Categories
AGENDA NASIONAL

Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin untuk misi dalam dan luar negara

SHAH ALAM, 24 MEI: Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin digunakan untuk misi bantuan dalam dan luar negara pada masa depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha membantu rakyat Palestin permulaan ke arah kerjasama erat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan misi kemanusiaan.

“Bantuan merentasi sempadan negara atau negeri tidak boleh terhenti kerana masih banyak masyarakat di luar sana memerlukan sokongan kita.

“Semoga  banyak syarikat atau individu tampil menghulur sumbangan, sedikit pemberian daripada kita besar ertinya kepada golongan dihimpit penderitaan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kempen Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini.

Kerajaan Negeri melancar Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin untuk rakyat Palestin dengan sasaran kutipan RM1 juta dalam tempoh 10 hari.

Sejumlah RM223,957.77 berjaya dikutip setakat ini sejak tabung dibuka pada 19 Mei lepas.

Kutipan diserah kepada Global Peace Mission Malaysia (GPM) untuk pembelian SelangorAid Ambulans yang dilengkapi pelbagai kelengkapan bernilai RM350,000 dan SelangorAid trak (RM450,000).

Baki sumbangan berjumlah RM150,000 digunakan pembelian makanan dan minyak generator (RM50,000).

Categories
SELANGOR

MVM, GPM rai 2,000 anak yatim, ibu tunggal Syria

GAZIANTEP, 25 MEI: Simpati dengan pelarian Syria yang terjejas ekoran konflik perang saudara berterusan, Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan Global Peace Mission (GPM) Malaysia menjalankan program kemanusiaan sempena Ramadan untuk pelarian Syria yang berlindung di Turki dan di wilayah bergolak itu.

Hari pertama misi Ramadan MVM-GPM dengan kerjasama Malaysia Life Line for Syria (MLLFS) dan NGO tempatan, Pertubuhan Bonyan, bermula dengan majlis iftar membabitkan 2,000 anak yatim serta ibu tunggal pelarian Syria di sekitar Gaziantep.

Majlis turut dimeriahkan dengan aktiviti riadah untuk kanak-kanak pelarian Syria di Taman Rekreasi Gaziantep, di sini.

Presiden MVM, Muhammad Jantan berkata, misi kemanusiaan itu dijalankan dengan sokongan berterusan rakyat Malaysia.

“Alhamdulillah ini adalah kali ketiga MVM bekerjasama dengan GPM dan MLLFS, selain kami berikan bantuan dengan 90 peratus (program) dalam Malaysia, kami melihat atas dasar tanggungjawab dan kemanusiaan untuk membantu saudara kita di Timur Tengah,” katanya kepada Bernama semalam.

Pasukan enam sukarelawan diketuai Ketua Pegawai Eksekutif GPM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin tiba di Gaziantep 5 petang waktu Malaysia semalam dan program iftar itu membabitkan kerjasama Majlis Perbandaran Gaziantep.

Turki kini menjadi tempat perlindungan bagi lebih 3.6 juta pelarian Syria yang terjejas akibat konflik perang saudara di negara itu sejak Mac 2011, Gaziantep antara empat wilayah dengan populasi pelarian tertinggi di Turki.

Konflik di Syria masuk tahun ke-9 tahun ini, lebih 11 juta warganya terjejas, termasuk lebih 5.6 juta menjadi pelarian di negara asing dengan majoritinya di Turki, Jordan dan Lubnan.

GAZIANTEP (Turki), 25 Mei — Sukarelawan Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan Global Peace Mission (GPM) membantu menyediakan juadah berbuka di Taman Rekreasi Gaziantep petang semalam.
Majlis iftar bersama 2,000 anak yatim dan ibu tunggal tajaan rakyat Malaysia itu adalah program pertama bagi misi bantuan Ramadan MVM-GPM yang menyasarkan menyediakan 20,000 pek iftar dan bantuan makanan sehingga Khamis depan.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mengulas mengenai majlis berbuka puasa itu, Ahmad Fahmi berkata pihaknya menyasarkan untuk menyantuni 20,000 pelarian Syria di Gaziantep, Kilis dan Sanliurfa di Turki serta pelarian Syria di dalam wilayah bergolak itu.

Wartawan Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama yang menyertai misi kemanusiaan itu melihat majlis iftar dijalankan seperti keraian dengan anak-anak pelarian dan ibu tunggal diraikan dengan aktiviti beriadah sebelum berbuka puasa beramai-ramai di taman rekreasi terbabit.

Pelarian Syria dari Halab (Syria) dan ibu tunggal, Fatma Muraib bersama tiga anaknya, amat berterima kasih dengan sumbangan rakyat Malaysia menaja majlis berbuka puasa itu.

“Semoga Allah membalas jasa kalian,” kata Fatma yang dibawa ke majlis itu dengan bas khas.

Individu atau syarikat korporat yang ingin menyumbang untuk misi Ramadan atau mengetahui maklumat lanjut boleh melayari laman Facebook Muslim Volunteer Malaysia, GPM dan MLLFS.

-BERNAMA