Categories
AGENDA SUKANKINI

Hafizh Syahrin mahu kembali berlatih secepat mungkin

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah harap dapat kembali berlatih dalam masa terdekat selepas menjalani pembedahan mengeluarkan plat besi pada tangan kanannya baru-baru ini.

Beliau yang beraksi bersama pasukan baharunya NTS RW Racing GP musim ini mengakui teruja untuk memulakan latihan secara ringan seperti disarankan oleh doktor menjelang kempen Kejohanan Grand Prix (GP) Dunia 2021 di Litar Antarabangsa Losail, Qatar pada 28 Mac depan.

“Proses pemulihan ambil masa tiga hingga empat minggu dan doktor menasihati supaya tidak melakukan kerja berat menggunakan tangan, apa-apa pun saya jangkakan boleh mula berlatih secara ringan dalam tempoh dua minggu ini.

“Sasaran saya untuk cepat pulih supaya boleh beraksi di Qatar, saya tidak berani kata saya akan kembali cergas 100 peratus tetapi 90 peratus itu saya yakin,” katanya kepada media tempatan dalam kiriman audio menerusi aplikasi WhatsApp.

Pelumba berusia 26 tahun itu berkata keputusan untuk mengeluarkan plat besi pada tangan kanannya adalah sebagai usaha memperbaiki serta mempertingkat prestasinya di atas litar.

“Keluarkan besi (plat) ini disebabkan gangguan dan rasa tidak selesa yang memperlahankan tindak balas gerakan tangan, jadi terpaksa buang besi itu untuk atasi masalah ini dan masa depan lebih baik,” tambah beliau.

Khamis lepas, media tempatan melaporkan Hafizh menjalani pembedahan membuang plat yang ‘ditanam’ di tangannya sejak enam tahun lepas di sebuah hospital swasta di sini, setelah mengalami kemalangan di GP Valencia pada 2015.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hafizh Syahrin sertai NTS RW Racing GP untuk musim 2021

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Pelumba Moto2 Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah akan mewakili NTS RM Racing GP dalam Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia 2021.

Pelumba berusia 26 tahun itu yang kembali dalam kelas Moto2 bersama pasukan Angel Nieto tahun ini selepas dua musim beraksi dalam kelas premier (MotoGP) akan menyertai rakan sepasukan baharu, pelumba berumur 16 tahun dari Belgium, Barry Baltus.

“Saya gembira kekal dalam Moto2 dan menyertai NTS RW Racing GP. Saya tahu usaha yang diperlukan untuk membangunkan sebuah jentera baharu tetapi saya percaya dengan projek ini. NTS dan pasukan ini telah banyak membuat penambahbaikan jentera ini dalam masa yang agak singkat, satu demi satu.

Saya berharap dengan pengalaman dan maklum balas saya, kami akan membuat perubahan besar. Saya yakin kami boleh menghasilkan sesuatu yang lebih baik secara bersama. Saya tidak beraksi pada tahap terbaik saya musim ini kerana itu saya sungguh gembira dan amat berterima kasih dengan keyakinan NTS RW Racing GP terhadap saya,” kata Hafizh Syahrin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pasukan itu hari ini.

Sementara itu, Pengurus Pasukan NTS RW Racing GP Jarno Janssen berkata pasukan itu gembira dan bangga kerana berjaya mendapatkan khidmat Hafizh Syahrin yang bukan sahaja berpengalaman tetapi juga seorang pelumba berbakat.

“Kami semakin baik dan kukuh setiap minggu tetapi kami masih lagi dalam memproses membangunkan jentera itu. Input dan maklum balas daripada seorang pelumba seperti Hafizh adalah amat penting dalam proses ini,” katanya.

NTS RW Racing GP akan memulakan musim baharu dengan ujian persendirian pada 26 dan 27 November di Jerez.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Hafizh Syahrin sah kekal dalam saingan Moto2 musim 2021

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah, sah bakal meneruskan karier permotorannya dalam Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) pada musim hadapan.

