Categories
AGENDA NASIONAL

Kakitangan USAS meninggal dunia ketika mendaki Gua Musang

IPOH, 31 OGOS: Seorang pembantu tadbir Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar yang meninggal dunia semasa mendaki Gunung Yong Belar berhampiran Lojing, Gua Musang petang semalam adalah seorang pendaki yang aktif sebelum ini.

Pengurus Kanan Jabatan Pembangunan dan Keselamatan USAS, Amiruden Mohamed Sharif berkata mangsa, Rosli Kamaruddin berusia 52 tahun telah berkhidmat di universiti berkenaan sejak 2009.

“Arwah memang seorang yang aktif mendaki sejak dahulu dan sering terlibat dalam misi kemanusiaan serta menyertai pelbagai aktiviti khidmat masyarakat.

“Pihak USAS berasa kehilangan dengan pemergian arwah yang sangat peramah dan baik dengan semua orang. Kami bagi pihak USAS mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, hari ini.

Amiruden berkata, mangsa adalah seorang daripada 20 peserta yang menyertai Ekspedisi G7 anjuran USAS diketuai Naib Canselornya, Prof Tan Sri Nordin Kardi.

Menurut Amiruden kesemua peserta memulakan pendakian sempena sambutan Hari Kebangsaan selama dua hari sejak 8.00 pagi semalam dan dijangka sampai ke puncak gunung hari ini.

Katanya, mangsa meninggalkan seorang isteri Sharifah Bee Mohamad Hussin, 50, serta tiga anak perempuan berusia 17 hingga 19 tahun.

Beliau berkata jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 9, Chemor dekat sini selepas solat Isyak apabila proses bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini selesai dilakukan dan pihak universiti akan menguruskan dari awal hingga selesai urusan pengkebumian jenazah.

Sementara itu, usaha pihak media untuk menemubual abang mangsa gagal apabila beliau enggan ditemubual.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands, Mohd Hilmi Kashfi Mat Zali dalam satu kenyataan berkata mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas ketika mendaki gunung berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira 3.30 petang semalam dengan 16 anggota dari BBP Cameron Highlands dan Gua Musang ke lokasi kejadian bagi membantu menurunkan mangsa.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

MBSA bantu kerja pembersihan pasca banjir Gua Musang

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 JAN: Pasukan bantuan kemanusiaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kini giat menjalankan kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Gua Musang.

Timbalan Pengarah Korporatnya, Shahrin Ahmad berkata, pasukan khas itu dihantar bagi menghulurkan bantuan serta mempercepatkan kerja-kerja pembersihan untuk memudahkan penduduk sekitar kembali mendiami rumah masing-masing.

Banjir MBSAKatanya, pihaknya turut mendapatkan kerjasama Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) untuk menentukan lokasi bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan.

“Antara kerja pembersihan dilakukan adalah membersihkan kawasan berlumpur, membersihkan sampah sarap khususnya sampah pukal seperti almari, katil, tilam, sofa, meja makan, barangan dapur dan sebagainya di kawasan Taman Mesra.

“Dengan bantuan dihulurkan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan memberi sedikit harapan kepada mereka serta mengembalikan semangat mereka yang hilang akibat banjir besar yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis pelepasan konvoi ini disempurnakan oleh Timbalan Datuk Bandar, Mokhtar Hani, pada 7 Januari lepas lepas di hadapan laluan pandu masuk, Wisma MBSA di sini.

Pasukan MBSA yang dianggotai 45 orang itu diketuai oleh Pegawai Penguatkuasa, Rozaidi Ahmat dan dijadual berada di sekitar Daerah Gua Musang selama seminggu.

Bagi melancarkan kerja-kerja pembersihan, pasukan ini dilengkapi dengan sepuluh buah kenderaan terdiri daripada sebuah bas, dua buah kenderaan pacuan empat roda, satu unit lori tangki air, dua unit lori ‘open tipper’, dua unit lori RORO dan dua unit jentera jengkaut.

Selain itu, MBSA turut menyumbangkan 20 buah tong sampah beroda untuk kegunaan mangsa banjir di pusat penempatan dan disampaikan kepada Yang DiPertua MDGM, Zainal Abidin.

EZY