Categories
SELANGOR

Tubuh Jabatan Khas Pantau Industri Air

SUBANG JAYA,3 JULAI : Kerajaan Negeri digesa menubuhkan sebuah jabatan khas bagi memantau industri air Selangor bagi memastikan pengurusan air lebih cekap dan efektif.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata jabatan khas itu juga boleh memberi kesedaran awam tentang penggunaan air yang menjimatkan.

“Jabatan ini juga boleh menasihati syarikat-syarikat perumahan dalam usaha menggunakan air hujan sebagai salah satu sumber air,” katanya.

Tambah beliau, jabatan ini juga boleh memantau masalah pencemaran sungai yang menjadi sumber kepada air mentah kepada loji-loji rawatan.

Beliau berkata demikian dalam Dialog Bajet Selangor 2013 : ?Penyusunan Semula Industri Air Selangor, Kaedah Penyelesaian? di sini hari ini.

Charles juga menyarankan agar audit diadakan terhadap syarikat-syarikat pengurusan air di Selangor bagi mengkaji sistem tender mereka yang dikhuatiri tidak menepati prosedur dan syarat.

“Dalam pengurusan air ini perlunya juga kerajaan melaksana ‘Good Governance’ dan apabila perjanjian ditandatangani ia perlu bersifat telus dan diketahui secara umum,” katanya.

Sesi dialog tersebut dipengerusikan Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar.

Dialog tersebut dihadiri kira-kira 250 orang terdiri daripada Exco Selangor, Ahli Parlimen, ADUN, agensi kerajaan negeri, ahli majlis dan orang awam.