Pengurus peribadi Hafizh Syahrin Razmin Masli berkata, mereka telah selesai mengadakan perbincangan dengan sebuah pasukan yang berpangkalan di benua Eropah, dan pelumba berkenaan akan terus beraksi dalam kategori Moto2.

“InsyaAllah, pengumuman akan dibuat dalam sedikit masa lagi. Saya berharap dengan selesainya perbincangan untuk 2021, Hafizh akan lebih bersemangat dan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya untuk melakukan yang terbaik untuk baki tiga pusingan perlumbaan pada musim ini,” kata Razmin kepada wartawan tempatan menerusi rakaman audio hari ini.

Baru-baru ini, Aspar Team Moto2 mengesahkan khidmat pelumba Sepanyol Albert Arenas dari pasukan Aspar Team Moto3, untuk mewakili pasukan berkenaan dalam saingan Moto2 musim hadapan, sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai masa depan Hafizh Syahrin bersama pasukan itu.

Arenas, bakal bergandingan dengan rakan senegaranya, Aron Canet musim depan.

Hafizh Syahrin sebelum ini mengesahkan beliau sudah mengadakan perbincangan awal dengan dua pasukan, bagi memastikan beliau kekal bersaing pada Kejuaraan MotoGP pada musim hadapan.

Pelumba kelahiran Selangor itu kini menduduki tangga ke-20 menerusi kutipan 21 mata selepas 12 pusingan perlumbaan.

Tiga baki perlumbaan MotoGP pada musim ini adalah GP Eropah (6-8 November) dan GP Valencia di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol (13-15 November), serta GP Portugal di Litar Antarabangsa Algarve (20-22 November).

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Hafizh Syahrin: Impak kemalangan ngeri masih dirasai

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah masih merasai kesakitan pada kedua-dua belah kakinya selepas terbabit dalam kemalangan mengerikan semasa perlumbaan Grand Prix (GP) Austria di Litar Red Bull Ring pada Ahad.

Bagaimanapun, pelumba pasukan Aspar itu lega apabila pasukan perubatan mengesahkan beliau tidak mengalami kecederaan serius pada bahagian badannya selepas kemalangan itu.

“Saya gembira apabila tiada kecederaan besar di badan saya, tetapi kemalangan itu sangat teruk. Saya masih merasa sakit pada kedua-dua belah kaki terutamanya kaki kiri.

“Pada masa ini, saya menggunakan topang ketiak untuk membantu pergerakan dan saya berdoa agar pulih secepat mungkin, saya juga berharap dapat menyertai perlumbaan hujung minggu ini (GP Styrian),” katanya kepada wartawan Malaysia menerusi aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, prinsipal pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team Datuk Razlan Razali bersyukur kerana pelumba berusia 26 tahun selamat dan berharap beliau cepat sembuh.

Dalam kejadian itu, Hafizh Syahrin yang sedang memecut telah merempuh motosikal pendahulu kelas Moto2, Enea Bastianini yang berada di tengah-tengah trek.

Pelumba Itali berkenaan sebelum itu hilang kawalan di selekoh pertama dan terjatuh, kemudian berjaya berlari ke tepi trek bagi menyelamatkan diri dengan meninggalkan jenteranya di trek itu.

Pada perlumbaan berkenaan, Spaniard Jorge Martin daripada Red Bull KTM Ajo, meraih kemenangan sulung dalam Moto2 selepas mencatat masa 19 minit 24.723 saat dalam 13 pusingan.

Pelumba SKY Racing Team VR46, Luca Marini dan pelumba Jerman Marcel Schrotter daripada Liqui Moly Intact GP masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga dengan 2.195 saat dan 4.782 saat di belakang Jorge.

Perlumbaan seterusnya ialah Styrian GP dijadualkan diadakan di litar sama hujung minggu ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Cuaca panas melampau jejas jentera Hafizh Syahrin

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Cuaca panas melampau sehingga mencecah 38 darjah Celcius di Litar Jerez, Sepanyol memberi kesan kepada jentera pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah yang gagal menamatkan perlumbaan pada Grand Prix Andalusia semalam.

