Categories
AGENDA NASIONAL

MBI hulur wang tunai, makanan kepada bekas vokalis kumpulan Screen

KUALA LANGAT, 15 OKT: Nasib vokalis kumpulan Screen, Gmie yang kini menghidap sindrom nefrotik mendapat perhatian Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

MBI dalam lawatan ke kediaman Gmie atau nama sebenarnya Hajimi Ibrahim, 52 di Sijangkang di sini, menghulurkan bantuan kewangan berjumlah RM1,000 dan bakul makanan.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berkata pihaknya mengetahui keadaan menimpa Gmie ketika memberikan bantuan kepada vokalis kumpulan rock terkenal XPDC, Ali September lalu.

“Gmie menghidap penyakit ini sejak tahun lalu dan Alhamdulillah kita dapat membantu seorang lagi artis dalam meringankan beban mereka sekeluarga.

“Ini merupakan artis keenam kita bantu menggunakan peruntukan di bawah kategori musibah,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Ahmad Azri memaklumkan MBI bakal bekerjasama dengan Tourism Selangor dalam program melibatkan bantuan kepada artis.

“Buat masa ini kita menunggu kertas kerja daripada mereka dan bantuan yang bakal diberikan menggunakan peruntukan seni dan budaya.

“Sebelum ini, bantuan seni dan budaya ini dimulakan dengan program buskers di beberapa kompleks membeli-belah,”katanya.