Categories
PBT SELANGOR

Mural bersejarah hiasi dinding GM Klang

KLANG, 23 JUL: Seramai 70 mahasiswa Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam berjaya menghasilkan mural memaparkan tempat bersejarah di daerah ini yang menghiasi dinding Blok C GM Klang di sini.

Dekannya, Prof Dr Ruslan Abdul Rahim berkata, projek yang mengambil masa lebih setahun itu bermula sejak Februari tahun lalu adalah kerjasama bersama UiTM, GM Klang dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Katanya, mural sepanjang kira-kira 76.2 meter itu dihasilkan sendiri mahasiswa Jabatan Seni Reka Perindustrian dengan bimbingan lima pensyarah selaku penasihat projek berkenaan.

“Kita turut mengusulkan beberapa cadangan kepada GM Klang sebelum persetujuan dicapai untuk menghasilkan mural berkonsepkan tempat bersejarah di daerah ini dan mereka bersetuju menaja kos sebanyak RM40,000.

“Selain itu, ia juga salah satu pembelajaran luar kelas mahasiswa dengan komuniti dan sebagai persediaan awal untuk mereka memasuki pasaran kerja,” katanya ketika sidang media Majlis Pelancaran ‘Heritage X-Plore’ GM Klang di sini, hari ini.

Perasmian lukisan mural diberi nama Heritage X-Plore itu dirasmikan Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin dan turut dihadiri Pengarah Urusan GM Klang, Datuk Lim Seng Kok.

Sementara itu, Lim berkata, projek terbabit sebahagian daripada projek tanggungjawab sosial korporat bersempena sambutan ulang tahun ke-10 GM Klang.

Katanya, pihaknya sudah lama berminat untuk memiliki lukisan mural di GM Klang kerana seni artistik itu sangat bernilai dan mampu menarik perhatian orang ramai untuk mengambil foto.

“Laluan di Blok C antara lokasi strategik untuk melakarkan seni mural disebabkan ia adalah laluan pengunjung terutama yang datang dari luar Klang menaiki bas sekali gus dapat melihat lukisan memaparkan tempat menarik di Klang.

“Terima kasih diucapkan dan kami berharap akan ada lagi pihak yang berminat untuk menjalin kerjasama dalam menghasilkan bakat kreatif mereka di GM Klang pada masa akan datang,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Utamakan aspek keselamatan, elak kejadian tak diingini

 

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

KLANG, 31 MEI: Sempena menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri, Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) optimis mengutamakan beberapa aspek keselamatan kepada pengguna jalan raya bagi menangani kejadian tidak diingini berlaku.

Pengerusi MKJR Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor berkata, pihaknya memfokuskan empat teras utama dalam mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya yang membabitkan semua kenderaan.

Antaranya ialah pengguna dinasihatkan untuk memeriksa tekanan tayar jika mempunyai tanda haus atau kerosakan yang luar biasa.

Katanya, mereka juga perlu mendapatkan khidmat pakar untuk memasang dan mengimbang tayar atau mengikut buku panduan kenderaan bagi memastikan stereng dan suspensi sentiasa dalam keadaan baik.

“Berdasarkan laporan dikeluarkan pihak Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), tiga negeri yang dikenal pasti mencatatkan kemalangan maut tertinggi adalah Selangor, Johor dan Perak.

“Jadi, kami harap semua dapat pulang dengan selamat dan langkah keselamatan dapat dipertingkatkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan di GM Klang Wholesale City, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Pengiklanan dan Promosi GM Klang Wholesale City; Norsuhaida Othman, Ahli Mesyuarat Tetap MKJR Selangor; Hashim Anang.

Pada masa sama, Zainal berkata, pengguna perlu mengatur jadual perjalanan agar tidak pulang ke kampung dalam keadaan tertekan dan terburu-buru bagi mengelakkan ‘microsleep’.

“Semoga tips ini dapat membantu kita bagi memastikan tahap kesediaan kenderaan berada dalam keadaan yang optimum,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 347 kes kemalangan maut dilaporkan di Kajang manakala 270 di Klang Selatan dan 260 di Kuala Selangor bagi tempoh 2015 sehingga 2017.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Photo Wall’ dan 3DX identiti baharu bandar Klang

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

KLANG, 15 MEI: Projek Photo Wall dan 3DX kini diangkat sebagai identiti baharu di Selangor yang memaparkan gambar tempat bersejarah, kebudayaan dan gaya hidup di bandar Klang.

Pengarah Urusan Pusat Pemborong GM Klang, Dato’ Lim Seng Kok berkata, penambahan koleksi galeri gambar serta studio 3D di pusat pemborong itu berkisarkan dua destinasi menarik di Klang iaitu Pandamaran dan Pulau Ketam.

“Ini adalah usaha kami memperkenalkan Bandar Diraja Klang kepada pelancong kerana kita menerima kunjungan yang menggalakkan daripada pelancong Sumatera, Thailand, Brunei, Sabah, Sarawak dan Singapura.

“Saya yakin GM Klang mampu mengangkat bandar Klang sebagai salah satu destinasi perlancongan terkenal di Malaysia dan warisan di bandar ini akan sentiasa terpelihara dan dihargai oleh generasi akan datang.” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Projek Tambahan Kempen GM Love Klang dan Majlis Berbuka Puasa di Function Room, Tingkat Enam Blok B Pusat Pemborong GM Klang, semalam.