Pelumba pasukan Openbank Aspar Team Moto2 itu yang memulakan perlumbaan di petak kesembilan, bergelut dengan masalah tayar dan jentera susulan suhu panas sekali gus gagal menamatkan perlumbaan sewaktu memasuki pusingan ke-11.

“Perlumbaan hari ini (semalam) agak sukar untuk kesemua pelumba kerana litar agak panas jika dibandingkan dengan litar lain dalam Kejuaraan MotoGP pada musim ini.

“Apapun, pada perlumbaan ini saya cuba mengejar kelompok 10 pelumba teratas tapi saya ada masalah sama dengan pelumba (pasukan Beta Tools Speed Up) Jorge Navarro dari Sepanyol kerana suhu litar agak panas dan tiba-tiba suhu tayar daripada 75 darjah celcius menjadi 93 darjah celcius, dan suhu jentera naik 10 darjah celcius,” katanya dalam rakaman video pendek selepas perlumbaan itu.

Tiga pelumba Itali menyapu bersih kedudukan pertama sehingga ketiga pada perlumbaan melibatkan 23 pusingan itu.

Enea Bastianini dari Italtrans Racing Team meraih kedudukan podium buat kali kedua selepas saingan GP Qatar pada Mac lalu menerusi catatan masa 39 minit 23.922 saat disusuli dua pelumba pasukan SKY Racing Team VR46 iaitu Luca Marini dan Marco Bezzecchi yang ketinggalan dengan catatan masa 2.153 saat dan 3.243 saat di belakang Bastianini.

Seorang lagi pelumba negara, Kasma Danial Kasmayuddin yang mewakili Onexox TKKR SAG Team turut gagal menamatkan perlumbaan pada pusingan ke-20 akibat masalah jentera.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Hafizh Syahrin raih tempat keenam Moto2 GP Sepanyol

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah berjaya meraih tempat keenam daripada 23 pelumba pada Kejuaraan Motosikal Grand Prix Sepanyol di Litar Jerez selepas mempamerkan tunggangan mantap pada perlumbaan hari ini.

Pelumba pasukan Inde Aspar Team Moto2 itu yang memulakan perlumbaan di petak ke-15, melakar catatan masa 39 minit 38.875 saat pada perlumbaan yang melibatkan 23 pusingan itu.

Pelumba Itali, Luca Marini dari pasukan Sky Racing Team VR46 meraih kemenangan sulung musim ini setelah merakam masa 39 minit 23.297 saat, disusuli dua pelumba pasukan Red Bull KTM Ajo, Tetsuta Nagashima dan Jorge Martin dari Sepanyol yang masing-masing ketinggalan 1.271 saat dan 4.838 saat di belakang Marini.

“Perlumbaan kali ini agak panas dan sukar bagi kesemua pelumba, apapun saya dah buat yang terbaik.

“Saya dah hilang ‘penghayatan’ macam ini dah lama, jadi saya amat bersyukur dapat tempat keenam. Apapun, terima kasih kepada pasukan yang terus membantu saya dan saya akan buat yang terbaik untuk perlumbaan selepas ini,” kata Hafizh Syahrin menerusi rakaman video pendek selepas perlumbaan itu.

Hafizh Syahrin akan meneruskan saingan Moto2 pada perlumbaan seterusnya pada GP Andalusia yang dijadualkan berlangsung di litar yang sama, hujung minggu depan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hafiz Syahrin harap bangun semula dari kecewa

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Pelumba Moto2 Malaysia dari pasukan Aspar, Hafizh Syahrin Abdullah berharap, untuk bangun semula dan menebus kekecewaannya dengan menyasarkan mencatatkan keputusan cemerlang di GP Sepanyol pada 17-19 Julai.

Hafizh Syahrin yang kembali ke Moto2 musim ini selepas melalui dua tahun yang mengecewakan dalam kelas Premier, menyasarkan untuk menduduki lima terbaik dalam perlumbaan di Sirkit Jerez.

