Categories
SELANGOR

Ibadah haji latihan dan peluang rai perbezaan

OLEH AFIX REDZUAN

BATU CAVES, 13 JULAI: Seramai 1,000 bakal haji muassasah menerima insentif RM500 setiap seorang yang disumbangkan Kerajaan Selangor menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Berlangsung di Masjid Al Amaniah, Solat Jumaat dan Majlis Perdana Penyampaian Insentif Muassasah Selangor Darul Ehsan 1439H/2018 disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin; Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali; ahli parlimen serta ahli dewan negeri.

Semua penerima terdiri daripada jemaah dari Parlimen Ampang, Gombak dan Selayang.

Bagi musim haji 1439H/2018, seramai 6,500 bakal haji dari Selangor dengan 7,500 bakal haji muassasah.

Amirudin dalam ucapannya berkata, jemaah haji perlu menerapkan sikap sabar, saling membantu dan bertanggungjawab bagi menyempurnakan rukun Islam kelima itu.

Katanya, ibadah haji adalah peluang latihan untuk saling menghormati dan menghargai perbezaan yang ada sebagai sebahagian daripada kebesaran Allah menciptakan makhlukNya di dunia ini.

“Sudah tentu setiap daripada kita mengimpikan ibadah haji yang mabrur daripada Allah SWT, justeru saya berpesan kepada semua untuk menyempurnakan ibadah haji ini sebaik mungkin dengan memelihara setiap rukun serta syarat.

“Saya juga berharap jemaah menjaga keselamatan dan kesihatan masing-masing supaya dapat kembali ke tanah air dengan sihat,” katanya.

Beliau turut meminta jemaah mendoakan kesejahteraan negara dan negeri supaya perpaduan kekal utuh, selain kepimpinan sedia ada diberi kekuatan melaksanakan tanggungjawab serta amanah yang dipikul.

Categories
SELANGOR

78 bakal haji muassasah DUN Sungai Kandis terima insentif

OLEH AFIX REDZUAN

SUNGAI KANDIS, 13 JUL: Seramai 78 bakal haji muassasah menerima insentif haji bernilai RM500 setiap seorang yang disumbangkan Kerajaan Negeri menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Penyerahan sumbangan disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari serentak merasmikan Majlis Mesra Rakyat Aidilfitri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis yang berlangsung di Masjid An-Naim, Kampung Batu 7, Jalan Kebun.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin dan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali.

Bagi musim haji 1439H/2018, seramai 6,500 daripada 7,500 bakal haji dari Selangor merupakan bakal haji muassasah dengan peruntukkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM3.25 juta.

Amirudin dalam ucapannya berkata, menjadi tanggungjawab masyarakat untuk bersama berlumba melakukan kebaikan (Fastabiqul Khairat) seperti semangat yang disuburkan Kerajaan Negeri.

Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM100,000 buat Masjid An-Naim bagi membolehkan kerja naik taraf dilakukan hasil sumbangan Pejabat Menteri Besar dan MBI.