Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor diiktiraf sebagai ahli pengasas Go Smart

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 MAC: Selangor diiktiraf sebagai ahli pengasas Global Organization of Smart Cities (GO Smart) Alliance’ yang dibentuk oleh Kerajaan Bandar Taipei di Taipei SmartCity Summit & Expo 2018, baru-baru ini.

GO Smart adalah rangkaian antarabangsa yang merangkumi kerajaan tempatan dan syarikat swasta yang akan bekerjasama untuk membangunkan Smart City menerusi kolaborasi, perkongsian kepakaran dan pembangunan projek inovatif.

Taipei SmartCity Summit & Expo 2018 yang berlangsung daripada 27 hingga 30 Mac ini disertai lebih daripada 120 bandar dan 33 negara bertujuan mempamerkan kaedah-kaedah pembangunan ‘Smart City’ terbaik dunia.

Menyifatkan pengiktirafan diberikan kepada Selangor itu, Timbalan Pengarah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah berkata, ia menunjukkan ‘Smart Cities’ dunia juga mengiktiraf kebolehan Selangor dalam mencipta visi itu, sebelum ini.

Katanya, pengiktirafan terbabit turut menunjukkan Selangor mampu membangunkan negeri pintar atau ‘Smart State’ dengan kepakaran negeri itu sendiri.

“Pengiktirafan ini jelas menunjukkan bahawa ‘Smart Cities’ dunia juga mengiktiraf kebolehan Selangor mencipta visi dan membangunkan ‘Smart State’ dengan kepakaran kita sendiri,” katanya kepada SelangorKini.

Pada majlis yang diadakan di Pusat Pameran Nangang, wakil daripada 27 kawasan dan bandar di seluruh dunia dan lima majlis perbandaran negara menandatangani inisiatif bertujuan memudahkan kerjasama antara kerajaan dan industri sekali gus mempromosikan Smart City.

Timbalan Datuk Bandar Taipei, Charles Lin berkata, matlamat inisiatif itu adalah untuk mewujudkan satu organisasi ‘global Smart Cities’, bertajuk Go Smart, tahun depan.

SSDU ditubuhkan pada April 2016, merupakan unit khas diberi mandat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk menggerakkan Smart Selangor dengan lebih efektif.

Terdahulu, Kerajaan Negeri yakin rakyat Selangor bersedia menerima inovasi baru yang bakal dilaksanakan menerusi agenda Smart Selangor.

Dr Fahmi berkata, bidang telekomunikasi jauh berkembang pesat dengan arus informasi dan teknologi tinggi membolehkan negeri itu menuju gagasan Smart State 2025.