Categories
NASIONAL SELANGOR

Anwar : Habibie Tidak Putus Beri Sokongan Ketika Saya Dipenjarakan

SHAH ALAM, 6 DIS : Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menceritakan keprihatinan mantan Presiden Indonesia, Prof Dr Bacharuddin Jusuf atau ?BJ Habibie? yang memberi bantuan dan sokongan kepadanya semasa beliau berada di dalam penjara Sungai Buloh dekad lalu.

Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Selangor berkata, selepas dibebaskan dari penjara dan menerima rawatan di hospital, Habibie merupakan antara individu yang prihatin terhadap dirinya.

“Semasa dibebaskan dari penjara dan menerima rawatan untuk pembedahan di Alpha Clinic, selain Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan keluarga menjaga saya, Habibie dan (isteri Habibie) almarhum Hasri Ainun turut memikirkan saya.

“Bantuan dari penjara Sungai Buloh dijaga oleh mantan Presiden,” katanya semasa berucap di Majlis Pidato “Habibie dan Transisi Indonesia ke Demokrasi” anjuran Kerajaan Negeri Selangor di Universiti Selangor (Unisel), hari ini.

Anwar mula mengenali Habibie semasa beliau menteri kabinet pada tahun 90-an. Ketika itu Habibie Menteri Riset dan Teknologi Indonesia.

Habibie dipilih sebagai Presiden Indonesia pada May 1998 bagi menggantikan Jeneral Muhammad Soeharto yang tumpas setelah pemerintahannya dilanda krisis politik dan ekonomi.

Anwar berkata, Habibie bukan hanya cemerlang sebagai pemimpin dan tokoh politik, malah turut dikenali sebagai seorang ilmuan dan cendekiawan.

Jelasnya, Habibie berjaya membuktikan ketokohannya sebagai pemimpin walaupun menerima tentangan hebat daripada pelbagai pihak baik dalam mahupun luar negara.

Beliau turut memuji ketelusan serta sikap keterbukaan Habibie dalam melaksanakan dasar pembahruan pentadbiran sehingga mewujudkan urus tadbir yang baik.

“Di bawah pimpinan Habibie, Indonesia berjaya mengadakan pilihan raya yang bersih dengan hanya mengambil masa singkat untuk dilaksanakan berbanding Malaysia yang memerlukan puluhan tahun untuk menyemak senarai daftar pemilih,” kata Anwar lagi.

Hadir sama pad majlis sama, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Speaker Dewan Negeri, Datuk Teng Chang Khim, Exco-exco Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Parlimen Selangor.