Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Gmie Screen terharu terima bantuan, bergantung hidup duit simpanan

KUALA LANGAT, 15 OKT: Vokalis kumpulan Screen, Gmie berterima kasih kepada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI atas kesudian menghulurkan bantuan.

Gmie atau nama sebenarnya Hajimi Ibrahim, 52, yang menghidap penyakit nefrotik sindrom sejak tahun lalu menyifatkan bantuan diterima itu mengeratkan hubungan satu sama lain.

Hajmi Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Gmie

“Alhamdulillah, keprihatinan dalam membantu semakin tinggi dan saya bersyukur ada sudi tampil. Ramai hadir membantu termasuk badan bukan kerajaan (NGO) setelah tahu saya sakit.

“Kini karier nyanyian terhenti dan bergantung kepada wang simpanan sepanjang saya bekerja lebih 30 tahun serta anak-anak,” kata bapa kepada lima cahaya mata ini.

Terdahulu MBI diketuai Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Ahmad Azri Zainal Nor tampil menghulurkan bantuan kewangan berjumlah RM1,000 dan bakul makanan kepada Gmie di kediamannya di Sijangkang di sini..

Menceritakan lanjut, Gmie yang pernah menyertai rancangan Gegar Vaganza berkata beliau hanya mengetahui menghidap penyakit itu ketika berasa lemah pada kaki.

“Ketika itu, kaki lemah dan tidak boleh bergerak, apabila bergerak dan hendak naik tangga susah serta berat.

“Saya pergi ke hospital dan terus ditahan di wad. Ini adalah ujian diberikan Allah dan saya reda serta menerima seadanya selain sedang mendapatkan pelbagai rawatan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

MBI hulur wang tunai, makanan kepada bekas vokalis kumpulan Screen

KUALA LANGAT, 15 OKT: Nasib vokalis kumpulan Screen, Gmie yang kini menghidap sindrom nefrotik mendapat perhatian Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

MBI dalam lawatan ke kediaman Gmie atau nama sebenarnya Hajimi Ibrahim, 52 di Sijangkang di sini, menghulurkan bantuan kewangan berjumlah RM1,000 dan bakul makanan.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berkata pihaknya mengetahui keadaan menimpa Gmie ketika memberikan bantuan kepada vokalis kumpulan rock terkenal XPDC, Ali September lalu.

“Gmie menghidap penyakit ini sejak tahun lalu dan Alhamdulillah kita dapat membantu seorang lagi artis dalam meringankan beban mereka sekeluarga.

“Ini merupakan artis keenam kita bantu menggunakan peruntukan di bawah kategori musibah,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Ahmad Azri memaklumkan MBI bakal bekerjasama dengan Tourism Selangor dalam program melibatkan bantuan kepada artis.

“Buat masa ini kita menunggu kertas kerja daripada mereka dan bantuan yang bakal diberikan menggunakan peruntukan seni dan budaya.

“Sebelum ini, bantuan seni dan budaya ini dimulakan dengan program buskers di beberapa kompleks membeli-belah,”katanya.