Bekas pelumba Monster Yamaha Tech 3 dan Red Bull KTM Tech 3 berusia 26 tahun itu berkata, beliau telah belajar banyak daripada perlumbaan terakhir di Qatar di mana beliau menduduki tempat ke-19.

“Kalau boleh memang nak dapat kedudukan lima terbaik atau sekurang-kurangnya meraih mata. Ia lebih baik daripada tanpa sebarang mata, sebab saya gagal kutip mata di perlumbaan pertama.

“Banyak perkara saya telah belajar dari perlumbaan di Qatar dan saya akan cuba ingat mana yang boleh, selain memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya kepada media hari ini.

Hafizh berlepas ke Sepanyol awal pagi tadi, selepas mendapat pelepasan khas dan kebenaran masuk ke negara itu berikutan penetapan Kesatuan Eropah yang hanya membenarkan rakyat daripada 15 negara, untuk memasuki kesatuan tersebut, dan Malaysia tidak tersenarai.

Hafizh berkata, beliau teruja untuk ujian tidak rasmi di ltar Jerez pada 15 Julai, sebagai proses menyesuaikan diri dengan motosikal, selepas tidak beraksi selama empat bulan.

“Saya lebih bersedia dan tidak boleh tunggu lama untuk lompat atas jentera. Saya akan cuba buat yang terbaik demi rakyat Malaysia. Saya harapkan sesi percubaan itu nanti dapat beri saya peluang untuk adaptasi dengan jentera Moto2 secepat mungkin,” katanya.

Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia musim 2020 telah ditangguhkan pada March selepas perlumbaan di Qatar, akibat penularan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hafizh Syahrin harap tiada sekatan untuk beraksi di Jerez

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah berharap sekatan kemasukan pelancong dikenakan Kesatuan Eropah tidak menjadi penghalang buat beliau menyertai Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia yang akan bersambung di Litar Jerez, Sepanyol pada 19 Julai ini.

Hafizh Syahrin berkata beliau kini menunggu kebenaran untuk berlepas ke Sepanyol selepas menyerahkan beberapa butiran diperlukan pasukannya, Angel Nieto untuk diserahkan kepada Dorna Sports selaku pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen kejohanan itu.

“Saya harap sesuatu yang baik dari Eropah supaya kami boleh terbang ke Sepanyol untuk meneruskan kejuaraan. Kalau kami (pelumba negara) tidak dapat terbang dan kejuaraan berjalan seperti biasa, kami pasti agak terkilan,” kata bekas pelumba Kelas Perdana MotoGP selama dua musim itu.

Kejohanan motosikal itu ditangguhkan sejak Mac lepas, selepas perlumbaan di Qatar akibat penularan wabak Covid-19.

Semalam, pelumba Moto3 negara Khairul Idham Pawi gagal berlepas ke Sepanyol susulan sekatan itu yang menyaksikan Kesatuan Eropah hanya membenarkan pelancong dari 15 buah negara memasuki Eropah, dan Malaysia tidak tersenarai.

Mengulas lanjut, Hafizh Syahrin yang ditemui pada sesi lawatan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam, berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai sekatan tersebut.

“Agak terkejut dengar KIP (Khairul Idham) tidak dapat berlepas ke Eropah sebab pengumuman dibuat Kesatuan Eropah itu. Mungkin kami tidak menerima berita, perlu sediakan surat kebenaran daripada pihak terlibat (Kerajaan Sepanyol) untuk ke sana. Kami hanya lengkapkan apa diperlukan di sini,” katanya.

Sementara itu, pelumba berusia 26 tahun berasal dari Ampang itu teruja untuk melihat acara sukan permotoran kembali dianjurkan di negara ini selepas ia ditangguhkan hampir empat bulan susulan pandemik Covid-19.

