Categories
AGENDA SUKANKINI

Hafizh Syahrin mahu kembali berlatih secepat mungkin

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah harap dapat kembali berlatih dalam masa terdekat selepas menjalani pembedahan mengeluarkan plat besi pada tangan kanannya baru-baru ini.

Beliau yang beraksi bersama pasukan baharunya NTS RW Racing GP musim ini mengakui teruja untuk memulakan latihan secara ringan seperti disarankan oleh doktor menjelang kempen Kejohanan Grand Prix (GP) Dunia 2021 di Litar Antarabangsa Losail, Qatar pada 28 Mac depan.

“Proses pemulihan ambil masa tiga hingga empat minggu dan doktor menasihati supaya tidak melakukan kerja berat menggunakan tangan, apa-apa pun saya jangkakan boleh mula berlatih secara ringan dalam tempoh dua minggu ini.

“Sasaran saya untuk cepat pulih supaya boleh beraksi di Qatar, saya tidak berani kata saya akan kembali cergas 100 peratus tetapi 90 peratus itu saya yakin,” katanya kepada media tempatan dalam kiriman audio menerusi aplikasi WhatsApp.

Pelumba berusia 26 tahun itu berkata keputusan untuk mengeluarkan plat besi pada tangan kanannya adalah sebagai usaha memperbaiki serta mempertingkat prestasinya di atas litar.

“Keluarkan besi (plat) ini disebabkan gangguan dan rasa tidak selesa yang memperlahankan tindak balas gerakan tangan, jadi terpaksa buang besi itu untuk atasi masalah ini dan masa depan lebih baik,” tambah beliau.

Khamis lepas, media tempatan melaporkan Hafizh menjalani pembedahan membuang plat yang ‘ditanam’ di tangannya sejak enam tahun lepas di sebuah hospital swasta di sini, setelah mengalami kemalangan di GP Valencia pada 2015.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Hafizh Syahrin sah kekal dalam saingan Moto2 musim 2021

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah, sah bakal meneruskan karier permotorannya dalam Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) pada musim hadapan.

Pengurus peribadi Hafizh Syahrin Razmin Masli berkata, mereka telah selesai mengadakan perbincangan dengan sebuah pasukan yang berpangkalan di benua Eropah, dan pelumba berkenaan akan terus beraksi dalam kategori Moto2.

“InsyaAllah, pengumuman akan dibuat dalam sedikit masa lagi. Saya berharap dengan selesainya perbincangan untuk 2021, Hafizh akan lebih bersemangat dan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya untuk melakukan yang terbaik untuk baki tiga pusingan perlumbaan pada musim ini,” kata Razmin kepada wartawan tempatan menerusi rakaman audio hari ini.

Baru-baru ini, Aspar Team Moto2 mengesahkan khidmat pelumba Sepanyol Albert Arenas dari pasukan Aspar Team Moto3, untuk mewakili pasukan berkenaan dalam saingan Moto2 musim hadapan, sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai masa depan Hafizh Syahrin bersama pasukan itu.

Arenas, bakal bergandingan dengan rakan senegaranya, Aron Canet musim depan.

Hafizh Syahrin sebelum ini mengesahkan beliau sudah mengadakan perbincangan awal dengan dua pasukan, bagi memastikan beliau kekal bersaing pada Kejuaraan MotoGP pada musim hadapan.

Pelumba kelahiran Selangor itu kini menduduki tangga ke-20 menerusi kutipan 21 mata selepas 12 pusingan perlumbaan.

Tiga baki perlumbaan MotoGP pada musim ini adalah GP Eropah (6-8 November) dan GP Valencia di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol (13-15 November), serta GP Portugal di Litar Antarabangsa Algarve (20-22 November).

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Cuaca panas melampau jejas jentera Hafizh Syahrin

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Cuaca panas melampau sehingga mencecah 38 darjah Celcius di Litar Jerez, Sepanyol memberi kesan kepada jentera pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah yang gagal menamatkan perlumbaan pada Grand Prix Andalusia semalam.

Pelumba pasukan Openbank Aspar Team Moto2 itu yang memulakan perlumbaan di petak kesembilan, bergelut dengan masalah tayar dan jentera susulan suhu panas sekali gus gagal menamatkan perlumbaan sewaktu memasuki pusingan ke-11.

“Perlumbaan hari ini (semalam) agak sukar untuk kesemua pelumba kerana litar agak panas jika dibandingkan dengan litar lain dalam Kejuaraan MotoGP pada musim ini.