Majlis disempurnakan Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago dan Ahli Dewan Negeri Pandamaran Leong Tuck Chee.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia; Syed Yahya Syed Othman, Pengarah Tourism Malaysia (Wilayah Tengah); Mohd Akbal Setia dan Pengurus Besar Tourism Selangor; Noorul Ashikin Mohd Din, dan Pengarah Jabatan Majlis Perbandaran Klang.

Seng Kok berkata, perkembangan GM Klang sejak 10 tahun lalu berjaya melonjakkan ekonomi setempat khususnya di Klang serta membantu lebih ramai usahawan kecil untuk berjaya.

“Ini kerana pihak kami sentiasa mendapat sokongan daripada Majlis Perbandaran Klang dan setiap penceritaan yang terdapat di gambar dalam setiap galeri ini mendapat pengesahan daripada mereka.

“Justeru, GM Klang merangka pelbagai aktiviti menarik sepanjang tahun ini untuk meraikan komuniti dan para pengunjung pada masa akan datang,” katanya.

Categories
SELANGOR

GM Klang lancar lagu tema, tingkat imej pelancongan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 10 OGOS: Pelancaran GM Love Klang dan Lagu Tema GM Klang bakal memberi imej baru terhadap pusat pemborong nombor satu, di Malaysia itu.

Pengarah Urusannya, Dato’ Lim Seng Kok berkata, idea terbaharu itu adalah inisiatif memartabatkan Klang dalam pelancongan Malaysia, susulan lantikan sebagai Duta Pelancongan Bandar Klang daripada Majlis Perbandaran Klang.

Katanya, kempen itu bermula dengan projek ‘Photo Wall’, iaitu pengurusan GM menghias dinding di bahagian lobi kompleks dengan gambar yang memperkenalkan tempat menarik dan bersejarah, kebudayaan serta gaya hidup, di Klang.

“Ia bukan sahaja publisiti buat GM dan Bandar Klang tetapi sebagai sumber menyalurkan informasi kepada pengunjung dan pelancongan memandangkan purata pengunjung ke GM Klang kira-kira 20,000 setiap hari.

“Terdapat pelbagai lagi projek yang akan dijalankan selepas ini di bawah kempen sama untuk menarik lebih ramai pelancong ke GM Klang dan Bandar Klang,” katanya.

Seng Kok berkata, inisiatif terbabit turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Tourism Malaysia, Tourism Selangor dan MPK untuk terus meningkatkan pelancong ke Bandar Klang dalam industri pelancongan.

“Lagu tema yang dilancarkan itu juga sebagai satu lagi tarikan untuk menaikkan populariti pusat pemborong GM Klang dan menarik lebih ramai lagi kunjungan ke Klang,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

GM Klang diiktiraf MBR pusat pemborong terbesar

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 16 MAC: Pusat Pemborong GM Klang diiktiraf sebagai pusat pemborong terbesar di Malaysia oleh Malaysia Book of Record (MBR).

Anugerah disampaikan wakil MBR dengan disaksikan Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna, Teknologi Hijau dan Alam, Elizabeth Wong dan Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin.

Majlis penyampaian anugerah berlangsung seiring dengan Majlis Anugerah MPK Care anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Pusat Konvensyen Shah Alam, semalam.

Pengarah Urusan GM Klang, Datuk Lim Seng Kok berkata, dengan pengiktirafan sebagai batu loncatan kepada pihaknya untuk terus usaha melangkah menjadikan GM Klang sebagai pusat pemborong sehenti di Asia tenggara.

“Kami berbesar hati di atas pengiktirafan ini malah kami berterima kasih kepada MPK kerana sentiasa memberi sokongan penuh.

“Dengan wujudnya Stesen LRT 3 dalam masa tiga tahun akan datang, kami mensasarkan lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara sekali gus menjadikan GM Klang sebagai pusat perhentian serantau,” katanya ketika ditemui semalam.

Selain itu, Seng Kok berkata, pencapaian itu bukan sahaja memberi reputasi baik kepada pusat pemborong itu malah dalam masa sama mengharumkan Bandar Diraja itu.

Mengulas lanjut Seng Kok berkata, setakat ini GM Klang mempunyai 2,500 unit kedai di tiga blok dan daripada jumlah tersebut 1,800 telah dipenuhi kira-kira 700 peniaga.

“GM Klang bermula dengan hanya satu blok setingkat pada 2009 menempatkan kira-kira 300 unit kedai sahaja, membuka blok kedua pada November 2012.

“Penerimaan yang baik daripada pengunjung ini telah membantu kami membina blok ketiga dengan 12 tingkat termasuk lima tingkat untuk kawasan letak kereta,” katanya.

Kuala Selangor lokasi pertama arak Piala Malaysia, 18 Dis ini


Selangor arak Piala Malaysia 18 hingga 20 Disember ini bermula di Stadium Kuala Selangor, GM Klang, Stadium Mini Bandar Baru Salak Tinggi Sepang dan Stadium Majlis Perbandaran Selayang.