Beliau optimis acara sukan permotoran memiliki peluang cerah untuk dianjurkan semula berdasarkan kesungguhan SIC dan Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) dalam menyediakan tatacara operasi piawai (SOP) mengikut tatacara ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

“Kita pun tahu perlumbaan antarabangsa akan dijalankan tanpa penonton jadi kita di sini pun harap sesuatu yang sama. Kita atlet permotoran gian nak ‘pulas’ (pendikit) motor itu,” kata pelumba dikenali sebagai El Pescao itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hafizh Syahrin terima tajaan UMW Grantt International Sdn Bhd

PUTRAJAYA, 26 FEB: Pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah, boleh menarik nafas lega, apabila sudah memperoleh sekurang-kurangnya 60 peratus penajaan, bagi mengharungi Kejohanan Motosikal Dunia musim ini.

Hafizh yang akan memulakan saingan MotoGP Dunia 2020 yang bermula 6 hingga 8 Mac ini di Litar Antarabangsa Losail, Qatar, menerima suntikan penajaan baharu selepas menandatangani perjanjian penajaan bersama syarikat korporat, UMW Grantt International Sdn Bhd, bagi musim ini.

UMW Grantt International Sdn Bhd itu bagaimanapun tidak mendedahkan nilai sebenar jumlah penajaan, yang disalurkan kepada Hafizh Syahrin.

“Saya akan buat yang terbaik untuk musim ini dan dengan kehadiran penaja, ia sedikit sebanyak beri suntikan semangat kepada saya, untuk pamerkan aksi lebih baik demi negara.

“Saya tidak boleh janjikan kemenangan di setiap perlumbaan, tapi sudah pasti akan buat yang terbaik dan beri saingan yang lebih sengit kepada pelumba lain, dalam setiap perlumbaan nanti,” katanya kepada media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian dengan UMW Grantt International Sdn Bhd, yang diwakili Pengurus Besar Kanan Kumpulan Autoparts UMW Anas Nasrun Mohd Osman.

Hafizh Syahrin yang masih mencari keserasian dengan jentera baharunya, terpaksa kembali ke Moto2 bersama pasukan Angel Nieto pada musim 2020, selepas dua musim beraksi di Kelas Perdana, MotoGP.

Pasukan Angel Nieto dilaporkan hanya bersetuju membantu Hafizh Syahrin untuk mendapatkan tempat dalam perlumbaan Moto2 sahaja, dan pelumba itu perlu mendapatkan penaja utama bagi menampung beberapa keperluan lain termasuk gaji, tiket penerbangan, hotel dan kos latihan pengangkutan.

“Saya terpaksa mengubah cara kerja dengan jentera kerana ia sedikit berbeza. Jika dari kategori bawah (Moto3) ke Moto2, adalah lebih mudah untuk penambahaikan. Namun itu bukan masalah besar, kerana saya yakin dengan diri saya untuk buat yang terbaik.

“Saya percaya dengan sokongan daripada Grantt, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), saya akan cuba baiki diri saya di perlumbaan ujian dan perlumbaan sebenar di Qatar,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pembuatan dan Kejuruteraan UMW Datuk Abdul Rashid Musa berharap, dengan kolaborasi bersama Hafizh Syahrin, jenama minyak Grantt akan lebih dikenali di persada dunia.

“Grantt ini produk baharu, mula tahun 2015. Rasional pemberian bantuan kepada Hafizh Syahrin adalah kerana beliau merupakan ikon permotoran negara. Beliau juga memberikan inspirasi kepada belia untuk menceburi bidang permotoran,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Hafizh pamer peningkatan pada sesi ujian pra-musim pertama

SEPANG, 9 FEB: Selepas bergelut dengan jentera baharu pada dua hari pertama ujian pra-musim MotoGP, pelumba tunggal Malaysia dalam kejuaraan itu, Hafizh Syahrin Abdullah akhirnya boleh menarik nafas lega dengan catatan masanya pada hari terakhir sesi itu, semalam.

