.

Meskipun diduga, namun jumlah besar wang haram yang dipindahkan keluar dari Malaysia ini diantara tahun 2000 hingga 2010 tetap mengejutkan negara, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di sini.

“Malaysia adalah sebuah negara yang ekonominya bergantung kepada perdagangan antarabangsa. Kegiatan eksport dan import melibatkan aliran wang keluar masuk dan perpindahan dana pelaburan yang saban hari menjadi lebih rumit.

“Oleh itu dapatan kajian GFI ini memberikan gambaran besarnya ketirisan ekonomi dalam negara dipindahkan ke luar negara yang akhirnya merugikan rakyat,” katanya.

Jelas Anwar, kegagalan Najib menguruskan ekonomi negara dibuktikan melalui jumlah aliran keluar wang haram yang meningkat 111 peratus dari angka US$30.41 bilion (bersamaan RM94.27 bilion) pada tahun 2009 kepada US$64.38 (bersamaan RM199.58 bilion) dalam tahun 2010.

Berbanding negara lain, Malaysia adalah satu-satunya negara yang menyaksikan jumlah aliran keluar wang haram meingkat satu kali ganda dalam tempoh 2009 hingga 2010.

Negara lain yang dimaksudkan termasuklah China, Mexico dan Arab Saudi.

“Tempoh 2009 dan 2012 ini adalah tempoh kritikal pentadbiran Najib yang menggambarkan dasar dan pendekatan ekonomi yang beliau laksanakan.

“Justeru peningkatan ini membuktikan bahawa dasar pendekatan ekonomi beliau gagal membenteras rasuah, gagal menyekat aktiviti jenayah yang menjadi dalang ekonomi haram dan gagal memperkuat institusi negara untuk membudayakan tata kelola yang baik,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Anwar akan menulis surat kepada Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar, GFI dan semua Menteri Besar Pakatan Rakyat untuk mejemput mereka menganggotai wacana membenteras aliran keluar wang haram yang dijangka diadakan dalam bulan Januari 2013.

Perbincangan di meja rundingan ini untuk mendalami masalah ini sekaligus memuktamadkan penlan tindakan membenteras aliran keluar wang haram.