Categories
AGENDA SUKANKINI

Hafizh Syahrin raih tempat keenam Moto2 GP Sepanyol

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah berjaya meraih tempat keenam daripada 23 pelumba pada Kejuaraan Motosikal Grand Prix Sepanyol di Litar Jerez selepas mempamerkan tunggangan mantap pada perlumbaan hari ini.

Pelumba pasukan Inde Aspar Team Moto2 itu yang memulakan perlumbaan di petak ke-15, melakar catatan masa 39 minit 38.875 saat pada perlumbaan yang melibatkan 23 pusingan itu.

Pelumba Itali, Luca Marini dari pasukan Sky Racing Team VR46 meraih kemenangan sulung musim ini setelah merakam masa 39 minit 23.297 saat, disusuli dua pelumba pasukan Red Bull KTM Ajo, Tetsuta Nagashima dan Jorge Martin dari Sepanyol yang masing-masing ketinggalan 1.271 saat dan 4.838 saat di belakang Marini.

“Perlumbaan kali ini agak panas dan sukar bagi kesemua pelumba, apapun saya dah buat yang terbaik.

“Saya dah hilang ‘penghayatan’ macam ini dah lama, jadi saya amat bersyukur dapat tempat keenam. Apapun, terima kasih kepada pasukan yang terus membantu saya dan saya akan buat yang terbaik untuk perlumbaan selepas ini,” kata Hafizh Syahrin menerusi rakaman video pendek selepas perlumbaan itu.

Hafizh Syahrin akan meneruskan saingan Moto2 pada perlumbaan seterusnya pada GP Andalusia yang dijadualkan berlangsung di litar yang sama, hujung minggu depan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hafiz Syahrin harap bangun semula dari kecewa

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Pelumba Moto2 Malaysia dari pasukan Aspar, Hafizh Syahrin Abdullah berharap, untuk bangun semula dan menebus kekecewaannya dengan menyasarkan mencatatkan keputusan cemerlang di GP Sepanyol pada 17-19 Julai.

Hafizh Syahrin yang kembali ke Moto2 musim ini selepas melalui dua tahun yang mengecewakan dalam kelas Premier, menyasarkan untuk menduduki lima terbaik dalam perlumbaan di Sirkit Jerez.

Bekas pelumba Monster Yamaha Tech 3 dan Red Bull KTM Tech 3 berusia 26 tahun itu berkata, beliau telah belajar banyak daripada perlumbaan terakhir di Qatar di mana beliau menduduki tempat ke-19.

“Kalau boleh memang nak dapat kedudukan lima terbaik atau sekurang-kurangnya meraih mata. Ia lebih baik daripada tanpa sebarang mata, sebab saya gagal kutip mata di perlumbaan pertama.

“Banyak perkara saya telah belajar dari perlumbaan di Qatar dan saya akan cuba ingat mana yang boleh, selain memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya kepada media hari ini.

Hafizh berlepas ke Sepanyol awal pagi tadi, selepas mendapat pelepasan khas dan kebenaran masuk ke negara itu berikutan penetapan Kesatuan Eropah yang hanya membenarkan rakyat daripada 15 negara, untuk memasuki kesatuan tersebut, dan Malaysia tidak tersenarai.

Hafizh berkata, beliau teruja untuk ujian tidak rasmi di ltar Jerez pada 15 Julai, sebagai proses menyesuaikan diri dengan motosikal, selepas tidak beraksi selama empat bulan.

“Saya lebih bersedia dan tidak boleh tunggu lama untuk lompat atas jentera. Saya akan cuba buat yang terbaik demi rakyat Malaysia. Saya harapkan sesi percubaan itu nanti dapat beri saya peluang untuk adaptasi dengan jentera Moto2 secepat mungkin,” katanya.

Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia musim 2020 telah ditangguhkan pada March selepas perlumbaan di Qatar, akibat penularan Covid-19.

– BERNAMA