Beliau mengakui terpaksa mengubah gaya tunggangannya selepas gagal menyesuaikan diri dengan jentera ​​​​​​​KTM pada hari pertama sesi ujian berkenaan di Litar Antarabangsa Sepang, pada Rabu.

“Banyak peningkatan dilakukan kita berbanding semalam (Jumaat). Masa sepusingan juga lebih baik daripada sebelum ini, namun masih agak jauh daripada pelumba di hadapan. Pada hari terakhir, saya cukup selesa dengan jentera ini tetapi keadaan fizikal saya belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan motosikal ini.

“Selepas seharian menunggang, ​​​​​​​saya berasa kurang bertenaga. Secara jujurnya, saya agak kecewa dengan diri saya ini,” kata pelumba berusia 24 tahun itu ketika ditemui pemberita selepas menamatkan sesi ujian hari ketiga dan terakhir di Litar Sepang.

“Motosikal ini cukup hebat, tetapi saya tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya. Apa pun saya akan berusaha melakukan terbaik semasa ujian di Qatar sebelum perlumbaan pembuka tirai musim ini. Kita berada di kedudukan positif dan sudah pasti kita boleh melakukan lebih baik,” kata pelumba Red Bull KTM Tech 3 itu.

Jaguh tempatan itu menggunakan tayar berbeza pada sesi ujian berkenaan dan menumpukan kepada pelbagai aspek pada jenteranya, semalam.

Beliau menamatkan keseluruhan 123 pusingan dalam sesi ujian berlangsung selama tiga hari itu dan pada sesi terakhir, Hafizh Syahrin mencatat masa terpantas dua minit 0.766 saat untuk berada di kedudukan ke-21.

Pada hari pertama, pelumba pasukan Red Bull KTM Tech 3 itu bergelut bagi mendapatkan rentak tunggangan apabila menduduki tempat tercorot dengan catatan 2:01.853s.

SUMBER: BERNAMA

FOTO: motogp.com

Categories
SUKANKINI

MotoGP: Hafizh Syahrin terus menyerlah

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 JUL: Kejayaan pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah menamatkan perlumbaan di kedudukan ke 11 dalam MotoGP Jerman di Litar Sachsenring.

Prinsipal Monster Yamaha Tech3, Herve Poncharal berkata, berdasarkan prestasi semasa, pihaknya yakin Hafizh mampu terus mempamerkan peningkatan pada pelumbaan seterusnya.

“Hafizh menunjukkan semangat juang tinggi serta bijak, dia menduduki tempat kesembilan di Barcelona beberapa pusingan sebelum tamat perlumbaan tetapi melakukan kesilapan.

“Perlumbaan di Sachsenring menunjukkan Hafizh mempelajari kesilapan lalu apabila berlaku persaingan sengit bersama beberapa pelumba ternama dengan yang terakhir, pelumba Suzuki, Andrea Iannone.

“Keputusan dicatat pada MotoGP Jerman ini amat kami banggakan,” katanya dipetik motogp.tech

Dengan mengakhiri perlumbaan di tangga ke 11, Hafizh mengumpul lima mata tambahan untuk jumlah 22 mata dan berada di tempat ke 16 carta keseluruhan pelumba.

Jumlah mata terkumpul turut melonjak Hafizh pada kedudukan teratas ‘rookie’ terbaik mengatasi pesaing terdekat, Franco Mordbidelli (19) serta pelumba baharu lain.

Dengan separuh pelumbaan pertama berakhir, Poncharal berkata, penyertaan dalam peringkat kedua perlumbaan selepas ini memberi kesempatan kepada Hafizh bagi mengukuhkan kedudukan dengan mencipta lebih banyak kemenangan.

“Sekiranya prestasi Hafizh meningkat pada separuh kedua musim ini, tidak mustahil beliau akan keluar sebagai ‘Rookie of the Year’ pada akhir perlumbaan nanti,” katanya.

Selepas MotoGP Jerman, minggu lalu, pelumba akan kembali dengan cabaran seterusnya di MotoGP Republik Czech pada 3 hingga 5 Ogos ini.