“Apapun, pada perlumbaan ini saya cuba mengejar kelompok 10 pelumba teratas tapi saya ada masalah sama dengan pelumba (pasukan Beta Tools Speed Up) Jorge Navarro dari Sepanyol kerana suhu litar agak panas dan tiba-tiba suhu tayar daripada 75 darjah celcius menjadi 93 darjah celcius, dan suhu jentera naik 10 darjah celcius,” katanya dalam rakaman video pendek selepas perlumbaan itu.

Tiga pelumba Itali menyapu bersih kedudukan pertama sehingga ketiga pada perlumbaan melibatkan 23 pusingan itu.

Enea Bastianini dari Italtrans Racing Team meraih kedudukan podium buat kali kedua selepas saingan GP Qatar pada Mac lalu menerusi catatan masa 39 minit 23.922 saat disusuli dua pelumba pasukan SKY Racing Team VR46 iaitu Luca Marini dan Marco Bezzecchi yang ketinggalan dengan catatan masa 2.153 saat dan 3.243 saat di belakang Bastianini.

Seorang lagi pelumba negara, Kasma Danial Kasmayuddin yang mewakili Onexox TKKR SAG Team turut gagal menamatkan perlumbaan pada pusingan ke-20 akibat masalah jentera.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hafiz Syahrin harap bangun semula dari kecewa

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Pelumba Moto2 Malaysia dari pasukan Aspar, Hafizh Syahrin Abdullah berharap, untuk bangun semula dan menebus kekecewaannya dengan menyasarkan mencatatkan keputusan cemerlang di GP Sepanyol pada 17-19 Julai.

Hafizh Syahrin yang kembali ke Moto2 musim ini selepas melalui dua tahun yang mengecewakan dalam kelas Premier, menyasarkan untuk menduduki lima terbaik dalam perlumbaan di Sirkit Jerez.

Bekas pelumba Monster Yamaha Tech 3 dan Red Bull KTM Tech 3 berusia 26 tahun itu berkata, beliau telah belajar banyak daripada perlumbaan terakhir di Qatar di mana beliau menduduki tempat ke-19.

“Kalau boleh memang nak dapat kedudukan lima terbaik atau sekurang-kurangnya meraih mata. Ia lebih baik daripada tanpa sebarang mata, sebab saya gagal kutip mata di perlumbaan pertama.

“Banyak perkara saya telah belajar dari perlumbaan di Qatar dan saya akan cuba ingat mana yang boleh, selain memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya kepada media hari ini.

Hafizh berlepas ke Sepanyol awal pagi tadi, selepas mendapat pelepasan khas dan kebenaran masuk ke negara itu berikutan penetapan Kesatuan Eropah yang hanya membenarkan rakyat daripada 15 negara, untuk memasuki kesatuan tersebut, dan Malaysia tidak tersenarai.

Hafizh berkata, beliau teruja untuk ujian tidak rasmi di ltar Jerez pada 15 Julai, sebagai proses menyesuaikan diri dengan motosikal, selepas tidak beraksi selama empat bulan.

“Saya lebih bersedia dan tidak boleh tunggu lama untuk lompat atas jentera. Saya akan cuba buat yang terbaik demi rakyat Malaysia. Saya harapkan sesi percubaan itu nanti dapat beri saya peluang untuk adaptasi dengan jentera Moto2 secepat mungkin,” katanya.

Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia musim 2020 telah ditangguhkan pada March selepas perlumbaan di Qatar, akibat penularan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Moto2: Zulfahmi tekad lebih baik di Argentina

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 5 APR: Pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin bertekad mencapai kedudukan lebih baik, pada pusingan kedua di Grand Prix Argentina, hujung minggu ini, bagi mengatasi pencapaian di Qatar, pada Mac lalu.

Penunggang SIC Racing Team berusia 26 tahun itu menamatkan saingan di tangga ke-28 dalam perlumbaan Moto2 di Litar Losail, kini bersiap bersama pasukannya untuk cabaran di Litar Termas de Rio Hondo.

“Selepas menghadapi tentangan sukar di Qatar, saya tidak sabar untuk ke Argentina dan membuat beberapa rancangan dengan pasukan bagi memperbaiki gaya tungangan saya.

“Litar di Argentina hampir sama seperti di Qatar, diharapkan ini akan membantu saya memulakan cabaran dengan betul dan mengatasi kesukaran yang ada,” katanya.

Bekas pelumba Moto3 yang kembali bersaing dalam perlumbaan musim ini berazam meningkatkan pencapaian dengan pasukan membuat persiapan lebih baik, berbanding perlumbaan pusingan pertama.

“Saya berharap dapat meningkatkan persembahan dan menjadi kompetitif kerana ia bukan perlumbaan mudah dan saya perlu bekerja keras untuk melakukan lebih baik tetapi saya akan terus berusaha,” katanya.